Zenobia

11 hari yang tinggal

Melabur dalam Pendidikan Sejarah

Dengan menyokong badan amal Yayasan Sejarah Dunia kami, anda melabur dalam masa depan pendidikan sejarah. Sumbangan anda membantu kami memperkasakan generasi akan datang dengan pengetahuan dan kemahiran yang mereka perlukan untuk memahami dunia di sekeliling mereka. Bantu kami memulakan tahun baru bersedia untuk menerbitkan maklumat sejarah yang lebih dipercayai, percuma untuk semua orang.
$2822 / $10000

Inti Sari

Joshua J. Mark
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 14 September 2014
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Perancis, Parsi, Sepanyol, Turki
Dengarkan artikel ini
X
Cetak Artikel
Zenobia in Chains (by Sowlos, CC BY-SA)
Zenobia dalam Rantai
Sowlos (CC BY-SA)

Zenobia (lahir c. 240 M, tarikh kematian tidak diketahui) merupakan ratu Empayar Palmyra yang mencabar kekuasaan Rom pada penghujung sebuah era yang dipanggil sebagai Krisis Abad ke-3 dalam sejarah Rom (235-284 M). Era ini, yang turut dikenali sebagai Krisis Diraja, disifatkan sebagai sebuah era yang penuh dengan perang saudara memandangkan ramai panglima Rom saling bertelagah demi berebutkan tampuk kekuasaan empayar. Krisis ini dicatatkan dengan lebih lanjut oleh para sejarahwan sebagai era di mana berlakunya kehuru-haraan sosial, ketidakstabilan ekonomi dan yang paling penting, perpecahan empayar yang terbahagi kepada tiga; Empayar Gallic, Empayar Rom dan Empayar Palmyra.

Berbeza dengan anggapan umum, Zenobia tidak pernah memimpin pemberontakan terbuka melawan Rom. Beliau juga mungkin tidak pernah dimalukan dalam perarakan di jalan-jalan di kota Rome dan malah, tidak pun dihukum bunuh oleh Maharaja Aurelian (memerintah 270-275 M). Sumber-sumber lama yang memerihalkan kehidupan dan pemerintahan Zenobia datang dari Zosimus (c. 490 M), Historia Augusta (c. abad ke-4 M), Zonaras (c. abad ke-12 M) dan al-Tabari (839-923 M) yang catatannya serupa dengan Adi ibn Zayd (kurun ke-6M) walaupun Zenobia juga disebut di dalam Talmud dan oleh beberapa orang penulis lain.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Walaupun kesemua sumber tersebut mengekalkan naratif bahawa Ratu Zenobia bertanggungjawab mencabar kekuasaan Rom, namun tidak ada satu pun yang secara langsung menyifatkan tindakannya itu sebagai satu pemberontakan terbuka. Sudah tentu, hal ini bergantung kepada definisi masing-masing terhadap maksud 'pemberontakan' itu sendiri. Sepanjang pemerintahannya, Zenobia sangat berwaspada agar tindakannya tidak mencetuskan konflik terbuka terhadap Rom, walaupun jelas sekali beliau cuba mengenepikan kekuasaan Rom dan mengangkat dirinya sebagai monarki yang sah di wilayah timur.

Kehidupan Awal & Perkahwinan

Zenobia mengadakan perjanjian perdag-angan Dan menambah wilayah ke dalam empayarNya tanpa terlebih dahulu merujukkan hal tersebut kepada penguasa Rom

Zenobia dilahirkan di Palmyra, Syria sekitar tahun 240SM dan diberi nama Julia Aurelia Zenobia. Syria pada masa itu merupakan wilayah jajahan Rom sejak ditakluk pada tahun 115/116 Masihi. Zenobia merupakan seorang warga Rom memandangkan gelaran Aurelia pada nama keluarga Zenobia mungkin telah diberikan semasa pemerintahan Marcus Aurelius (161-180 M). Menurut Historia Augusta, salasilah bapa Zenobia boleh dijejak sehingga bertemu dengan Julia Domna (170-217 M).

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Sejak kecil, Zenobia dididik dalam bahasa Yunani dan Latin walaupun mengalami kesukaran untuk menuturkannya secara fasih. Beliau lebih fasih berbicara dalam bahasa Mesir dan Aramaic. Zenobia turut mendakwa dirinya berketurunan Dido dari Carthage dan Cleopatra VII dari Mesir. Menurut versi Arab yang diceritakan oleh Imam al-Tabari, Zenobia dipertanggungjawabkan untuk menjaga haiwan ternakan keluarga sejak remaja. Dari situlah bakat kepimpinan beliau terlatih. Kemahiran menunggang kuda dan ketahanan serta stamina tubuh badan Zenobia turut mengalami peningkatan pada masa itu. Oleh kerana itu, beliau mampu mara berjalan kaki bersama pasukan tenteranya dalam menghadapi perjalanan yang jauh dan mampu berburu seperti lelaki-lelaki lain. Dalam karyanya, Edward Gibbon merincikan tentang Zenobia menerusi perenggan berikut:

Zenobia mungkin merupakan satu-satunya wanita yang kemampuannya menjangkaui norma ketidakcergasan yang lazim disinonimkan dengan wanita-wanita lain, berkat cuaca dan cara hidup di Asia. Beliau mendakwa dirinya berketurunan raja Mesir, memiliki kejelitaan seperti moyangnya Cleopatra. Zenobia dimuliakan sebagai wanita yang paling jelita dan paling gagah perkasa. Zenobia memiliki kulit yang hitam kemanisan. Giginya memancar putih dan matanya yang hitam pekat galak memancarkan cahaya sambil wajahnya dihiasi kemanisan yang menawan hati. Suaranya lantang. Kecerdasannya dikuat dan dihiasi dengan kelazimannya menuntut ilmu. Lidah beliau tidaklah kelu untuk bertutur dalam bahasa Latin, dan mampu berbicara fasih dalam bahasa Yunani, Syria dan Mesir. Beliau berupaya melahirkan keunggulannya yang tersendiri dalam sejarah timur, dan menghadirkan didikan bak Homer dan Plato di bawah tunjuk ajar yang luhur dari Longinus (128-129).

Perenggan ini dipetik dengan panjang kerana penerangan tersebut banyak diambil daripada Historia Augusta. Selain itu, karya Gibbon ini memberikan impak yang signifikan terhadap cara pandang generasi berikutnya tentang keperibadian Ratu Palmyra itu. Baik di zaman dahulu dan sekarang, Zenobia ditampilkan sebagai seorang wanita yang memiliki keupayaan mengagumkan dan begitu jugalah tanggapan pembaca di zaman dahulu mahupun sekarang terhadapnya.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Bahkan dalam sumber-sumber Arab yang tidak begitu menonjolkan keperwiraannya, Zenobia tetap ditampilkan sebagai seorang ratu yang berkaliber. Banyak pekerti luhurnya diulang dengan kerap dalam sumber-sumber purba dan sebutan sifat paling khusus yang sering diperikan adalah kesucian dirinya. Zenobia berpegang pada prinsip bahawa hubungan intim hanya boleh dilakukan dengan tujuan untuk mendapatkan zuriat. Bahkan setelah berkahwin, beliau tetap enggan tidur bersama suaminya kecuali untuk tujuan tersebut.

Zenobia Denarius
Zenobia Denarius
Jbarta (CC BY-SA)

Menjelang tahun 258 Masihi, Zenobia berkahwin dengan Lucius Septimus Odaenthus, seorang gabenor Rom di Syria. Melalui perkahwinan dengan Zenobia, Odaenthus dikurniakan seorang anak lelaki bernama Vaballathus. Zenobia merupakan isteri kedua Odaenthus dan Odaenthus sendiri telah mempunyai seorang anak lelaki yang menjadi pewarisnya, iaitu Herodes hasil dari perkahwinan pertamanya. Odaenthus mentadbir sebuah wilayah yang sangat mewah. Kota yang paling utama dalam pemerintahannya adalah Palmyra, yang berfungsi sebagai pusat perdagangan penting di Jalan Sutera, yang menjadi penghubung antara timur dan barat. Para pedagang yang keluar masuk ke Rom pasti akan melalui Palmyra – sama ada utuk membayar cukai mahupun untuk berehat.

Namun begitu, sejak tahun 227 Masihi, perdagangan yang rancak itu terhenti akibat pencerobohan yang dilakukan oleh Parsi Sassanid yang mengepung laluan tersebut. Sutera telah menjadi salah satu barang dagangan paling masyhur di Rome semenjak era pemerintahan Augustus (27SM-14M) lagi, justeru masyarakat Rom tidak bersenang hati dengan keadaan perdagangan yang terjejas ini. Dalam tempoh konflik tersebut, Raja Sassanid bernama Shapur I (240-270/272 M) menawan kota Antioch yang juga merupakan salah satu pusat perdagangan penting buat Rom. Hal ini tidak boleh didiamkan.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Pada tahun 260 Masihi, Maharaja Rom yang bernama Valerian (253-260 M) berangkat memerangi kekuatan Sassanid, namun mengalami kekalahan dan dijadikan sebagai banduan. Sepanjang menjadi tawanan perang, Valerian dipergunakan sebagai tempat pemijak oleh Shapur I untuk menaiki kudanya. Valerian terus berada dalam tawanan sehingga beliau meninggal dunia dan kemudian, jasadnya digantung dan dipamerkan di khalayak ramai. Puteranya yang bernama Gallienius tidak mampu berbuat apa-apa untuk membaiki keadaan ini. Oleh kerana itu, Odaenthus mengambil tanggungjawab untuk memerangi Sassanid dan berjaya menewaskan dan mengusir mereka kembali ke Sungai Furat, menjauhi wilayah Syria. Walaupun Odaenthus menampilkan dirinya sebagai seorang yang bertindak bagi kepentingan Rom dan menyelamatkan Valerian, beliau sebenarnya mempunyai motif-motif lain: beliau cuba membentuk persekutuan dengan Shapur namun ditolak dan kemudian barulah bermusuh dengan pihak Sassanid.

Atas jasanya terhadap Rom, Odaenthus dilantik sebagai gabenor kepada seluruh wilayah timur Empayar Rom. Pada tahun 261 M, sempasa Quietus mencabar pemerintahan Gallienius, Odaenthus sekali lagi tampil menewaskan dan membunuh Quietus. Jasanya itu meraihkannya pengaruh yang cukup untuk membenarkannya memerintah wilayah timur Rom dengan lebih bebas dan berkuasa. Pada tahun 266/267 Masihi, Odaenthus terkorban bersama anaknya, Herodes akibat dibunuh oleh anak buahnya selepas berlaku sebuah pertelingkahan. Terdapat spekulasi kononnya Zenobia menjadi orang yang bertanggungjawab menghasut supaya Odaenthus dan Herodes dibunuh demi menaikkan anaknya, Vaballathus. Namun pendapat ini ditolak oleh kebanyakan sejarahwan.

Meraih Kuasa & Menakluk Mesir

Zenobia kemudian dilantik menjadi pemangku gabenor memandangkan Vaballathus masih kecil. Sebaik meraih kuasa, beliau sering berdampingan dengan ahli-ahli intelek dan falsafah terkemuka di istananya. Antara mereka termasuklah Platonist Cassius Longinus (213-273 M) yang kelak akan dihukum bunuh atas kesalahan kononnya menghasut Zenobia agar membelakangi Rom. Setakat kenaikan kuasa Zenobia, hubungan antara Palmyra dan Rome masih berlangsung mesra berkat gerakan-gerakan ketenteraan yang dilancarkan oleh Odaenthus sebelum ini banyak memelihara dan memihak kepentingan Rom.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Ketika memegang kuasa, Zenobia mengekalkan dasar-dasar pemerintahan mendiang suaminya. Sepanjang fasa huru-hara yang melanda Rom ketika itu, yang dipanggil sebagai Krisis Abad Ketiga, seramai 26 orang telah naik dan turun sebagai maharaja. Odaenthus mungkin pernah terlintas untuk menjadi salah seorang daripadanya, lebih-lebih lagi dirinya begitu akrab dengan Maharaja Gallienus dan wilayah pemerintahannya pula begitu mewah. Selepas kematiannya, Zenobia pula mungkin menganggap anaknya, atau bahkan dirinya sendiri mampu menaiki takhta Rom. Sejarahwan bernama Richard Stoneman menulis:

Dalam tempoh 5 tahun selepas kematian Odaenthus pada tahun 267 M, Zenobia berjaya meletakkan dirinya dalam kedudukan yang disenangi oleh rakyatnya dan dikenali sebagai Ratu Timur. Mendiami sebuah istana yang boleh dikatakan antara yang termewah pada zaman itu, dikelilingi oleh cendekiawan ulung yang berkhidmat di istana, dilayan oleh sida-sida setia, dan dipakaikan dengan kain sutera paling berkualiti dari Antioch dan Damsyik, Zenobia juga mewarisi reputasi kehebatan pasukan tentera yang ditinggalkan oleh Odaenthus dan unit tentera Badwi yang begitu efektif. Dengan kekuatan pasukan tentera dan pengaruh yang begitu hebat, Zenobia menjadi salah satu figura yang mencabar kekuasaan Rom yang sedang menghadapi abad yang huru-hara. Rom yang ketika itu digugat oleh serangan dari utara, tidak mampu untuk melindungi wilayahnya di Timur. Syria untuk suatu tempoh hilang dari perhatian penguasa-penguasa Rom (155).

Gallienus mati dibunuh pada tahun 268 Masihi dan digantikan oleh Claudius II yang kemudian meninggal dunia akibat demam. Kedudukannya diwarisi oleh Quintillus pada tahun 270 Masihi. Sepanjang tempoh peralihan kuasa pantas ini, dasar pentadbiran Zenobia berubah dengan lancar dan menjelang tahun 269 Masihi, Zenobia memanfaatkan keadaan dengan menghantar ketua panglimanya, Zabdas ke Rom-Mesir untuk menawan wilayah tersebut.

Pun begitu, tindakan ini juga dilakukan oleh Zenobia dengan begitu berhati-hati agar tidak terlihat sebagai melancarkan konflik terhadap Rom. Semasa gabenor yang memerintah Mesir sedang melancarkan kempen di luar kawasan, seorang warga Syria-Rom bernama Timagenes memulakan pemberontakan. Oleh kerana itu, kemaraan pasukan tentera Zenobia ke Mesir ini boleh dijelaskan sebagai sebuah kempen yang memelihara kepentingan Rom. Apapun, terdapat kemungkinan bahawa Timagenes ini batu api yang sengaja dihantar terlebih dahulu oleh Zenobia semata-mata untuk mewujudkan alasan yang membenarkannya menceroboh Mesir. Pada awalnya, tentera Zenobia berjaya meraih kemenangan namun kemudian diusir dari wilayah Mesir apabila pasukan tentera tempatan pulang dari kempen. Tidak berpuas hati dengan kejayaan mengusir penceroboh itu, tentera-tentera Rom-Mesir malah mengejar pasukan tentera Zenobia sehingga melepasi sempadan dan terus mara memasuki wilayah Syria. Di sana, pasukan tentera Zenobia melancarkan serangan balas dan berjaya menewaskan pasukan tentera Rom-Mesir.

Sebaik sahaja menguasai Mesir, Zenobia dengan pantas mengadakan rundingan diplomatik dengan wilayah-wilayah di Levant dan Asia Kecil sekaligus memasukannya ke dalam Empayar Palmyra yang sedang berkembang pesat. Dengan keadaan Empayar Rom yang sedang huru-hara, kekayaan dan kekuasaan Empayar Palmyra yang sedang meningkat naik membuatkan pemerintah-pemerintah tersebut memilih untuk berpihak kepada Zenobia. Akibat terlalu sibuk dengan masalah dalaman, Rom tidak mampu berbuat apa-apa terhadap perkembangan kuasa Zenobia ini. Apapun, walaupun jelas sekali beliau sedang membina sebuah empayar sendiri yang bersebelahan dengan empayar Rom, Zenobia masih belum melakukan sebarang tindakan yang secara terbuka mencetuskan konflik dengan Rom.

Masa berlalu dan berlalu sehinggalah Aurelian naik menjadi Maharaja. Zenobia pula pada masa itu menitahkan agar syiling yang memaparkan imej Vaballathus di satu sisi dan Aurelian di satu sisi dihasilkan. Beliau juga mengarahkan agar inskripsi-inskripsi berkenaan sifat mulia Aurelian diletakkan di Palmyra sambil urusan-urusan rasmi dijalankan dengan menggunakan nama maharaja. Namun pada masa yang sama, beliau dengan beraninya menggunapakai gelaran diraja Augustus untuk anaknya, Vaballathus dan Augusta untuk dirinya sendiri; gelaran yang sepatutnya hanya layak disandang oleh keluarga diraja Rom sahaja. Lebih daripada itu, Zenobia juga mengadakan perjanjian perdagangan dengan Sassanid, serta menambah wilayah ke dalam empayar timurnya tanpa terlebih dahulu merujukkan hal tersebut kepada penguasa Rom. Menjelang tahun 271 Masihi, pemerintahan Zenobia terbentang luas dari dari Iraq moden hingga ke Turki dan turun sampai ke Mesir.

Zenobia & Aurelian

Ketika maharaja-maharaja lain gagal untuk menyedari perkembangan kuasa Zenobia atau mungkin tidak memiliki sumber untuk melakukan sesuatu terhadapnya, Aurelian ternyata merupakan seorang pemerintah yang berbeza. Beliau mendaki tangga kariernya dengan bermula sebagai seorang tentera pejalan kaki, lalu menjadi panglima dan kini bergelar maharaja. Beliau terlebih dahulu menceburi medan perang sebelum turun ke gelanggang politik. Sebaik meraih kuasa, Aurelian perlu memimpin pasukan tenteranya menewaskan Vandals, Alemanni dan Goths. Menjelang tahun 272 Masihi, beliau akhirnya bersedia untuk merebut semula wilayah-wilayah timur dari genggaman Zenobia. Beliau tidak menunggu untuk menghantar sebarang surat ataupun menerima surat dari Zenobia, sebaliknya terus sahaja mara ke Empayar Palmyra dengan membawa seluruh bala tenteranya.

Sebaik memasuki Asia Kecil, ketumbukannya memusnahkan setiap pekan dan kota yang menumpahkan kesetiaan kepada Zenobia. Beliau turut memerangi beberapa pasukan perompak yang ditemui dalam perjalanan. Kemaraan diteruskan sehinggalah mereka tiba di Tyana, wilayah yang menempatkan seorang ahli falsafah terkenal bernama Apollonius yang sangat dikagumi oleh Aurelian sendiri. Pernah di dalam mimpinya, Aurelian didatangi oleh Apollonius yang memberi nasihat agar memberi belas-kasih andai mahu meraih kemenangan. Oleh kerana itu, Aurelian mempamerkan rasa belas-kasih terhadap penduduk kota dan melanjutkan kemaraan tanpa mengapa-apakan mereka. Ternyata sifat belas-kasih ini mendatangkan kesan yang efektif. Kota-kota lain langsung sahaja menyerah kepada Aurelian. Sejak keberangkatan dari kota Tyana, tidak ada lagi kota yang memerangi Aurelian dan masing-masing menghantar utusan menyatakan pendirian mereka yang memihak Aurelian dan meninggalkan Zenobia. Dengan begitu, ketumbukan Aurelian dapat tiba di Syria dengan pantas.

Queen Zenobia before Emperor Aurelianus
Ratu Zenobia sebelum Maharaja Aurelianus
Giovanni Battista Tiepolo (Public Domain)

Tidak dapat dipastikan sama ada Zenobia ada menghantar utusan kepada Aurelian ataupun tidak. Terdapat rekod tentang perutusan surat antara mereka berdua sebaik sahaja Aurelian tiba di Palmyra, namun catatan tersebut dianggap sebagai rekaan sejarahwan terkemudian. Surat yang diberikan oleh Aurelian semasa awal keberangkatannya sebagaimana yang terkandung dalam Historia Augusta juga dianggap palsu; rekaan yang dilakukan untuk menunjukkan sifat belas-kasih yang dimiliki Aurelian serta sifat kasar dan angkuh Zenobia.

Bagi menghadapi kemaraan Aurelian, Zenobia mengumpulkan bala tenteranya dan kedua-dua pihak itu kemudian saling berhadapan di luar kota Daphne. Di sana, meletus Pertempuran Immae pada tahun 272 Masihi yang dimenangi oleh Aurelian. Ramai tentera Syria ditawan dan dibunuh. Zenobia sendiri bersama panglimanya, Zabdas terpaksa berundur ke kota Emesa yang menempatkan lebih ramai tentera dan harta.

Aurelian terus mengejar Zenobia dan kedua-dua pihak sekali lagi bertembung di luar kota Emesa. Kali ini juga dimenangi oleh Aurelian melalui taktik yang sama seperti di Immae. Mereka berpura-pura berundur semasa berhadapan dengan pasukan berkuda Palmyra. Helah ini berjaya mengumpan mereka untuk mengejar pasukan tentera Rom yang kemudiannya berpaling dan menyerang dari kedudukan yang mengejut. Pasukan tentera Palmyra dimusnahkan dan Aurelia menakluki kota Emesa, dan dipercayai, menjarah segala harta kekayaannya. Namun, Zenobia masih berjaya meloloskan diri.

Beliau berundur ke Palymyra dan menyiapkan pertahanan kota. Aurelian yang menyusul di belakang langsung sahaja melakukan pengepungan. Edward Gibbon menulis, “Zenobia berundur ke tembok ibu kotanya, melakukan persiapan terakhir dan melaungkan dengan penuh lantang, “Berakhirnya pemerintahanku adalah berakhirnya hayatku. Berakhirnya hayatku adalah berakhirnya pemerintahanku" (131). Entah benar ataupun tidak beliau ada mengatakan sedemikian, namun apa yang pasti beliau jelas menunggu bantuan dari Parsi. Apabila mendapati bantuan tidak dapat diterima, Zenobia dan Vaballathus melarikan diri menaiki unta menuju ke Parsi.

Semasa Aurelian berjaya menggempur masuk ke dalam kota dan mendapati bahawa Zenobia dan puteranya sudah tiada, pantas beliau menghantar sepasukan tentera kavalri untuk menghambat Ratu Palmyra itu. Zenobia tertangkap semasa sedang cuba merentas sungai Furat. Beliau kemudian dibawa menghadap Aurelian dalam keadaan dibelenggu. Di hadapan Aurelian, Zenobia menafikan kesalahannya dan menudingkan jari kepada hasutan yang diberikan oleh para penasihatnya, terutama sekali Cassius Longinus. Cassius kemudian dihukum pancung sementara Zenobia pula dibawa kembali ke kota Rome.

Hari-Hari Terakhir Zenobia

Apa yang berlaku kepada Zenobia seterusnya berbeza mengikut setiap catatan yang dibaca. Menurut Zosimus, Zenobia dan puteranya mati lemas di Selat Bosforus semasa dalam perjalanan ke Rome. Namun, Zosimus juga mendakwa bahawa Zenobia selamat tiba di Rome tanpa anaknya. Beliau kemudian dibicarakan dan dibebaskan lalu meneruskan hidup di sebuah villa; yang kemudian beliau berkahwin dengan seorang lelaki Rom. Historia Augusta pula menyampaikan kisah di mana beliau diarak di sepanjang jalan di kota Rom dalam keadaan dibelenggu oleh rantai emas semasa perarakan kemenangan Aurelian. Zenobia kemudian dibebaskan dan dikurniakan sebuah rumah mewah berdekatan kota Rome di mana beliau "meluangkan hari-hari terakhirnya dengan aman dan senang-lenang." Sementara itu, Zonaras mendakwa bahawa Zenobia dibawa pulang ke kota Rome, namun tidak pernah dimalukan dalam perarakan dan bersetuju bahawa Zenobia berkahwin dengan seorang lelaki Rome sambil Aurelian pula mengahwini salah seorang anak perempuan Zenobia.

Seperti penulis-penulis Arab yang lain, Imam al-Tabari langsung tidak menyebut tentang Aurelian ataupun Rom dalam penceritaan mengenai Zenobia. Dalam catatan al-Tabari, Zenobia membunuh seorang ketua kabilah bernama Jadhima pada malam perkahwinan mereka. Lantas, anak buah Jadhima menuntut bela dengan mengejar Zenobia yang melarikan diri menuju ke Furat. Zenobia telah terlebih dahulu mengarahkan agar sebuah terowong digali di bawah sungai, kalau-kalau rancangannya menemui jalan buntu dan menuntutnya melarikan diri. Dalam kisah ini, Zenobia ditangkap ketika sedang memasuki terowong tersebut. Beliau kemudiannya sama ada mati kerana membunuh diri dengan meminum racun, atau dalam versi lain, dihukum bunuh.

Queen Zenobia's Last Look Upon Palmyra
Pandangan Terakhir Ratu Zenobia terhadap Palmyra
Herbert Schmalz (Public Domain)

Makanya, pengakhiran hidup Zenobia bergantung kepada sumber yang dirasakan paling sahih. Historia Augusta telah lama diakui sebagai sumber yang tidak boleh dipercayai kerana ia sering mengubah tarikh, peristiwa dan bahkan watak-watak yang terlibat demi menghadirkan suatu versi tertentu yang bersesuaian dengan kepentingan maharaja yang memerintah pada masa itu. Stoneman menulis:

Pada beberapa aspek tentang sifat Zenobia, kita dihidangkan dengan banyak maklumat menerusi Historia Augusta – namun mesti diingat bahawa perincian penceritaannya tidak boleh begitu diyakini memandangkan penulisnya, menulis apa yang dirasakannya sesuai mengikut citarasanya (112).

Catatan-catatan dari Zonaras dan Zosimus dianggap lebih diyakini. Oleh kerana itu, lebih cenderung untuk mengatakan bahawa di akhir hayatnya, Zenobia dibawa ke kota Rome namun tidaklah dimalukan dalam perarakan kemenangan Aurelian. Aurelian pasti begitu mempertimbangkan anggapan masyarakat Rom andai mendapati kemenangannya itu adalah dari kempen ketenteraan melawan seorang wanita. Betapa malu baginya jika beliau dianggap membenarkan seorang wanita berkuasa sehingga mampu memerintah satu pertiga empayar Rom.

Tidak mungkin Aurelian mahu memberikan perhatian yang lebih kepada Zenobia dan makanya, hikayat masyhur kononnya Zenobia diarak dalam keadaan dibelenggu oleh rantai emas adalah satu fiksyen. Namun, kisah tentang pendakwaan, pembebasan dan kehidupannya di Rome dianggap munasabah. Tidak ada rekod yang mencatatkan tarikh kematian Zenobia atau bagaimana beliau meninggal dunia. Namun apa yang pasti, tidak ada sumber dari barat yang mengisyaratkan bahawa beliau dihukum bunuh. Oleh kerana itu, terdapat kemungkinan bahawa kisah kematiannya itu diperkenalkan menerusi versi penceritaan Arab.

Zenobia merupakan salah satu figura purba yang paling penting pada Zaman Pertengahan. Identitinya sebagai seorang ratu dan pahlawan yang hebat berjaya mempengaruhi ramai penulis dan pelukis untuk terus menghidupkan namanya dalam tinta sejarah. Malah, monarki di kemudian hari seperti Catherine dari Russia (1729-1796 M) turut membanding-bandingkan dirinya dengan Zenobia, menunjukkan betapa Ratu Palmyra itu dijadikan sebagai kayu ukur kesuksesan seseorang pemerintah wanita. Kisah hidup Zenobia disampaikan kepada generasi terkemudian hampir keseluruhannya menerusi Historia Augusta dan karya Gibbon yang menampilkan Ratu Palymyra itu sebagai pencabar Rome yang hebat dan perwira ulung dunia purba, dan sehingga ke hari ini beliau sememangnya dikenang sedemikian.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Darihal Penulis

Joshua J. Mark
Penulis bebas dan bekas Pensyarah Falsafah separuh-masa di Kolej Marist, New York. Joshua J. Mark menetap di Greece dan Jerman dan pernah mengembara ke Mesir. Beliau mengajar sejarah, penulisan, kesusasteraan, dan falsafah pada peringkat kolej.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Mark, J. J. (2014, September 14). Zenobia [Zenobia]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-10200/zenobia/

Gaya Chicago

Mark, Joshua J.. "Zenobia." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai September 14, 2014. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-10200/zenobia/.

Gaya MLA

Mark, Joshua J.. "Zenobia." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 14 Sep 2014. Web. 20 Dec 2024.