Hagia Sophia

10 hari yang tinggal

Melabur dalam Pendidikan Sejarah

Dengan menyokong badan amal Yayasan Sejarah Dunia kami, anda melabur dalam masa depan pendidikan sejarah. Sumbangan anda membantu kami memperkasakan generasi akan datang dengan pengetahuan dan kemahiran yang mereka perlukan untuk memahami dunia di sekeliling mereka. Bantu kami memulakan tahun baru bersedia untuk menerbitkan maklumat sejarah yang lebih dipercayai, percuma untuk semua orang.
$3029 / $10000

Inti Sari

Thomas Cohen
oleh , diterjemahkan oleh Azzah Abdul Rahman
diterbitkan pada 19 November 2015
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Perancis, Sepanyol, Turki
Dengarkan artikel ini
X
Cetak Artikel
Hagia Sophia Panorama (by Mark Cartwright, CC BY-NC-SA)
Panorama Hagia Sophia
Mark Cartwright (CC BY-NC-SA)

Hagia Sophia di Istanbul yang dibina pada tahun 532 - 537, masih diangkat sebagai salah satu daripada binaan paling penting di dunia. Hagia Sophia (daripada Bahasa Greek Ἁγία Σοφία, bermaksud 'Kebijaksanaan Suci') direka untuk dijadikan basilika agung Empayar Byzantine. Kubahnya direkodkan sebagai kubah terbesar di dunia sehinggalah Duomo dibina di Florence pada abad ke-15. Semakin lama, Hagia Sophia menjadi semakin penting apabila para arkitek zaman berzaman terinspirasi oleh kubahnya dalam mereka bentuk gereja dan masjid.

Pembinaan & Reka Bentuk

Selepas Rusuhan Nika pada 532 memusnahkan basilika asal di Constantinople, Maharaja Justinian (527-565) bercita-cita untuk membina basilika paling agung dalam Empayar Rom. Baginda menitahkan dua arkitek iaitu Anthemius dari Tralles dan Isidore dari Miletus supaya mencipta binaan yang sepadan dengan status ibu negara Empayar Rom Timur. Kedua-dua arkitek itu yang pada asalnya ahli matematik, menggunakan konsep seni bina baru dalam membina bangunan yang menepati kehendak maharaja Byzantine itu. Bagi mewujudkan ruang dalaman sebesar yang mungkin, kubah raksasa di tengah-tengah bangunan itu direka bentuk dan ditampung menggunakan kaedah pembinaan revolusioner yang dipanggil singgah kubah. Hagia Sophia menggunakan empat singgah kubah (pendentif) berbentuk segi tiga untuk menampung berat kubah yang bulat dan diselarikan dengan superstruktur berbentuk segi empat sama di bawahnya, tanpa memerlukan tiang-tiang besar yang mengganggu bahagian tengahnya.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan
Kubah raksasa itu DIREKA BENTUK menggunakan kaedah pembinaan revolusioner YANG DIPANGGIL SINGGAH KUBAH (PENDENTIF).

Dimensi struktur yang masih ada pada hari ini menunjukkan bentuk Hagia Sophia yang menghampiri segi empat sama sempurna: panjang 269 kaki (81 m) dan lebar 240 kaki (73 m). Kupola kubah sekarang terapung pada ketinggian 180 kaki (55 m) di atas lantai mozek. Bangunan itu berserta kubah pertamanya siap pada tahun 537, namun kubah itu roboh sebahagiannya pada tahun 557. Kubah kedua dengan rusuk struktural dan lengkungan yang lebih besar berbanding kubah sebelumnya, direka bentuk oleh Isidore Muda, anak saudara salah seorang arkitek asal.

Isidore Muda bertanggungjawab memulihkan beberapa isu yang menjadi punca keruntuhan kubah asal. Pertama, sewaktu pembinaan asal, tukang batu bekerja secara cuai dengan meletakkan lebih banyak mortar berbanding bata. Ditambah pula kerja dibuat dalam keadaan tergesa-gesa. Mereka tidak menunggu lapisan mortar itu benar-benar padu sebelum meletakkan lapisan bata seterusnya. Ini mengakibatkan gangguan struktur yang diburukkan lagi oleh kubah yang terlalu dangkal. Apabila lengkungan kubah cukup bulat, berat dan tekanan struktur akan dibebankan kepada tiang-tiang yang menampung. Bagaimanapun, lengkungan kubah asal terlalu dangkal, lalu menolak keluar tembok yang sedia rapuh. Bagi membaiki situasi itu, Isidore Muda menambahkan ketinggian kubah yang sekali gus meninggikan lengkungan dan kedalamannya, serta menambah 40 rusuk sebagai penampung. Bagaimanapun, sebelum penambahbaikan ini berlaku, beliau dipaksa membina semula sebahagian besar daripada tembok asal dan kubah-kubah separa supaya kubah baru itu lebih bertahan lama berbanding kubah asal.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Gambaran Kubah

Sejarah dua generasi arkitek dan dua kubah berbeza ini diketahui melalui penulis-penulis Byzantine dan kajian seni bina abad ke-20. Keagungan Hagia Sophia direkodkan berabad-abad lamanya, sebagaimana yang digambarkan oleh Photios, seorang partriark Constantinople abad ke-9:

Ia seumpama seseorang melangkah masuk ke syurga tanpa dihalang oleh sesiapapun; lalu dia terpesona serta terpegun menyaksikan aneka keindahan yang bersinar terang bagaikan dikelilingi bintang-bintang. Kemudian, segalanya bagaikan dalam khayalan dan gereja itu sendiri seperti sedang berputar.

Pada abad ke-20, ramai jurutera seni bina terpesona oleh kehebatan Hagia Sophia dan mahu mengetahui cara ia direka, dibangunkan, dan dibina. Robert Van Nice yang bekerja di Dumbarton Oaks adalah warga Barat pertama yang diberikan akses kepada Hagia Sophia yang baru disekularkan pada 1930-an. Analisis berstruktur Van Nice kemudiannya diterbitkan pada 1960-an.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Hagia Sophia Interior
Ruang Dalam Hagia Sophia
Mark Cartwright (CC BY-NC-SA)

Kualiti estetik reka bentuk geometri adalah perkara paling yang menjadi perhatian dalam kerja-kerja memelihara Hagia Sophia. Disebabkan adanya perkaitan antara keindahan, harmoni, dan matematik, satu gambaran objektif Hagia Sophia telah mendedahkan keindahan tertentu dalam reka bentuknya. Ini berlaku pada banyak bangunan yang dibina pada zaman Rom purba dan Constantinople Antik Akhir, misalnya. Sebagaimana yang dituliskan oleh Anthony Cutler pada 1950-an, "ciri penting dan jelas bagi seni bina Byzantine awal, hubungan disiplin antara matematik dengan mekanik struktural." Sebagai contoh, reka bentuk Hagia Sophia menggunakan singgah kubah sebagai pilihan estetik yang mewujudkan harmoni dan simetri. Menurut Cutler, singgah kubah itu adalah penyelesaian geometrik kepada masalah kejuruteraan yang sekali gus mencetuskan kesan estetik. Interaksi antara geometri dengan keindahan, menampilkan ciri pemahaman Byzantine dan kegeniusan kejuruteraan. Reka bentuk kubah itu melambangkan sesuatu yang monumental dan menakjubkan.

Hiasan Bahagian Dalam

Hiasan dalaman Hagia Sophia juga inovatif. Pada bahagian dalaman itu, tersusun kepingan-kepingan marmar besar yang berkemungkinan sengaja dipilih dan direka untuk kelihatan seolah-olah air yang sedang mengalir. Kubah utama terapung di atas gegelung jendela dan ditampung oleh dua kubah separa dan dua lengkungan terbuka. Ini mewujudkan sebuah ruang ibu yang agam dan terhampar lapang tanpa sebarang halangan. Mozek-mozek besar bercorak malaikat bersayap enam yang dipanggil heksapterigon, menghiasi setiap singgah kubah. Dua lengkungan terbuka itu ditampung oleh tiang porfir gergasi yang dipacakkan pada lantai.

Pada asalnya, ruang ibu dihias dengan susunan mozek Byzantine yang amat perinci dan rumit, dan memaparkan ilustrasi babak-babak dan tokoh-tokoh daripada Kitab Injil. Selepas penaklukan Uthmaniyyah, kebanyakan mozek Kristian ini ditutup dengan kaligrafi Islam dan hanya ditemui semula pada abad ke-20 iaitu selepas sekularisasi Turki (selepas Hagia Sophia diubah menjadi muzium pada 1935). Ini termasuklah mozek pada kubah utama yang ilustrasinya berkemungkinan adalah Christ Pantrocrator yang merentangi keseluruhan siling, dan kini dilitupi oleh kaligrafi emas yang menakjubkan. Pada lantai ruang ibu ada Omphalion (pusat bumi), kepingan marmar bulat besar yang menjadi tempat maharaja-maharaja Rom dan Byzantine ditabalkan. Dekorasi terakhir yang ditambah oleh sultan-sultan Uthmaniyyah untuk melengkapkan transisi gereja Kristian menjadi masjid Islam ialah lapan medal raksasa yang digantung pada tiang-tiang ruang ibu. Nama Allah, Nabi Muhammad, keempat-empat Khulafa' al-Rasyidin, dan dua cucu Nabi Muhammad iaitu Hassan dan Hussin dilakarkan pada medal-medal itu dengan kaligrafi Arab. Pemimpin Uthmaniyyah turut menambahkan sebuah mihrab, mimbar, dan empat menara gergasi bagi menyempurnakan pertukaran Hagia Sophia menjadi masjid empayar.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Hagia Sophia Interior Ceiling
Siling Dalam Hagia Sophia
Jeison Higuita (Public Domain)

Pengaruh Pada Arkitek Seterusnya

Keberanian genius para arkitek abad ke-6 telah memanfaatkan singgah kubah dan timpanum dalam skala yang belum pernah dibayangkan sebelumnya. Teknik-teknik inovatif yang mereka gunakan termasuklah penggabungan bata yang lebih ringan dan lentur berbanding batu padu ataupun konkrit, yang mewujudkan ruang dalaman kubah. Teknik ini tiada tandingannya di Eropah Barat selama 1000 tahun. Selepas kejatuhan Constantinople (1453), kegeniusan arkitek Hagia Sophia terus mendominasi penguasaan Empayar Uthmaniyyah yang menggunakan rekaan sama pada masjid-masjid mereka. Pemerintahan Uthmaniyyah menakluki kota, namun budaya seni Byzantine menakluki Uthmaniyyah. Di bawah titah Sultan Muhammad al-Fatih, Hagia Sophia ditukar menjadi masjid dalam masa beberapa hari selepas penaklukan, dan mengekalkan legasi seni bina Byzantine dalam bentuk dan era baru.

Painting of Hagia Sophia
Lukisan Hagia Sophia
Mohawk Games (Copyright)

Arkitek Uthmaniyyah yang paling masyhur iaitu Mimar Sinan, amat dipengaruhi oleh Hagia Sophia dan binaan Byzantine yang lain. Beliau berkhidmat pada era pemerintahan Sultan Sulaiman Yang Agung. Mimar Sinan mereka bentuk sejumlah besar masjid empayar dan bangunan lain dengan kubah hemisfera yang serupa, yang menampung singgah kubah di atas kubah separa yang selari dan dinding-dinding. Reka letak dan reka bentuk yang jelas diinspirasikan daripada Hagia Sophia. Hammond berpendapat bahawa mahakarya Mimar Sinan iaitu Masjid Süleymaniye yang siap dibina pada 1557, mengekalkan kesinambungan Hagia Sophia dan secara serentak mensintesiskannya dengan inovasi seni bina Renaissance kontemporari yang berlaku di Itali.

Masjid-masjid Uthmaniyyah yang seterusnya turut dipengaruhi oleh Hagia Sophia. Masjid Biru, misalnya, mengekalkan reka letak yang diinspirasikan daripada Hagia Sophia iaitu inovasi singgah kubah dan kubah separa yang mewujudkan ruang dalaman. Penggunaan bentuk dan corak geometri Islam yang berlawanan dengan imej ikon Kristian Ortodoks, juga mempunyai kesinambungan daripada geometri Greco-Roman-Byzantine dalam seni bina suci seperti yang dinyatakan sebelum ini. Malah, Mimar Sinan yang membina Masjid Süleymaniye itu jugalah yang bertanggungjawab membaiki Hagia Sophia yang berusia milenium ketika era pemerintahan Sultan Salim II.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Selain impak Hagia Sophia ke atas seni bina Uthmaniyyah, ia juga menginspirasi dan mempengaruhi seni bina Greek dan Rusia Ortodoks selama berabad-abad. Penulis Visions of Heaven: The Dome in European Architecture, Victoria Hammond berpendapat bahawa basilika Rusia Ortodoks di Moscow dan Kiev turut dipengaruhi oleh hubungan awal Muscovite dengan Constantinople pada abad ke-10.

Walaupun peralihan daripada Byzantine kepada Uthmaniyyah telah dimuktamadkan dengan penyingkiran ikon-ikon Kristian, Hagia Sophia pada hari ini meneruskan fungsinya sebagai masjid bernama Ayasofya. Malah Hagia Sophia mengekalkan kedudukannya sebagai bangunan suci walaupun ketika dijadikan muzium sekular, disebabkan inspirasi, simbol, dan kesan yang ditinggalkannya kepada para pengunjung. Visi para arkitek asalnya iaitu membina sebuah bangunan sebagai sintesis agama dengan matematik, menentukan impak kepada semua yang melihatnya. Dan balasannya, impak Hagia Sophia kepada setiap mata yang melihat itulah yang menentukan kepentingan dan keindahannya berkekalan. Skalanya, simbolisme, dan keunggulan bahan-bahan binaannya mencerminkan kata-kata Maharaja Justinian ketika Hagia Sophia baru siap pada tahun 537, "Wahai Sulaiman, aku telah menewaskan kamu!"

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Daftar Pustaka

  • Cutler, A. "Structure and Aesthetic at Hagia Sophia in Constantinople." The Journal of Aesthetics and Art Criticism, Autumn, 1966, pp. 27-35.
  • Hammond, V. Visions of Heaven: The Dome in European Architecture. New York: Princeton Architectural Press, 2005
  • MacDonald, W. "Design and Technology in Hagia Sophia." Perspecta, 1957, pp. 20-27.
  • Mainstone, R. "Justinian's Church of St. Sophia, Istanbul: Recent Studies of Its Construction and First Partial Reconstruction." Architectural History, 1969, pp. 39-49.
  • Mark, R. Hagia Sophia from the Age of Justinian to the Present. Cambridge University Press, Cambridge, 1992
  • Smith, B. "The Dome: a Study in the History of Ideas." Princeton Monographs in Art and Archaeology, 25/1978.
  • Van Nice, R.L. "The Structure of St. Sophia." Architectural Forum, 63/1963, pp. 23-49.

Darihal Penterjemah

Azzah Abdul Rahman
Azzah Abdul Rahman @ Azzah AR adalah penulis, penterjemah, dan editor bebas dari Malaysia yang mula meminati sejarah dunia sejak aktif mengembara.

Darihal Penulis

Thomas Cohen
Tom adalah editor di Institut Berggruen dan menulis untuk penerbit-penerbit antaranya WorldPost, Huffington Post, dan Zocalo Public Square. Beliau penyandang sarjana falsafah daripada Dominican University dan ijazah Klasik daripada Saint Mary's College.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Cohen, T. (2015, November 19). Hagia Sophia [Hagia Sophia]. (A. A. Rahman, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-14168/hagia-sophia/

Gaya Chicago

Cohen, Thomas. "Hagia Sophia." Diterjemahkan oleh Azzah Abdul Rahman. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai November 19, 2015. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-14168/hagia-sophia/.

Gaya MLA

Cohen, Thomas. "Hagia Sophia." Diterjemahkan oleh Azzah Abdul Rahman. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 19 Nov 2015. Web. 21 Dec 2024.