Zaman Jomon

10 hari yang tinggal

Melabur dalam Pendidikan Sejarah

Dengan menyokong badan amal Yayasan Sejarah Dunia kami, anda melabur dalam masa depan pendidikan sejarah. Sumbangan anda membantu kami memperkasakan generasi akan datang dengan pengetahuan dan kemahiran yang mereka perlukan untuk memahami dunia di sekeliling mereka. Bantu kami memulakan tahun baru bersedia untuk menerbitkan maklumat sejarah yang lebih dipercayai, percuma untuk semua orang.
$3081 / $10000

Inti Sari

Tony Hoang
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 02 March 2016
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris, Perancis, Bahasa Indonesia, Sepanyol, Turki
Dengarkan artikel ini
X
Cetak Artikel
Jomon Clay Mask (by James Blake Wiener, CC BY-NC-SA)
Topeng Tanah Liat Jomon
James Blake Wiener (CC BY-NC-SA)

Zaman Jomon merupakan zaman sejarah terawal Jepun yang bermula sekitar tahun 14 500 Sebelum Masihi, bersamaan dengan Zaman Neolitik di Eropah dan Asia. Zaman ini berakhir sekitar tahun 300 Sebelum Masihi dan disusuli oleh Zaman Yayoi. Perkataan Jomon yang membawa maksud 'tanda pusat' atau 'bercorak' datang daripada seni pembuatan tembikar yang dihasilkan pada zaman itu. Walaupun zaman ini secara keseluruhannya disebut sebagai Jomon, terdapat pelbagai fasa khusus yang boleh dikenal pasti menerusi gaya seni tembikar dan tujuan penggunaannya.

Petempatan & Kelangsungan Hidup

Masyarakat yang datang ke wilayah Jepun moden ini berpindah ke wilayah itu buat pertama kali pada lewat zaman glasier akhir, atau Zaman Ais. Besar kemungkinan mereka ini mengikuti pergerakan haiwan-haiwan yang merentasi jambatan darat yang terbentuk semasa zaman ais. Tatkala cuaca berubah semakin panas dan jambatan darat ini hilang, masyarakat yang kelak membentuk masyarakat Jomon ini sudah pun berada di sebuah pulau. Bersama gerombolan haiwan yang sudah terputus hubungan dengan habitat asal mereka, masyarakat Jomon mengamalkan gaya hidup berburu dan mengumpulkan hasil hutan untuk melangsungkan hidup. Pemakanan mereka dipercayai terdiri daripada beruang, babi hutan, ikan, kerang, keladi, anggur liar, kacang walnut, buah berangan dan akorn. Sisa tinggalan yang membuktikan corak pemakanan mereka ini ditemui di dalam tempat pembuangan, longgokan sampah dan gundukan cengkerang yang terdapat di kawasan berhampiran kampung-kampung.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan
Walaupun masyarakat Jomon mengamalkan gaya hidup yang agak bersifat menetap, penanaman padi hanya diperkenalkan pada penghujung zaman ini, iaitu sekitar tahun 900 Sebelum Masihi.

Bermula sekitar tahun 5000 Sebelum Masihi, masyarakat Jomon membangunkan gaya hidup yang bersifat lebih menetap dan hidup di kampung-kampung. Kampung paling besar pada zaman itu didapati memiliki keluasan sekitar 100 ekar (sekitar 0.4 km persegi) dan menampung kira-kira 500 orang penduduk. Kampung-kampung yang terletak berhampiran laut banyak bergantung pada aktiviti perikanan manakala petempatan-petempatan yang berada lebih jauh ke pedalaman pula mengamalkan gaya hidup berburu. Dalam kebanyakan kampung, ditemui suatu yang dianggap sebagai platform batu tempat upacara dilangsungkan dan lubang-lubang penyimpanan barang. Rumah-rumah kampung yang bersifat ringkas ini kemudiannya berkembang menjadi rumah-rumah lubang (pithouse), dengan strukturnya disokong oleh sejumlah tiang. Rumah-rumah ini dibina di sekeliling unggun api yang dijadikan sebagai pusat kampung, dan setiap rumah mampu menampung sekitar lima orang penghuni. Masyarakat Jomon lazim menghuni kawasan-kawasan yang berbeza bergantung pada perubahan cuaca: tempoh-tempoh yang lebih sejuk memerlukan mereka untuk menghuni kawasan yang lebih hampir dengan laut, sebagaimana yang dibuktikan menerusi gundukan cengkerang dan tulang ikan yang lebih banyak ditemui berbanding musim panas yang mana corak petempatannya menunjukkan perubahan ke kawasan-kawasan yang lebih ke pedalaman bagi memanfaatkan sumber flora dan fauna.

Seiring perubahan habitat ini, populasi masyarakat Jomon secara keseluruhannya mengalami naik-turun yang agak ketara: menjelang tahun 5000 Sebelum Masihi, populasinya meningkat dari 20 000 orang kepada 100 000 orang. Angka ini terus bertambah kepada 200 000 orang menjelang tahun 3000 Sebelum Masihi, sebelum menurun semula kepada 100 000 orang menjelang penghujung Zaman Jomon. Walaupun masyarakat Jomon mengamalkan gaya hidup yang agak bersifat menetap, revolusi pertanian hanya hadir menerusi pendedahan teknik penanaman padi pada penghujung Zaman Jomon. Revolusi ini berlaku sekitar tahun 900 Sebelum Masihi, di mana penanaman padi turut diperkenalkan bersama teknik pertukangan logam yang maju dari Korea ke barat daya Jepun.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Jomon tools
Alat Jomon
The Trustees of the British Museum (Copyright)

Teknologi

Sama seperti teknologi Neolitik yang digunakan di Eropah dan Asia, hampir kesemua teknologi Jomon terdiri daripada alatan batu dan kayu yang ringkas, seperti pisau, kapak, busur dan anak panah. Selain alatan batu, pelbagai jenis perangkap juga turut digunakan bagi membantu masyarakat Jomon dalam aktiviti berburu. Pakaian mereka diperbuat daripada kulit kayu pokok mulberi, yang diikat dengan menggunakan jarum tulang. Masyarakat Jomon juga didapati menganyam bakul rotan. Memandangkan pada tempoh-tempoh tertentu masyarakat Jomon menghuni kawasan berhampiran laut, maka alatan nelayan seperti tempuling dan cangkuk turut dicipta bersama dengan teknik menggunakannya. Tidak seperti masyarakat di Eropah dan negara-negara Asia yang lain, pertanian masih belum diamalkan di Jepun melainkan pada tempoh yang lebih terkemudian, iaitu menjelang penghujung Zaman Jomon. Justeru, tiada alatan pertanian berskala besar yang ditemui melainkan pada Zaman Yayoi. Walau bagaimanapun, terdapat bukti yang mengesahkan aktiviti hortikultur dan perkebunan skala kecil diamalkan pada Zaman Jomon.

Tembikar Jomon

Tembikar di Zaman Jomon dihasilkan tanpa penggunaan roda tembikar, sebaliknya hanya dengan menggunakan tangan. Proses ini melibatkan penghasilan yang bermula dari lingkaran bawah (tapak) tanah liat lembut yang sudah pun dicampur dengan bahan-bahan lain seperti fiber atau cengkerang hancur. Kemudian, bahagian luar dan dalam tembikar dilicinkan dengan menggunakan alatan dan seterusnya tembikar dibakar di dalam unggun api. Tembikar-tembikar Jomon merupakan yang paling tua di dunia, dengan ribuan daripadanya sudah pun ditemui. Tembikar-tembikar yang digunakan pada fasa terawal Zaman Jomon, iaitu fasa Permulaan (14 500 SM – 5000 SM) mempunyai tapak yang berbentuk bulat dan digunakan untuk memasak di luar rumah, dengan tembikar itu sendiri dibakar di atas timbunan batu ataupun pasir. Bentuk tembikar yang digunakan pada Zaman Jomon Awal (5000 SM – 3000 SM) pula mempunyai tapak yang rata dan lebih cenderung digunakan di kawasan dalam rumah. Pada Zaman Jomon Pertengahan (3000 SM – 1000 SM), tembikar-tembikarnya dihias dengan lebih terperinci, terutama dengan imej api ataupun ular. Manakala pada Zaman Jomon Lewat (1000 SM – 300 SM), bahagian dinding tembikar semakin nipis dan kegunaannya pula lebih meluas.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Jomon cup
Cawan Jomon
The Trustees of the British Museum (Copyright)

Ritual & Kepercayaan

Pada Zaman Jomon, didapati bahawa masyarakatnya mengebumikan bayi di dalam bekas yang bersaiz besar, manakala orang dewasa pula disemadikan di dalam lubang dan gundukan cengkerang yang terletak berhampiran kampung. Di dalam gundukan ini diletakkan barang-barang pengebumian, terutama pada fasa Pertengahan hingga fasa Lewat. Sekitar fasa-fasa awal Jomon, patung-patung dogu daripada tanah liat dihasilkan, dengan ciri awalnya berbentuk rata dan bersaiz sekitar 3 hingga 30 cm. Menjelang fasa Pertengahan, penghasilan patung-patung sebegini semakin meluas dan imejnya pula pelbagai. Pada fasa Lewat, patung-patung ini berkembang menjadi patung tiga dimensi. Kebanyakan patung ini menggambarkan wanita yang sedang mengandung bagi menyimbolkan kesuburan. Mereka juga menghasilkan patung yang menggambarkan orang biasa, namun berkeadaan rosak dengan kepercayaan bahawa sebarang nasib malang atau penyakit yang ditanggung oleh pemilik patung itu akan berpindah ke patung tersebut. Terdapat satu amalan lazim bagi kaum lelaki yang mencapai usia baligh, iaitu ritual menarik gigi. Namun, tujuan pelaksanaannya tidak dapat diketahui. Di bahagian utara Jepun, sejumlah bulatan batu ditemui di sekitar kampung-kampung yang berasal dari Zaman Jomon. Tujuan pembinaan bulatan batu ini tidak diketahui, namun diandaikan ianya memiliki fungsi dalam aktiviti perburuan dan perikanan.

Peralihan Ke Zaman Yayoi

Dalam hampir sepanjang Zaman Jomon, Jepun terpinggir dari negara-negara Asia yang lain. Justeru, budaya, masyarakat dan teknologinya boleh dianggap sebagai asli, dan dalam sisi lain, lebih primitif memandangkan masyarakatnya tidak memiliki sebarang akses terhadap idea dan teknologi tamadun lain. Hanya sekitar penghujung zaman ini barulah wujud bukti yang mengindikasikan interaksi antara masyarakat Jepun dan tamadun di tanah besar, sebagaimana yang dapat dilihat menerusi kesamaan yang wujud dalam seni tembikar di Korea. Begitu juga interaksi dengan Kyushu, pulau Jepun yang paling selatan. Masyarakat Jomon kemudiannya mempelajari teknik penanaman padi dan pertukangan logam dari Korea dan berinteraksi dengan masyarakat yang kelak bercampur-gaul dengan masyarakat asli di wilayah yang terletak jauh di selatan. Mereka ini kelak membentuk masyarakat Jepun moden, walaupun terdapat juga sekumpulan kecil masyarakat yang mengekalkan peratusan DNA Jomon Asli yang tinggi di utara, iaitu di Pulau Hokkaido.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Daftar Pustaka

Ensiklopedia Sejarah Dunia adalah Associate Amazon dan memperoleh komisen untuk pembelian buku yang layak.

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Hoang, T. (2016, March 02). Zaman Jomon [Jomon Period]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-14430/zaman-jomon/

Gaya Chicago

Hoang, Tony. "Zaman Jomon." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai March 02, 2016. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-14430/zaman-jomon/.

Gaya MLA

Hoang, Tony. "Zaman Jomon." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 02 Mar 2016. Web. 21 Dec 2024.