Baekje

Inti Sari

Mark Cartwright
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 27 September 2016
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris, Perancis
Dengarkan artikel ini
X
Cetak Artikel
Baekje Incense Burner (by National Museum of Korea, CC BY)
Baekje Kemenyan Pembakar
National Museum of Korea (CC BY)

Baekje (Paekche) merupakan salah satu dari Tiga Kerajaan yang memerintah Korea bermula dari kurun pertama Sebelum Masihi sehingga kurun ke-7 Masihi. Dengan kekuasaannya meliputi wilayah barat laut semenanjung, kerajaan ini sentiasa bermusuhan dengan dua buah kerajaan lain yang wujud pada masa itu, iaitu Silla dan Goguryeo, serta konfederasi Gaya yang terletak bersebelahan. Kerajaan Baekje meraih kemasyhuran lantaran kebudayaannya yang tinggi. Kebanyakan budayanya itu kemudiannya dieksport ke Jepun yang merupakan sekutunya. Namun ketika Silla bergabung dengan Dinasti Tang dari China, Kerajaan Baekje dihancurkan dan dijadikan sebagai wilayah China sebelum kemudiannya diserap ke dalam Kerajaan Silla Bersatu.

Penubuhan Baekje

Raja-raja Baekje menganggap diri mereka sebagai keturunan dari suku Buyeo (Puyo) yang berasal dari timur laut Manchuria. Menurut Samguk Sagi yang dikarang pada kurun ke-12 Masihi (Catatan-Catatan Sejarah Tiga Kerajaan), kerajaan ini ditubuhkan pada tahun 18 Sebelum Masihi. Namun, kenyataan ini tidak begitu diyakini. Sumber yang sama itu juga ada memaklumkan kepada kita bahawa pengasas kerajaan ini ialah Onjo, putera kepada Dongmyeong yang bertanggungjawab menubuhkan kerajaan Goguryeo (Koguryo). Onjo dan saudaranya, Biryu mendirikan ibu kota mereka di Wirye-Song (Seoul moden). Nama Baekje membawa maksud 'memerintah lebih 100 orang' yang merujuk kepada kumpulan pertama penyokong Onjo yang ikut berpindah bersamanya.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Namun, sejarahwan moden menamakan Raja Goi (memerintah 234-286 Masihi) sebagai pengasas Kerajaan Baekje dan pembentuk kerajaan berpusat. Goi turut membentuk sebuah kabinet yang terdiri daripada enam orang pegawai (naesin) yang berperanan mentadbir kerajaan berpusat yang baru ini. Sebuah sistem menteri dengan 16 peringkat turut dibentuk. Goi juga berusaha mengurangkan korupsi di dalam kerajaannya pada tahun 262 Masihi dengan mengenakan denda sebanyak tiga kali ganda termasuk penyisihan dari jabatan bagi mana-mana pegawai yang berbuat salah laku. Kerajaan Baekje mengecapi kepesatan lantaran kesuburan tanah-tanah pertaniannya. Ia juga berupaya membangun dengan maju menerusi pemerolehan wilayah-wilayah jiran seperti kota-kota berbenteng Mahan dan Taebong (bekas negara Chinbon) pada tahun 314 Masihi.

Kelas-Kelas Sosial

Kurun ke-4 hingga kurun ke-6 Masihi memperlihatkan permusuhan panjang lagi berdarah antara Baekje dan dua buah kerajaan lain di semenanjung itu, iaitu Goguryeo dan Silla.

Kemudian, satu kelas bangsawan yang terdiri daripada lapan buah suku (Sa, Yon, Hyop, Hae, Chin, Kuk, Mok dan Paek) mendominasi kesemua jawatan rasmi yang ada dalam kerajaan. Golongan bangsawan ini sendiri terbahagi kepada tiga peringkat dan dibezakan menerusi warna jubah yang dipakai. Peringkat paling atas ialah chwapyong yang memakai jubah berwarna ungu (mereka ini membentuk kabinet naesin). Peringkat pertengahan pula ialah tok yang dikenali menerusi jubah berwarna merah jambu dan peringkat yang paling bawah ialah mun-dok dan mudok yang berjubah biru. Hanya anggota peringkat tertentu sahaja boleh menduduki jawatan-jawatan tertentu dalam pentadbiran kerajaan. Pegawai-pegawai tinggi lazimnya memakai topi sutera yang dihiasi bunga-bunga perak, manakala raja pula memakai topi yang sama tetapi dengan dekorasi bunga emas.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Di peringkat wilayah, para pembesar tempatan mentadbir kampung-kampung yang turut diselia oleh seorang majistret lantikan negara (kunjang). Majoriti rakyat merupakan golongan petani dan mereka dituntut agar membayar ufti atau cukai kepada negara. Kadangkala, mereka juga dikerah dalam projek-projek kerajaan ataupun berkhidmat dalam tentera. Menyusuli kelas rakyat awam ini pula ialah kelas hamba (kebanyakannya merupakan tawanan perang dan penjenayah) yang berkhidmat di tanah-tanah milik bangsawan.

Three Kingdoms of Korea Map
Tiga Kerajaan Korea peta
Ashraf Kamel (CC BY-NC-SA)

Hubungan Dengan China & Jepun

Pengaruh China jelas terbukti menerusi penggunaan gelaran wang (raja) dalam monarki Baekje sejak penghujung kurun ke-3 Masihi. Contoh-contoh pengaruh China yang lain dapat dilihat dalam pendidikan, sistem tulisan (disesuaikan dengan bahasa Korea), puisi, seni, dan amalan penyemadian. Antara lain juga ialah pengaruh Taoisme dan seterusnya, Konfusianisme. Pada tahun 384 Masih, Buddhisme diangkat sebagai agama rasmi negara semasa pemerintahan Raja Chimnyu selepas ia diperkenalkan di kerajaan berkenaan oleh pendeta dari India yang bernama Marananta. Kepercayaan ini menggantikan sistem kepercayaan lama yang berasaskan idea yang menyatakan bahawa raja itu adalah anak Tuhan. Selain itu, kebudayaan Baekje turut dibawa masuk ke Jepun menerusi guru-guru, cerdik-pandai dan artisan yang mengembara ke negara berkenaan. Turut dibawa bersama adalah kebudayaan China seperti teks-teks klasik Konfusian yang telah pun disesuaikan dengan elemen-elemen kebudayaan Korea. Hal ini sebagaimana yang dapat dilihat menerusi bangunan-bangunan kayu yang dibina oleh jurutera-jurutera Korea di Jepun.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Perluasan Wilayah & Perseteruan

Kurun ke-4 hingga kurun ke-6 Masihi memperlihatkan permusuhan panjang lagi berdarah antara Baekje dan dua buah kerajaan lain di semenanjung itu, iaitu Goguryeo dan Silla. Raja Baekje pada waktu itu, iaitu Geunchogo (memerintah 346-375 Masihi) berupaya menakluk federasi Mahan dan menyerang Pyongyang, lalu membunuh raja Goguryeo, Gogugwon pada tahun 371 Masihi. Pada era pemerintahan Geunchogo, hubungan diplomatik dan kebudayaan berjaya dijalinkan dengan Dinasti Jin Timur dan Waj (Wae) di Jepun. Terdapat bukti yang mengisyaratkan bahawa Wa sebenarnya merupakan negara feudal yang diperintah oleh raja-raja Baekje yang pada waktu itu memiliki armada yang maju dan menguasai kawasan-kawasan perdagangan yang lumayan di sekitar Laut Kuning dan Laut Selatan. Geunchogo juga mengasaskan hak pewarisan takhta menerusi jalur lelaki, menetapkan kelaziman bahawa permaisuri dipilih daripada keluarga Chin, dan berjasa dalam menaja penulisan Sogi, iaitu catatan sejarah Baekje pada tahun 375 Masihi. Malangnya, karya tersebut hilang namun ia ada disebutkan di dalam Samguk sagi yang lebih terkemudian.

Baekje membentuk pakatan dengan kerajaan Silla pada tahun 433 hingga 553 Masihi dan menikmati tempoh-tempoh kegemilangan.

Wilayah Kerajaan Baekje merangkumi separuh barat laut Korea purba, namun mereka lazim ditekan oleh Goguryeo yang lebih dominan. Pada tahun 475 Masihi, sebuah serangan yang datang dari kerajaan di utara mengakibatkan kemangkatan Raja Gaero (memerintah dari tahun 455 Masihi) dan ibu kotanya, Hansong (Gwangsu moden) ditinggalkan. Ibu kota yang baru kemudian ditubuhkan (475 Masihi) di Ungjin (Gongju/Kongju moden). Namun, ibu kota itu juga digantikan pada tahun 538 Masihi oleh Sabi yang kedudukannya lebih baik (Buyeo/Puyo moden). Kerajaan ini seterusnya dibahagikan semula kepada 22 buah daerah atau tamno, yang setiap satunya ditadbir oleh seorang kerabat diraja.

Baekje membentuk pakatan dengan kerajaan Silla pada tahun 433 hingga 553 Masihi dan menikmati tempoh-tempoh kegemilangan. Namun, tempoh ini kemudiannya disusuli pengakhiran yang dramatik lagi tragis apabila Silla menduduki bahagian bawah lembah Sungai Han. Seterusnya, seramai 30 000 oran tentera Baekje dikalahkan dan Raja Seong (memerintah 523-554 Masihi) sendiri terkorban dalam sebuah pertempuran yang berlaku di Kubu Gwansan (Okcheon moden) dalam usaha Baekje untuk merebut semula wilayah mereka yang hilang.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Keruntuhan

Pada kurun berikutnya, kerajaan Baekje dan Goguryeo bergabung tenaga bagi menentang Silla dan mengambil pendekatan ofensif – berupaya menawan Taeya-song (Hapcheon moden) pada tahun 642 Masihi dan kira-kira 40 buah kubu di sempadan. Pada tahun berikutnya, Baekje menawan Tanghang-song yang merupakan kota penghubung yang penting buat Silla dan China. Namun kemudian, Silla meraih sokongan padu daripada Dinasti Tang-China (618-907 Masihi) yang merebut peluang bagi meluaskan kepentingan mereka di Korea dan menakluk kerajaan Baekje dan Goguryeo yang semakin melemah. Baekje gagal mendapatkan bantuan dari Jepun dan tidak berupaya menghindarkan kejatuhan Sabi apabila kota itu diserang dari arah darat dan laut pada tahun 660 Masihi. Sepasukan tentera Silla yang terdiri dari 50 000 orang diketuai oleh Kim Yushin dan disertai oleh sebuah armada berkekuatan seramai 130 000 orang yang dihantar oleh maharaja Tang Gaozong lebih daripada cukup untuk menghancurkan bala tentera Baekje. Uija (memerintah 641-660 Masihi), raja terakhir Baekje, dijadikan sebagai tahanan dan dihantar ke China bersama 12 000 orang rakan seperjuangannya.

Baekje Gold Earrings
Anting-anting Emas Baekje
Pressapochista (CC BY-SA)

Ketika berada di sana, sinar harapan buat Baekje memancar apabila pasukan pemberontak pada akhirnya berjaya memujuk Wa dari Jepun agar campur tangan dengan berbekalkan kekuatan seramai 30 000 orang tentera. Namun, pasukan tentera ini ditewaskan oleh gabungan armada Silla-Tang di Sungai Paekchon (Geum moden). Sepanjang tahun-tahun berikutnya, pasukan-pasukan pemberontak dari Baekje terus cuba merebut semula kota-kota mereka. Malah, mereka turut mengepung Sabi dan Ungjin. Namun, pertelagahan dalam kalangan pemimpin menggagalkan usaha tersebut yang pada akhirnya, mereka dihancurkan pada tahun 663 Masihi. Dengan demikian, Kerajaan Baekje pun menjadi sebahagian daripada wilayah China.

Silla kemudiannya menguasai seluruh semenanjung Korea dan berkembang menjadi Kerajaan Silla Bersatu. Namun berikutan kejatuhan mereka secara perlahan tetapi pasti sejak penghujung kurun ke-9 Masihi, Baekje yang kini dikenali sebagai Baekje Terkemudian bagi membezakannya dengan kerajaan yang lama, bangkit untuk tempoh yang singkat. Kerajaan ini ditubuhkan pada tahun 892 Masihi oleh Gyeon Hwon, seorang pemimpin rakyat. Namun kelak, mereka tunduk kepada kerajaan Goguryeo Terkemudian yang lebih berkuasa, yang kemudiannya kerajaan ini sendiri berkembang menjadi Dinasti Goryeo (918-1392 Masihi).

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Kesenian Dan Seni Bina Baekje

Kesenian dan seni bina Kerajaan Baekje secara umum dianggap sebagai yang terbaik di antara Tiga Kerajaan. Namun malang buat generasi-generasi seterusnya, kebanyakannya mengalami kerosakan teruk akibat peperangan panjang antara Baekje dengan Silla, Goguryeo dan China. Antaran sumbangan artistik yang signifikan oleh Kerajaan Baekje adalah marmar yang dihiasi lukisan lanskap indah. Artisan tembikar Baekje juga masyhur dengan penghasilan dua jenis barangan: iaitu barangan batu yang dibakar panas dan barangan tembikar berwarna perang cair yang dibakar secara ringan. Balang-balang bulat, pasu-pasu berkaki, dan tembikar-tembikar berkaki tiga merupakan antara bentuk yang lazim. Corak perhiasan tipikal bagi Kerajaan Baekje adalah penggunaan cap petak-petak. Selain itu, Baekje juga masyhur dengan atap marmar yang didekorasi dengan corak kelopak teratai. Patung dan ukiran dari Baekje yang terbaik mungkin dapat dilihat menerusi patung-patung gangsa Buddha dan ukiran-ukiran wajah di batu-batu tebing seperti yang terdapat di Sosan.

Dalam bidang seni bina pula, antara contoh yang dapat kita lihat ialah kuil Miruk yang dibina oleh Raja Mu (memerintah 600-641 Masihi) pada kurun ke-7 Masihi. Kuil Miruk merupakan kuil Buddhisme yang paling besar di Asia Timur dan ia mempunyai dua buah pagoda batu dan satu pagoda kayu. Kedua-dua pagoda batu masih wujud sehingga kini, walau salah satunya hanya tinggal enam dari 7-9 tingkat yang asal. Sebuah lagi pagoda batu yang terselamat terletak di kuil Chongnim di Buyeo. Selain itu, elemen seni bina Baekje juga boleh dilihat pada kebanyakan bangunan kayu di Jepun memandangkan ramai artisan Baekje berpindah ke sana ketika Wa-Jepun merupakan sekutu Baekje.

Tomb of Muryeong-Wang
Makam Muryeong-Wang
Straitgate (CC BY-SA)

Makam-makam Baekje merupakan struktur berbentuk piramid pertama yang diperbuat daripada batu. Kadangkala, si mati diletakkan di dalam dua buah bekas seramik yang diletakkan mulut-ke-mulut. Namun ketika berada di bawah pengaruh China, struktur-struktur ini berkembang dan diperbuat dariipada batu-bata dan makam-makam ini ditutupi dengan gundukan tanah. Kebanyakan dinding di bahagian dalam makam ini dihiasi dengan lukisan mural. Salah sebuah makam yang paling mengagumkan adalah makam milik Raja Muryeong-Wang (memerintah 501-523 Masihi). Di bawah gundukan tanahnya yang besar, makam ini mempunyai kamar separa-bulat yang dimuatkan dengan ratusan batu-bata yang diadun dan dibentuk. Kebanyakannya dihiasi dengan corak bunga teratai dan rekaan geometrik. Struktur yang terletak berhampiran Gongju ini berusia dari tahun 525 Masihi, sebagaimana yang diisyaratkan oleh sebuah plak yang terdapat di dalam makam itu. Permaisuri kemudiannya turut disemadikan bersama suaminya di situ pada tahun 529 Masihi.

Selain daripada makam Muryeong, gerbang makam-makam Baekje yang direka berbentuk horizontal membuatkan penjarahannya lebih mudah jika dibandingkan dengan makam-makam di Silla yang ditutup sepenuhnya. Akibatnya, tidak banyak artifak yang dapat diwarisi daripada salah sebuah kerajaan terkemuka di Korea ini. Namun, antara kepingan yang terselamat bagi membuktikan kepakaran artisan Baekje ialah pembakar setanggi gangsa yang dijumpai berhampiran Sabi. Ia merupakan satu-satunya artifak sedemikian yang dapat dijumpai di Korea. Kaki pembakar ini berbentuk naga dan ia menyokong gunung yang direka dengan bentuk telur yang dihiasi dengan makhluk kayangan dan awan. Pembakar setanggi ini turut mempunyai penutup yang dihiasi dengan bentuk phoenix.

This content was made possible with generous support from the British Korean Society.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Darihal Penulis

Mark Cartwright
Mark merupakan seorang penulis sejarah yang berpangkalan di Itali. Minat-minat khususnya merangkumi seni penghasilan tembikar, seni bina bangunan, mitologi dunia, dan merungkai faham-faham yang dikongsi oleh kesemua tamadun. Beliau mempunyai kelulusan peringkat MA dalam bidang Falsafah Politik dan bertugas sebagai Pengarah Penerbitan di WHE.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Cartwright, M. (2016, September 27). Baekje [Baekje]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-15261/baekje/

Gaya Chicago

Cartwright, Mark. "Baekje." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai September 27, 2016. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-15261/baekje/.

Gaya MLA

Cartwright, Mark. "Baekje." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 27 Sep 2016. Web. 20 Nov 2024.