Gojoseon

6 hari yang tinggal

Melabur dalam Pendidikan Sejarah

Dengan menyokong badan amal Yayasan Sejarah Dunia kami, anda melabur dalam masa depan pendidikan sejarah. Sumbangan anda membantu kami memperkasakan generasi akan datang dengan pengetahuan dan kemahiran yang mereka perlukan untuk memahami dunia di sekeliling mereka. Bantu kami memulakan tahun baru bersedia untuk menerbitkan maklumat sejarah yang lebih dipercayai, percuma untuk semua orang.
$3754 / $10000

Inti Sari

Mark Cartwright
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 13 October 2016
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol
Dengarkan artikel ini
X
Cetak Artikel
Map of Korean States in 108 BCE (by Historiographer, CC BY-SA)
Peta Negara-negara Korea pada 108 SM
Historiographer (CC BY-SA)

Gojoseon (Gochoson atau Choson Lama) merupakan sebuah kerajaan purba yang memerintah bahagian utara Korea pada separuh kedua milenium pertama Sebelum Masihi. Gojoseon mempunyai kebudayaan yang paling maju di Semenanjung Korea pada masa itu dan ia menjadi penanda aras yang signifikan dalam pembentukan negara-negara yang lebih berpusat pada masa-masa terkemudian.

PENUBUHAN

Menurut mitologi Korea, sebagaimana yang direkodkan dalam Samguk yusa ('Memorabilia Tiga Kerajaan') yang dikarang pada kurun ke-13 Masihi, Gojoseon ditubuhkan pada tahun 2333 SM oleh Dangun Wanggeom (Tangun), anak kepada dewa Hwanung dan seekor beruang betina yang ditukar menjadi wanita. Mitos ini berkemungkinan menyimbolkan ketibaan budaya Zaman Gangsa di Korea. Dangun dilahirkan pada hari ketiga bulan kesepuluh, justeru pada hari ini tanggal 3 Oktober diraikan sebagai Hari Penubuhan Negara di Korea Selatan. Nama Choson dalam bahasa Korea diambil daripada perkataan Chaoxian dalam bahasa China, yang mana ia merupakan kombinasi dua buah perkataan, iaitu chao ('fajar') dan xian ('tenang' atau 'segar'). Oleh kerana itu, Korea turut dipanggil sebagai 'Negeri Siang Yang Tenang'.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Menurut sebilangan sejarahwan, negara ini dibentuk daripada persekutuan bandar-bandar kubu kecil yang terletak di sekitar lembangan sungai Daedong (Taedong) dan Liao, sekitar kurun ke-7 SM atau kurun ke-4 Sebelum Masihi bagi tarikh yang lebih meyakinkan. Sempadan utara Gojoseon ialah Sungai Liao manakala jiran selatannya yang paling dekat ialah negara Jin (Chin). Sebutan awal tentang Gojoseon boleh ditemui di dalam sebuah karya tahun 100 Sebelum Masihi, iaitu Catatan-Catatan Sejarahwan Ulung karangan seorang sejarahwan China, Sima Qian. Qian menyebutkan bahawa Gojoseon wujud pada tahun 190 Sebelum Masihi. Walau bagaimanapun, satu-satunya tarikh yang sama sekali tidak dipertikaikan sebagai tarikh kewujudan negara Choson/Gojoseon ialah 109 Sebelum Masihi, dan sehingga kini sejarahwan masih terus memperdebatkan sama ada Gojoseon ini boleh dikategorikan sebagai sebuah negara ataupun tidak, bilakah ia wujud secara tepat, di manakah ibu kotanya, dan apakah wilayah-wilayah naungannya. Sejak sekian lama, ibu kota Gojoseon diyakini terletak berhampiran Pyongyang. Namun, terdapat juga bukti yang mengatakan bahawa ia terletak jauh di utara, iaitu di Manchuria.

HUBUNGAN DENGAN CHINA

Nama Choson dalam bahasa Korea diambil daripada perkataan Chaoxian dalam bahasa China, yang membawa maksud 'Negara Siang Yang Tenang'.

Hubungan antara Korea dan China boleh dijejak kembali dalam mitologi mereka di mana pendeta Gija (Jizi) dan 5000 orang pengikutnya meninggalkan China dan menetap di kerajaan Dangun. Tatkala Dangun mahu bermeditasi di puncak gunung, Giji dilantik sebagai raja Gojoseon pada tahun 1122 SM. Mitos ini berkemungkinan menggambarkan ketibaan budaya Zaman Besi di Korea.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Menurut catatan sejarah, para pemerintah Gojoseon sememangnya menggunakan gelaran wang (raja) sebagaimana di China sekaligus mencerminkan pengaruh awal yang hadir menerusi jirannya, iaitu Yan-China. Interaksi antara Korea dan China ini berkemungkinan berlaku baik sebagai rakan perdagangan mahupun Gojoseon bertindak selaku orang tengah antara China dan negara-negara yang terletak jauh ke selatan di Korea. Satu lagi indikasi yang membuktikan berlakunya hubungan perdagangan antara dua buah entiti politik ini adalah penemuan syiling pisau bulan sabit China (mingdaoqian) di beberapa buah tapak di Korea.

Berkemungkinan besar budaya China ini dibawa masuk ke Korea menerusi pelarian-pelarian yang melarikan diri daripada konflik yang tercetus pada kurun ke-4 SM, iaitu konflik yang disebut sebagai Zaman Negara-Negara Berperang. Bukti arkeologi paling jelas berkenaan kemasukan pengaruh ini dapat dilihat menerusi makam-makam lubang di kawasan Sungai Daedong dan kehadiran perangkap-perangkap kuda di dalamnya. Makam-makam ini juga memiliki tarikan kerana sebahagiannya mengandungi lebih 1000 orang hamba yang jasadnya ditanam di dalamnya, bersama dengan pemilik makam berkenaan. Dengan kehadiran alatan besi yang diperkenalkan daripada China, hasil pertanian dapat ditingkatkan dan seterusnya menyumbang kepada kekayaan Gojoseon. Barangan batu berwarna kelabu, yang terkenal kaya dengan besi turut muncul buat kali pertama pada era ini. Begitu juga dengan sistem pemanas bawah tanah Korea yang masyhur, yang disebut sebagai sistem ondol.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Dangun  Wanggeom
Dangun Wanggeom
Chae Yong-sin (Public Domain)

KEJATUHAN

Kekuatan Gojoseon digugat oleh serangan-serangan dari negara jiran, Yan, sekitar tahun 300 Sebelum Masihi. Fasa kemunduran yang panjang menyusul hinggakan ketika Gojoseon tumbang pada kurun ke-2 Sebelum Masihi, kebanyakan wilayahnya dirampas oleh Wiman Joseon (Wiman Choson). Wiman Choson merupakan negara yang dipimpin oleh Weiman, seorang pelarian China (walaupun beliau mungkin berasal-usul dari Korea) yang telah terlebih dahulu melarikan diri dari negara Yan. Beliau dan 1000 orang pengikutnya ditugaskan oleh raja Jun untuk melindungi sempadan barat-laut Gojoseon. Namun, Weiman, atau Wiman dalam sebutan Korea, mengambil kesempatan untuk melakukan rampasan kuasa ke atas sebahagian wilayah Gojoseon pada tempoh 194 hingga 180 SM sekaligus menabalkan dirinya sendiri sebagai raja. Jun dicatatkan melarikan diri ke negara Jin, dan beliau memerintah di sana sebagai raja.

Wiman turut membawa masuk elemen-elemen kebudayaan China ke Korea, seperti budaya Konfusianisme dan Taoisme. Pemerintahan Wiman Joseon tidak bertahan lama dan pada tahun 108 Sebelum Masihi, ia ditakluk oleh Dinasti Han dari China (206 SM – 220 M) dan ibu kota Wanggum ditawan. Maharaja Han Wu (141-87 SM) bertekad mahu meluaskan empayarnya dan menguasai sumber alam yang terdapat di bahagian utara Korea, terutama sekali besi dan garam. Untuk tujuan itu, beliau menghantar sepasukan tentera yang terdiri daripada 50 000 orang tentera dan armada laut yang berkekuatan 7000 orang. Setelah berhasil menundukkan kerajaan di selatan ini, Han kemudiannya membahagikan bahagian utara Korea kepada empat buah wilayah yang ditadbir secara langsung oleh pemerintahan pusat Han. Han mengekalkan dominasi ke atas wilayah-wilayah tersebut selama empat kurun. Pelarian-pelarian dari Wiman Joseon yang sudah pun tumbang ini membawa budaya mereka ke selatan dan seterusnya, bangkit semula dan menewaskan China semasa era Tiga Kerajaan. Nama Joseon/Choson turut muncul kembali sebagai nama negara yang menguasai Korea pada kurun ke-14 M.

This content was made possible with generous support from the British Korean Society.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Darihal Penulis

Mark Cartwright
Mark merupakan seorang penulis sejarah yang berpangkalan di Itali. Minat-minat khususnya merangkumi seni penghasilan tembikar, seni bina bangunan, mitologi dunia, dan merungkai faham-faham yang dikongsi oleh kesemua tamadun. Beliau mempunyai kelulusan peringkat MA dalam bidang Falsafah Politik dan bertugas sebagai Pengarah Penerbitan di WHE.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Cartwright, M. (2016, October 13). Gojoseon [Gojoseon]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-11088/gojoseon/

Gaya Chicago

Cartwright, Mark. "Gojoseon." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai October 13, 2016. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-11088/gojoseon/.

Gaya MLA

Cartwright, Mark. "Gojoseon." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 13 Oct 2016. Web. 25 Dec 2024.