Silla merupakan sebuah kerajaan yang memerintah wilayah tenggara Korea pada zaman Tiga Kerajaan yang berlangsung dari abad pertama SM sehingga abad ke-7 Masihi. Kerajaan Silla terlibat dalam perseteruan panjang dengan kerajaan-kerajaan jiran seperti Baekje (Paekche) dan Goguryeo (Koguryo) serta konfederasi Gaya (Kaya). Ibu kota kerajaan ini terletak di Kumsong (Gyeongju) dan kerajaan Silla memiliki pentadbiran berpusat serta sistem sosial yang berhierarki. Kemewahan Kerajaan Silla dapat dilihat menerusi mahkota emasnya yang sangat menakjubkan. Mahkota tersebut merupakan salah satu khazanah yang paling berharga di Asia Timur purba. Jalinan persekutuan dengan Dinasti Tang-China kemudiannya membolehkan Silla menakluk seluruh semenanjung Korea pada tahun 668 M. Silla kemudian memerintah selama tiga kurun sebagai Kerajaan Silla Bersatu.
Tinjauan Sejarah
Tarikh penubuhan Kerajaan Silla secara tradisionalnya dikatakan pada tahun 57 SM, jika menurut sebuah catatan abad ke-12 M berjudul Samguk Sagi (Catatan Sejarah Tiga Kerajaan). Namun, pentarikhan ini dianggap kurang tepat dan sejarahwan moden lebih cenderung untuk memakai tarikh yang lebih tua bagi merujuk pada Kerajaan Silla Lama (Ko-Silla - 'Silla Lama', panggilan yang bertujuan untuk membezakannya dengan zaman penyatuannya kelak). Kerajaan ini pertama kali ditubuhkan semasa puak Jinhan di wilayah tenggara Korea menubuhkan sebuah konfederasi (pergabungan antara wilayah). Pengasas kerajaan ini ialah Hyeokgeose (atau Pak Hyokkose, memerintah 57 SM – 4 M). Beliau dipercayai dilahirkan daripada sebiji telur magis berwarna merah menyala. Hyeokgeose kemudian menubuhkan ibu kota di Saro yang kemudian dikenali sebagai Kumsong (kini Gyeongju/Kyongju).
Pemimpin-pemimpin awal kerajaan ini memakai gelaran chahaung yang bermaksud dukun atau sami. Hal ini mengisyaratkan bahawa mereka dipilih sebagai ketua atas faktor peranan mereka sebagai dukun dalam kalangan masyarakat. Puak-puak yang mendominasi zaman awal kerajaan ini ialah Pak, Sok dan Kim. Kemudian, Nulchi (memerintah 417 – 458 M) menubuhkan sistem pewarisan monarki bagi menggantikan sistem giliran kuasa antara puak yang diamalkan sebelum ini. Semasa pemerintahan Raja Soji (458 – 500 M), pos-pos kawalan ditubuhkan untuk menambah-baik lagi jaringan komunikasi antara sebuah kota benteng dengan sebuah kota benteng yang lain. Nama ibu kota kerajaan ini, iaitu Saro diambil sebagai nama pertama bagi kerajaan tersebut (turut dikenali sebagai Sorabol yang bermaksud 'Tanah Timur'). Nama Saro kemudian diubah menjadi Silla semasa pemerintahan Raja Beopheung (Pophung, memerintah 514 – 540 M) di mana pada waktu itu pemusatan kuasa telah mencapai tahap yang lebih tinggi.
Berkurun lamanya Kerajaan Silla terlibat dalam konflik peperangan dengan kerajaan-kerajaan jiran seperti Goguryeo, Baekje dan konfederasi Gaya. Kesemua kerajaan ini saling berebutkan hegemoni ke atas Semenanjung Korea. Mereka juga saling bertukar persekutuan antara satu sama lain dalam usaha mencapai matlamat tersebut. Kerajaan Silla memiliki pertahanan semula jadi berupa gunung-ganang. Pada tahun 400 M, Kerajaan Silla membentuk persekutuan dengan Goguryeo dalam usaha menentang kekuatan pakatan Jepun-Baekje. Namun apabila Goguryeo semakin menunjukkan belang mahu menguasai Semenanjung Korea, Baekje dan Silla saling menjalinkan persekutuan dalam tempoh masa yang panjang, iaitu dari tahun 433 hingga 553 M.
Kerajaan Silla meniti masa-masa kemuncak semasa pemerintahan Jijeung (500-514 M). Pada waktu itu, hasil-mahsul pertanian mencapai jumlah yang lebih banyak berkat penggunaan kerbau sebagai haiwan pembajak serta sistem pengairan yang lebih efektif. Kerajaan tersebut juga diperkayakan dengan sumber-sumber asli seperti besi dan emas. Antara barangan yang dihasilkan oleh Silla termasuklah sutera, barangan kulit, perabot berukir, seramik dan peralatan besi. Kesemua penghasilan ini diselia oleh jabatan pentadbiran yang sangat berdedikasi.
Hubungan antara Silla dengan Baekje menjadi renggang apabila Silla menakluk sebahagian lembah Sungai Han. Pada tahun 554 M, Silla menewaskan pasukan tentera Baekje dan membunuh raja mereka, Song dalam sebuah pertempuran yang berlangsung di Gwansan (kini Okcheon). Langkah ketenteraan tersebut membenarkan Silla meraih akses ke pesisiran barat dan Laut Kuning. Hal ini sekaligus membuka peluang yang lebih luas untuk menjalinkan hubungan dengan China.
Silla meraih kejayaan yang lebih banyak di selatan menerusi serangan yang dilancarkan ke atas ibu kota Gaya di Geumgwan (Bon-Kaya). Ibu kota tersebut tumbang pada tahun 532 M. Menjelang tahun 562 M, Daegaya juga dikuasai dan konfederasi Gaya diserap sepenuhnya ke dalam Kerajaan Silla. Pun begitu, Silla masih tetap memiliki dua buah musuh yang begitu berbahaya, iaitu Goguryeo dan Baekje. Pada tahun yang sama, iaitu 562 M, kedua-dua pihak itu saling bergabung dan berjaya menakluk Daeya-dong (kini Hapcheon). Silla kemudian mendapatkan bantuan daripada luar untuk merealisasikan impiannya yang mahu menguasai seluruh Semenanjung Korea.
Tuah seakan-akan memihak Kerajaan Silla apabila China yang pada waktu itu diperintah oleh Dinasti Tang (618-907 M) turut memberikan perhatian kepada kemelut yang berlaku di antara kerajaan-kerajaan di selatan Korea. Sudah tentu, mereka mahu memanfaatkan situasi tersebut untuk kepentingan sendiri. China memilih Silla sebagai sekutu, namun keadaan tidak berjalan dengan lancar buat kedua belah pihak itu. Hal ini kerana pasukan tentera gabungan Silla-Tang ditewaskan oleh pasukan tentera Goguryeo yang dipimpin oleh panglima terkenal mereka, iaitu Yang Manchun pada tahun 644 M. Pada dekad-dekad berikutnya, pasukan tentera Tang masih terus mengalami kekalahan sebanyak tiga kali. Dalam tempoh beberapa tahun kemudian, seluruh peta di semenanjung itu mengalami perubahan yang drastik hasil daripada kerancakan aktiviti ketenteraan.
Tang dan Silla bergabung dalam membentuk pasukan tentera dan armada perang dengan tujuan untuk melancarkan sebuah serangan berskala besar. Silla menghantar sebuah bala tentera seramai 50 000 orang yang dipimpin oleh panglima Kim Yushin sementara Maharaja Tang Gaozong pula membentuk sebuah armada perang gergasi yang terdiri daripada 130 000 orang tentera. Armada ini berlayar sehingga ke Sungai Paek (kini Geum). Gabungan bala tentera gergasi itu menghimpit Baekje dari dua hala. Ibu kota Sabi dihancurkan dan kerajaan itu disapu habis pada tahun 660 M. Silla kemudiannya dengan mudah menundukkan pemberontakan yang meletus pada tahun 663 M. Makanya, tumbanglah sebuah kerajaan dan berbaki lagi sebuah kerajaan untuk ditundukkan oleh Silla.
Sekali lagi, Tang memainkan peranan dalam perebutan hegemoni di Korea. Ibu kota Goguryeo, iaitu Pyongyang diserang oleh pasukan tentera China itu pada tahun 661 dan 667 M. Setelah menghadapi pengepungan selama setahun lamanya, kota itu itu pun tumbang. Menjelang tahun 668 M, Kerajaan Goguryeo dimasukkan sebagai wilayah naungan China, sama seperti Baekje. Walau bagaimanapun, Silla tidak berhasrat untuk membenarkan China terus meraih kelebihan sebegitu. Ketika Tang sedang disibukkan dengan pemberontakan yang berlaku di Tibet, Silla menghantar sebuah pasukan tentera untuk memerangi kekuatan China yang masih berada di Korea. Pertempuran yang berlangsung di Maesosong (675 M) dan Kibolpo (676 M) menyaksikan Silla meraih kemenangan sekaligus menjadi satu-satunya kerajaan yang berkuasa di Korea.
Pentadbiran & Kelas-Kelas Sosial
Sama seperti hierarki dalam kerajaan-kerajaan lain pada zaman itu, kekuasaan kerabat diraja disusuli oleh kekuasaan pentadbiran pusat yang berfungsi mengawal kerajaan menerusi pegawai-pegawai yang dilantik. Mereka berperanan memantau enam buah wilayah (pu). Jika dibandingkan dengan raja dari kerajaan-kerajaan lain, raja-raja Silla mungkin memiliki kuasa yang agak kurang memandangkan mereka berkongsi kuasa pentadbiran dengan sidang aristokrat kecil iaitu hwabaek. Golongan aristokrat ini turut berpengaruh dalam membuat keputusan-keputusan besar seperti pengisytiharan perang.
Dalam pemerintahan Kerajaan Silla yang didominasi oleh golongan lelaki, terdapat juga dua orang maharani yang berkuasa– iaitu Ratu Seondeok (memerintah 632 – 647 M) dan Ratu Jindeok (memerintah 647 – 654 M). Ratu Seondeok dapat menaiki takhta kerana ayahandanya, iaitu Maharaja Jinpyeong (memerintah 579 – 632 M) tidak memiliki pewaris lelaki. Pemerintahan Ratu Seondeok ini memiliki keunikan yang tersendiri memandangkan Buddhism semakin tersebar secara meluas ke dalam kerajaan tersebut sekaligus diangkat sebagai agama rasmi. Ratu Jindeok pula mengikut jejak langkahnya dan membantu Silla untuk terus menguasai Semenanjung Korea. Selain itu, terdapat juga pemerintah wanita yang ketiga – iaitu Ratu Jinseong (memerintah 887 – 898 M) yang memerintah pada zaman Kerajaan Silla Bersatu.
Kebanyakan rakyat kepada maharaja atau ratu ini merupakan petani yang mengusahakan tanah milik sendiri. Namun, mereka juga dituntut untuk terlibat dalam projek-projek kerajaan seperti pembinaan kubu benteng atau bertempur dalam barisan tentera Silla pada masa-masa peperangan. Kelas bangsawan mendominasi jawatan pentadbiran dan keagamaan sekaligus harta kekayaan mengalir ke dalam poket mereka menerusi aktiviti perdagangan dan hasil-mahsul perladangan yang diusahakan oleh hamba-hamba sahaya (kebanyakannya daripada tawanan perang dan banduan). Pemuda-pemuda dari kelas bangsawan pula dilatih dalam sistem Hwarang atau 'Lelaki-Lelaki Bunga (Jambu)', iaitu sebuah sistem yang menerapkan ajaran Buddha namun pada masa yang sama turut menekankan nilai kegagahan dan keperwiraan.
Pada tahun 520 M, Maharaja Beophung memperkenalkan sistem kasta yang dibahagikan mengikut keturunan, dikenali sebagai bone rank system (Golpum atau Kolpum). Sistem ini adalah satu sistem yang mengklasifikasikan taraf sosial seseorang berdasarkan kelahirannya. Melalui sistem ini, pemegang status tertentu dibenarkan untuk memohon tahap-tahap kerja tertentu dalam jawatan pentadbiran. Malah, jumlah cukai yang perlu dibayar juga ditentukan menerusi sistem ini. Secara asasnya, terdapat tiga tahap di dalam sistem kasta ini – iaitu 'keturunan suci' (seonggol), 'keturunan mutlak' (jingol) dan 'keturunan pemimpin' (tupum). Kasta yang terakhir itu (tupum) merupakan kasta yang paling besar dan dibahagikan kepada 6 tahap. Sistem kasta ini meresap dengan begitu kuat dalam Kerajaan Silla hinggakan ia turut mempengaruhi hal-hal yang remeh seperti jenis pakaian yang boleh dipakai oleh seseorang, saiz rumah yang boleh dimiliki oleh seseorang dan bentuk kenderaan yang boleh dinaiki oleh seseorang. Sistem ini begitu ketat tanpa membenarkan sebarang ruang toleransi antara satu kasta dengan satu kasta yang lain. Hal tersebut mendorong kepada berlakunya kebekuan sosial dalam Kerajaan Silla sekaligus menyumbang kepada kejatuhannya.
Hubungan Dengan China
Pada abad ke-4 M, Kerajaan Silla mengekalkan hubungan diplomatik dengan China dan membayar ufti kepada kuasa besar tersebut. Bermula dari abad ke-6 M, pemerintah-pemerintah Silla mula memakai gelaran daripada China iaitu wang (raja) bagi menggantikan gelaran maripkan (bermaksud 'yang ditinggikan') yang digunakan oleh raja-raja Silla terdahulu. Antara pengaruh lain yang digunapakai ialah sistem tulisan China, ajaran Konfucianisme pada zaman Han, dan ajaran Buddhisme yang kemudiannya menjadi agama rasmi kerajaan itu pada tahun 535 M walaupun pada masa itu amalan perdukunan tradisional masih lagi berterusan. Semasa ajaran Taoisme menjadi masyhur pada zaman Tang, ia turut tersebar luas dalam Kerajaan Silla.
Dua buah kerajaan itu menjalinkan hubungan perdagangan yang berpanjangan di mana China mengeksport barangan seperti sutera, teh, buku dan barangan perak sementara Silla pula mengeluarkan emas, kuda, ginseng, kulit binatang, barang-barangan berukir seperti meja, dan hamba sahaya. Pemerintahan Ratu Seondok dan Maharaja Taejong Muyol pada pertengahan abad ke-7 M memperlihatkan hubungan yang lebih rapat dengan Tang-China. Hal ini kerana budaya diraja Tang turut diamalkan di Kumsong. Penuntut-penuntut ilmu daripada Silla turut dihantar ke China untuk melanjutkan pelajaran. Hal yang lebih penting dari itu semua sudah tentulah bantuan ketenteraan yang dihantar oleh Tang untuk membantu Silla dalam menundukkan kerajaan-kerajaan seterunya di Semenanjung Korea.
Kesenian Silla
Tidak diragukan lagi bahawa hasil kerja para karyawan Silla yang paling diraikan adalah mahkota emas yang bersalut gangsa, khazanah yang ditemukan dari beberapa buah makam diraja. Mahkota-mahkota ini menjadi bukti kukuh yang melayakkan ibu kota Kerajaan Silla itu dinamakan sebagai Kumsong yang bermaksud 'kota emas'. Dengan diperbuat daripada emas dan dihiasi dengan manik-manik dan anting-anting jed (magatama) yang berbentuk bulan sabit, mahkota itu turut dipercayai memiliki kaitan dengan simbol-simbol perdukunan. Walau bagaimanapun, barang kesenian tersebut tidak hanya terhad pada mahkota – tetapi juga barang kemas, tali pinggang, kasut dan cawan. Barangan ini semua diperbuat daripada lapisan emas nipis, diukir dengan teliti dan dihiasi dengan sulam-sulaman emas serta cebisan-cebisan kecil jed.
Selain itu, antara hasil seni yang didapati termasuklah patung-patung batu yang bersalut gangsa, terutama sekali patung-patung Buddha, bodhisattva dan Maitreya. Patung Maitreya yang bersalut gangsa yang berusia 600 M merupakan salah satu patung zaman Korea purba yang paling menakjubkan. Patung tersebut menggambarkan sebuah figura yang sedang bertafakur. Patung itu kini dipamerkan di Musium Negara Korea, Seoul.
Tembikar-tembikar dari Silla pada zaman Tiga Kerajaan kebanyakannya merupakan perkakas berwarna kelabu yang memiliki perhiasan yang indah. Terdapat dua bentuk tembikar yang paling awal, iaitu kendi berleher panjang (changgyong ho) dan cawan bermulut bulat dan memiliki penutup serta mempunyai kaki yang lebar, dikenali sebagai kobae. Kobae ini bukanlah digunakan untuk mengisi minuman, sebaliknya adalah untuk menyediakan makanan. Antara bentuk-bentuk tembikar yang lain termasuklah cawan bertanduk, cawan yang dilekatkan dengan roda, cawan yang memiliki satu pemegang, lampu, dan cawan berloceng yang memiliki tanah liat kecil di dalam bahagian bawah yang kosong agar ianya bergemeretak jika diangkat. Kaki tembikar (kurut pachim) yang kebiasaannya berfungsi sebagai penyokong atau penopang mangkuk-mangkuk yang besar turut dihasilkan dengan memiliki hiasan tersendiri. Mungkin, barangan tembikar yang paling menakjubkan dari Kerajaan Silla adalah bekas air yang berbentuk pahlawan berkuda yang lengkap berbaju besi.
Seni Bina Silla
Makam-makam Silla pada zaman Tiga Kerajaan kebiasaannya terdiri daripada kayu yang diletakkan di dalam sebuah lubang. Lubang tersebut kemudian ditutup dengan timbunan batu besar dan longgokan tanah. Untuk membuatkan makam tersebut kalis air, lapisan-lapisan tanah liat disapukan pada celah-celah batu tersebut. Kebanyakan makam digunakan beberapa kali, kadangkala sehingga 10 orang individu dikebumikan di dalam makam yang sama. Jika dibandingkan dengan dua buah kerajaan yang lain, banyak makam dari Kerajaan Silla terselamat sehingga ke hari ini sekaligus kerajaan itu mewariskan sejumlah khazanah kepada kita – daripada mahkota emas hinggalah perhiasan jed. Makam Hwangnam Taechong merupakan antara yang paling besar, menempatkan jasad seorang maharaja dan seorang maharani. Makam tersebut dianggarkan bertarikh seawal abad ke-5 hingga abad ke-7 M dan berukuran 80 x 120 m sambil anak bukitnya pula setinggi 22 dan 23 m.
Salah satu binaan penting yang masih terselamat di Gyeongju ialah pencerap bintang Cheomseongdae, sebuah relik pertengahan abad ke-7 Masihi yang berketinggian 9 meter. Ia merupakan balai pencerap paling tua di Asia Timur yang masih terselamat sehingga ke hari ini.
This content was made possible with generous support from the British Korean Society.