Tamadun Toltec

8 hari yang tinggal

Melabur dalam Pendidikan Sejarah

Dengan menyokong badan amal Yayasan Sejarah Dunia kami, anda melabur dalam masa depan pendidikan sejarah. Sumbangan anda membantu kami memperkasakan generasi akan datang dengan pengetahuan dan kemahiran yang mereka perlukan untuk memahami dunia di sekeliling mereka. Bantu kami memulakan tahun baru bersedia untuk menerbitkan maklumat sejarah yang lebih dipercayai, percuma untuk semua orang.
$3432 / $10000

Inti Sari

Mark Cartwright
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 27 April 2018
Dengarkan artikel ini
X
Cetak Artikel
Toltec Warrior Columns (by Luidger, CC BY-SA)
Lajur Toltec Warrior
Luidger (CC BY-SA)

Tamadun Toltec membangun pesat di wilayah tengah Mexico purba pada kurun ke-10 hingga pertengahan kurun ke-12 M. Selain meneruskan warisan Mesoamerika yang ditinggalkan oleh Olmec, Teotihuacan, Maya dan lain-lain tamadun yang membangun lebih awal, Toltec juga membina sebuah ibu kota yang amat mengagumkan di Tollan dan kemuncaknya, mewariskan legasi itu kepada tamadun-tamadun selanjutnya seperti Aztec, yang memandang Toltec sebagai sebuah tamadun yang agung lagi kaya, dan bahkan mendakwa diri sebagai keturunan langsung tamadun tersebut.

Kebanyakan maklumat tentang Toltec datang daripada teks-teks zaman Aztec dan pasca-kolonial yang mendokumentasikan tradisi-tradisi lisan yang usianya jauh lebih awal. Namun, sumber-sumber ini tidaklah lengkap dan bahkan, maklumat tersebut terdedah kepada pengubahsuaian sesuai dengan penghormatan yang diberikan oleh masyarakat Aztec terhadap Toltec, di samping kecenderungan mereka untuk mencampuradukkan antara mitos dan fakta demi mengesahkan kaitan antara tamadun mereka dan tamadun Toltec. Apapun, perbandingan yang cermat terhadap teks-teks Maya yang lebih awal serta rekod-rekod arkeologi membolehkan elemen-elemen utama tamadun Toltec dikenal pasti.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Asal-Usul & Penyebaran

Susur galur Toltec berakar daripada masyarakat Tolteca-Chichimeca yang berpindah dari kawasan gurun di barat laut ke Culhuacan di Lembah Mexico pada kurun ke-9 M. Menurut masyarakat Aztec, ketua Toltec yang pertama ialah Ce Tecpatl Mixcoatl (Naga Awan Batu Api, atau Bima Sakti), dan puteranya yang bernama Ce Acatl Topiltzin (Si Pengorban Rumput, dilahirkan pada 935 atau 947 M) kelak meraih kemasyhuran terus-menerus sebagai pemerintah ulung sehingga meraihkannya gelaran dewa agung Quetzalcoatl ('Naga Berbulu') daripada sekalian banyak gelarannya.

Masyarakat Toltec pada mulanya menetap di Culhuacan, namun mereka kemudiannya menubuhkan ibu kota di Tollan (Tula).

Masyarakat Toltec pada mulanya menetap di Culhuacan. Namun, mereka kemudiannya menubuhkan ibu kota di Tollan (atau Tula, bermaksud 'tempat rumput', yang merupakan sebuah frasa umum Mesoamerika bagi merujuk kesemua jenis petempatan bersaiz besar). Kota ini berkembang sehingga mencapai keluasan 14 kilometer persegi dan meraih populasi sekitar 30 000 hingga 40 000 orang. Pusat bandar ini dibina dalam corak grid dan ia memiripi bandar Chichen Itza dari tamadun Maya. Tambah menarik, tamadun Maya juga mempunyai wira bangsa yang dikenali sebagai 'Naga Berbulu', atau disebut sebagai Kukulcan dan ia didakwa hidup sezaman dengan Toltec Quetzalcoatl: kesamaan legenda dan seni bina ini mengisyaratkan wujudnya perkaitan budaya yang rapat antara kedua-dua tamadun itu.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

TOLLAN

Tollan meraih kemasyhuran lantaran istana-istananya yang mewah dan bangunan-bangunannya yang dibina daripada emas, jed, batu firus, dan bulu quetzal. Kota ini turut dilimpahi kekayaan daripada hasil-mahsul produk buatan golongan artisan Toltec yang mahir dalam penempaan logam dan tembikar – sangat mahir hinggakan artisan tembikar mereka didakwa 'mengajar tanah liat agar terhampar dengan sendirinya' (Coe, 156) dan para artisan logam serta pengeluar perhiasan Aztec dikenali sebagai tolteca. Tamadun Toltec juga dikatakan mahir mengusahakan tanah dan menghasilkan tuaian jagung, kapas merah, kuning, hijau dan biru secara alami dalam kuantiti yang banyak. Berikutan penjarahan yang berlangsung berkurun-kurun lamanya, tidaklah menghairankan jika tiada sebarang artifak yang terselamat bagi membuktikan kemewahan ini melainkan petunjuk yang mengisyaratkan bahawa tamadun Toltec sememangnya pernah memperdagangkan batu obsidian (digunakan bagi menghasilkan bilah dan mata panah) yang dilombong dari kawasan berhampiran Pachuca.

Toltec Warrior Columns
Lajur Toltec Warrior
Luidger (CC BY-SA)

Tapak arkeologi Tollan yang terletak di tanjung tinggi batu kapur memiliki sejumlah monumen yang mengagumkan, walau tidaklah semegah yang dikhabarkan oleh legenda. Antaranya termasuklah dua buah piramid besar, sebuah deretan jalan, sebuah bangunan istana besar, dan dua buah gelanggang bola, di mana kesemuanya ini dikelilingi oleh kawasan perumahan urban yang padat. Perumahan domestik disusun dalam sejumlah kumpulan sehingga lima buah kediaman berbumbung-rata, dengan setiap kumpulan berpusat pada perkarangan yang mempunyai sebuah altar dan kesemuanya ini dikelilingi oleh tembok.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan
Toltec adalah sebuah masyarakat yang gemar berperang, justeru tidak diragukan bahawa mereka menakluk suku-suku di wilayah sekeliling & mengenakan ufti ke atas mereka tanpa peduli untuk melaksanakan usaha penyatuan.

Antara seni bina patung pada piramid yang masih bertahan sehingga kini termasuklah tiang-tiang besar, yang setiap satunya mengandungi empat buah gendang dan diukir sebagai pahlawan yang berdiri di atas lima batang tiang Piramid B setinggi 10 m. Pahlawan-pahlawan ini dahulunya menjunjung struktur bumbung. Mereka dipakaikan dengan pakaian perang serta kelengkapan kepala dan perhiasan dada berbentuk rama-rama. Setiap seorang daripada mereka memegang sebilah atlatl atau pelempar-lembing di sisi. Selain itu, terdapat juga tiang-tiang berbentuk naga-berbulu yang masih terselamat dari gerbang asal. Tiang-tiang pahlawan ini bentuknya hampir identikal antara satu sama lain dan hal ini mengisyaratkan keupayaan pertukangan yang maju dalam penghasilan berskala besar.

Perhiasan dinding turut terdapat di sepanjang piramid dan pada sebuah tembok berbentuk-L yang berdiri setinggi 40 m (dikenali sebagai coatepantli dan merupakan sebuah inovasi dari tamadun Toltec). Perhiasan dinding ini mempamerkan lukisan haiwan-haiwan seperti harimau kumbang, serigala, dan koyote (simbol yang lazim dikaitkan dengan masyarakat yang gemar berperang seperti Toltec) serta bahan-bahan korban (terutama ular yang melilit tengkorak). Terdapat juga imej makhluk berbulu (mungkin harimau kumbang) dan helang yang menggerigit jantung pada mulut mereka.

Tollan juga memberikan contoh terawal bagi binaan chacmool, iaitu patung pahlawan batu yang bersandar sambil menggenggam sebuah bekas di perut mereka bagi menerima sembah korban yang diberikan kepada para dewa. Binaan ini kemudiannya menjadi ciri lazim bagi kuil-kuil di Mesoamerika. Di Tollan, binaan ini ditempatkan di sisi takhta-bangku yang terletak di atas kuil piramid.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Tollan (Tula)
Tollan (Tula)
Gengiskanhg (CC BY-SA)

Kemunduran

Faktor yang menamatkan penguasaan serantau tamadun Toltec tidak diketahui secara jelas. Sebagai sebuah masyarakat yang gemar berperang, tidak dinafikan bahawa tindakan menakluki suku-suku di wilayah sekeliling dan mengenakan ufti ke atas mereka tanpa mempedulikan usaha untuk menyatukan mereka ke dalam budaya politik atau keagamaan Toltec mengakibatkan 'empayar' ini melemah apabila mengalami tekanan dari bencana alam seperti kemarau yang panjang. Pertelagahan dalaman jua mungkin mendorong kepada perpecahan struktur kuasa dan hal ini diisyaratkan dalam kisah-kisah legenda pertempuran antara dewa Quetzalcoatl dan Tezcatlipoca, yang dicampuradukkan dengan figura-figura sejarah. Apa yang lebih dapat kita pastikan adalah Tollan sememangnya menunjukkan tanda-tanda kehancuran yang dahsyat pada pertengahan kurun ke-12 M; kebanyakan tiang dan tugunya dibakar dan ditanam secara sengaja, lalu tapak ini kemudiannya dijarah secara sistematik oleh tamadun Aztec. Dengan diketuai oleh pemimpin Toltec yang terakhir, iaitu Huemac, saki-baki masyarakat Toltec berpindah ke Chapultepec yang terletak di tebing barat Tasik Texcoco. Perpindahan ini secara tradisinya dianggarkan berlaku pada tahun 1156 atau 1168 M.

Legasi

Nama Toltec memikul prestij yang tersendiri dan mereka dipandang hormat oleh tamadun Maya dan Aztec secara khusus, yang menyerap banyak aspek amalan keagamaan dan kesenian Toltec. Tamadun Aztec bahkan memandang era Toltec sebagai era keemasan di mana kemajuan-kemajuan seperti tulisan, perubatan dan penempaan logam dicipta. Kesemuanya ini mungkin dicipta lebih awal dan mungkin juga dicipta oleh tamadun lain. Namun, apa yang pasti pengaruh Toltec pada seni bina dan pengukiran begitu ketara. Imej dewa-dewa di Tollan kemudiannya muncul dalam pantheon Aztec, seperti Centeotl, Xochiquetzal, Tlahuizcalpantecuhtli dan ular berbulu yang dikenali sebagai Quetzalcoatl. Ukiran-ukiran batu pada bekas yang terdapat pada binaan cuauhxicalli dan chacmool yang digunakan dalam upacara korban serta tzompantli (rak tengkorak) semuanya membuktikan pengaruh Toltec terhadap tamadun-tamadun sesudahnya yang lebih masyhur. Walau bagaimanapun, apa pun jua legasi yang ditinggalkan oleh penduduk Tollan, bagi tamadun Aztec, satu-satunya tamadun yang mereka dakwakan sebagai leluhur mereka ialah Toltec. Darjah penghormatan yang diberikan oleh mereka terhadap Toltec terbukti dalam istilah yang berbunyi Toltecayotl atau 'memiliki hati Toltec' yang membawa maksud unggul dalam segala perkara.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Darihal Penulis

Mark Cartwright
Mark merupakan seorang penulis sejarah yang berpangkalan di Itali. Minat-minat khususnya merangkumi seni penghasilan tembikar, seni bina bangunan, mitologi dunia, dan merungkai faham-faham yang dikongsi oleh kesemua tamadun. Beliau mempunyai kelulusan peringkat MA dalam bidang Falsafah Politik dan bertugas sebagai Pengarah Penerbitan di WHE.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Cartwright, M. (2018, April 27). Tamadun Toltec [Toltec Civilization]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-12131/tamadun-toltec/

Gaya Chicago

Cartwright, Mark. "Tamadun Toltec." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai April 27, 2018. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-12131/tamadun-toltec/.

Gaya MLA

Cartwright, Mark. "Tamadun Toltec." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 27 Apr 2018. Web. 23 Dec 2024.