Empayar Khmer

10 hari yang tinggal

Melabur dalam Pendidikan Sejarah

Dengan menyokong badan amal Yayasan Sejarah Dunia kami, anda melabur dalam masa depan pendidikan sejarah. Sumbangan anda membantu kami memperkasakan generasi akan datang dengan pengetahuan dan kemahiran yang mereka perlukan untuk memahami dunia di sekeliling mereka. Bantu kami memulakan tahun baru bersedia untuk menerbitkan maklumat sejarah yang lebih dipercayai, percuma untuk semua orang.
$3081 / $10000

Inti Sari

Rodrigo Quijada Plubins
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 12 March 2013
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris, Czech, Perancis, Turki
Dengarkan artikel ini
X
Cetak Artikel
Khmer Empire c. 900 CE (by Javierfv1212, CC BY-SA)
Empayar Khmer sekitar 900 Masihi
Javierfv1212 (CC BY-SA)

Empayar Khmer merupakan sebuah negara yang berkuasa di Asia Tenggara dari tahun 802 hingga 1431 M, ditubuhkan oleh masyarakat yang dikenali dengan nama yang sama. Pada zaman kemuncaknya, wilayah kekuasaan empayar ini merangkumi kebanyakan wilayah Kemboja, Thailand, Laos, dan selatan Vietnam moden.

Menjelang kurun ke-7 M, masyarakat Khmer mula mendiami kawasan di sepanjang Sungai Mekong – sungai ketujuh terpanjang di dunia – bermula dari delta hingga ke sempadan Kemboja-Laos moden, di samping daerah antara sungai dan tasik Tonle Sap hingga ke barat dan kawasan yang memanjang di sepanjang sungai Tonle Sap (yang mengalir dari tasik hingga ke sungai, bercantum dengan sungai Mekong di delta). Ketika itu, terdapat beberapa buah kerajaan yang saling berperang antara satu sama lain, sambil kesenian dan kebudayaan mereka pula menerima pengaruh yang kuat daripada India berikutan wujudnya rangkaian laluan perdagangan antara mereka dan sub-benua tersebut.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Agama yang paling berpengaruh di rantau berkenaan adalah Hinduisme, disusuli oleh Buddhisme, yang turut bercampur-aduk dengan kepercayaan animisme dan kultus-kultus tradisional. Antara kota penting yang wujud pada masa itu ialah Angkor Borei, Sambor Prei Kuk, Banteay Prei Nokor dan Wat Phu. Menurut sejarah, seorang tokoh bernama Jayavarman II, yang dipercayai berasal-usul dari sebuah tempat bernama Java – tidak pasti sama ada ia merujuk kepada Pulau Jawa di Asia Tenggara ataupun tidak, mengepalai pasukan tenteranya dan menewaskan kerajaan-kerajaan kecil yang wujud di rantau berkenaan sekaligus mendirikan sebuah kerajaannya sendiri. Pada tahun 802 M, beliau menggunakan gelaran chakravartin yang bermaksud “raja sejagat', dan tarikh tersebut diambil sebagai tarikh permulaan empayar beliau.

Beberapa kali juga Khmer berperang dengan dua bangsa jiran yang mempunyai kerajaan yang cukup berkuasa, iaitu Cham dan Vietnam.

Dengan menjadikan Angkor sebagai pusat pemerintahan, kurun-kurun yang berikut menyaksikan empayar Khmer melebarkan kekuasaannya, terutama ke arah utara (memasuki dataran Khorat) dan barat, hingga ke lembangan Chao Praya dan wilayah-wilayah yang lebih jauh daripada itu. Keadaan di timur bagaimanapun menyaksikan situasi yang berbeza: sejarah menyaksikan betapa beberapa kali juga Khmer terpaksa berperang dengan dua bangsa jiran yang mempunyai kerajaan yang cukup berkuasa, iaitu Cham (di Vietnam tengah moden) dan Vietnam (di Vietnam utara moden). Walaupun Khmer berjaya meraih sejumlah kemenangan, misalnya pada tahun 1145 M yakni sewaktu ibu kota Cham, Vijaya, berjaya ditakluk, mereka tidak pernah berhasil menyerap sepenuhnya wilayah-wilayah Cham. Keadaan sebaliknya berlaku buat Cham dan Vietnam yang masing-masing menikmati kemenangan, khususnya Cham yang sempat membalas dendam dengan menjarah Angkor (1177 M) dan mengasak kekuatan Khmer hingga ke ambang kejatuhannya.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Sepanjang berlalunya sejarah empayar Khmer, raja-raja mereka mencurahkan banyak usaha dan masa dalam menundukkan pemberontakan yang dicetuskan oleh bangsawan-bangsawan yang cuba merebut kemerdekaan, atau mereka yang mengatur konspirasi menggulingkan raja. Keadaan sebegini seringkali berlaku susulan kemangkatan raja, memandangkan hak pewarisan takhta kebiasaannya diperebutkan sesama mereka.

Bangsa Khmer merupakan jurubina yang terkemuka, dan hal ini jelas terbukti apabila wilayah mereka dipenuhi dengan kuil-kuil monumental, takungan-takungan air bersaiz besar (disebut sebagai baray), terusan-terusan, dan rangkaian jalan raya yang luas dan dilengkapi dengan pelbagai macam jambatan – jalan utamanya sahaja mencecah 800 km panjang. Angkor Wat yang dianggap sebagai candi paling mengagumkan di dunia, merupakan sebuah mikrokosmos bagi agama Hindu dan dianggap sebagai kompleks keagamaan terbesar di dunia – meliputi kawasan seluas 200 hektar. Pembinaan kompleks ini mengambil masa selama 30 tahun dan ia dimulakan sekitar tahun 1122 M oleh salah seorang raja terulung Khmer, iaitu Suryavarman II.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Raja teragung dalam sejarah empayar Khmer ialah Jayavarman VII (memerintah 1181-1215 M). Beliau bertanggungjawab menghalau bangsa Cham yang menakluki Angkor, membebaskan kerajaan dari cengkaman anarki, dan seterusnya melancarkan kempen ketenteraan ke atas Champa. Projek-projek pembinaan yang diusahakan oleh beliau juga cukup menakjubkan: beliau membina banyak candi, monumen, jalan raya, hospital, dan kompleks Angkor Thom – sebuah kota di dalam kota Angkor. Jayavarman turut berjasa dalam meluaskan wilayah empayar hingga ke kemuncaknya.

Angkor Wat, Cambodia
Angkor Wat, Kemboja
Dennis Jarvis (CC BY-SA)

Nama sebenar Angkor ialah Yashodharapura (“Kota penegak-kegemilangan”), dan pada masa-masa perdananya, ia merupakan kota paling besar di dunia dengan keluasan mencecah seribu kilometer persegi, hampir setanding dengan keluasan Los Angeles di Amerika Syarikat moden. Jumlah populasi Angkor sukar untuk dianggarkan, namun sejarahwan meletakkan angkanya sekitar sejuta orang.

Bangsa Khmer dikenali sebagai masyarakat yang gemar membuat keraian, justeru wujud pelbagai macam keraian dalam sepanjang tahun. Acara gusti, lumba kuda, sabung ayam, bunga api, bermain muzik dan menari merupakan aspek penting dalam budaya mereka. Kebanyakan aktiviti jual-beli dalam kalangan mereka dijalankan oleh kaum perempuan. Raja dan golongan elit pula lazim menaiki tandu sambil dipayungi dari panas matahari. Empayar ini menyaksikan wujud bermacam-macam bentuk agama, dengan agama Hindu sebagai agama pilihan (namun tidaklah mesti ekslusif) raja-raja sebelum ianya diganti oleh Buddhisme. Empayar Khmer terbahagi kepada kira-kira 23 buah wilayah, yang disokong oleh pentadbiran yang cekap dan barisan menteri yang ramai lagi menyeluruh hingga ke peringkat kampung-kampung. Bancian penduduk sering dilakukan secara berkala. Walaupun sistem bancian ini dianggap sebagai kunci kepada kepesatan/kemakmuran empayar, pegawai-pegawai tinggi yang mengelolakannya lazim bersikap culas sehingga menjadi antara wabak yang merosakkan empayar Khmer.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Faktor kemunduran dan kejatuhan akhir empayar Khmer mempunyai hubungan rapat dengan perpindahan bangsa Thai pada kurun ke-12 hingga ke-14 M. Bangsa ini mendiami wilayah utara empayar, yang secara kasarnya berlokasi di kawasan sempadan China dan Asia Tenggara: iaitu Yunnan. Rupa bumi di sana bersifat kasar dan bergunung-ganang, dan di situ jugalah berdirinya kerajaan Thai yang dikenali sebagai Nanchao. Atas sebab-sebab yang tidak diketahui, masyarakat Thai berpindah ke selatan dalam gerombolan-gerombolan kecil. Bangsa Thai muncul pertama kali dalam rekod sejarah sebagai tentera upahan yang berkhidmat untuk empayar Khmer, dan bilangan mereka meningkat sejurus selepas pengaruh mereka bertebaran ke serata kawasan. Perpindahan bangsa ini semakin mendadak sewaktu Monggol melancarkan kempen ketenteraan yang menggegarkan China, dan sewaktu Monggol menakluki Yunnan pada tahun 1253 M, keadaan bangsa Thai kian meruncing. Beberapa tempoh kemudian, Thai menubuhkan kerajaan-kerajaan kecil yang tersendiri, dengan kerajaan yang paling menonjol terletak di sebelah barat empayar Khmer. Kian lama, pengaruh kerajaan-kerajaan ini kian meningkat, dan mereka pun mula menyerang dan menakluk wilayah-wilayah Khmer. Pada waktu itu juga, ekonomi Khmer merudum dek terjejasnya takungan-takungan air yang menjadi sandaran utama empayar akibat peningkatan keladak. Pada tahun 1431 M, Kerajaan Ayutthaya yang merupakan kerajaan bangsa Thai menguasai Angkor sekaligus menamatkan pemerintahan Khmer secara rasmi.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Daftar Pustaka

Ensiklopedia Sejarah Dunia adalah Associate Amazon dan memperoleh komisen untuk pembelian buku yang layak.

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Plubins, R. Q. (2013, March 12). Empayar Khmer [Khmer Empire]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-11782/empayar-khmer/

Gaya Chicago

Plubins, Rodrigo Quijada. "Empayar Khmer." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai March 12, 2013. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-11782/empayar-khmer/.

Gaya MLA

Plubins, Rodrigo Quijada. "Empayar Khmer." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 12 Mar 2013. Web. 21 Dec 2024.