Balhae

7 hari yang tinggal

Melabur dalam Pendidikan Sejarah

Dengan menyokong badan amal Yayasan Sejarah Dunia kami, anda melabur dalam masa depan pendidikan sejarah. Sumbangan anda membantu kami memperkasakan generasi akan datang dengan pengetahuan dan kemahiran yang mereka perlukan untuk memahami dunia di sekeliling mereka. Bantu kami memulakan tahun baru bersedia untuk menerbitkan maklumat sejarah yang lebih dipercayai, percuma untuk semua orang.
$3489 / $10000

Inti Sari

Mark Cartwright
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 07 October 2016
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris, Perancis
Dengarkan artikel ini
X
Cetak Artikel
Balhae Stele Depicting Buddha (by Pressapochista, CC BY-SA)
Balhae Stele Menggambarkan Buddha
Pressapochista (CC BY-SA)

Kerajaan Balhae (Parhae) di Manchuria (698-926 Masihi) merupakan sebuah kuasa serantau yang berinteraksi dengan kerajaan-kerajaan jiran, iaitu Kerajaan Silla Bersatu di Korea dan Dinasti Tang di China. Dinasti Tang merupakan sebuah kerajaan yang sangat berpengaruh terutama dari segi kebudayaan, manakala Jepun pula dianggap sebagai sekutu Balhae yang sangat setia. Balhae mendakwa kerajaannya sebagai pewaris sah kerajaan Goguryeo (Koguryo) yang wujud jauh lebih awal di bahagian utara Kora. Balhae menikmati kepesatan selama dua kurun berkat tanah pertaniannya yang subur dan hubungan perdagangannya yang berjaya. Kerajaan ini tumbang pada awal kurun ke-10 Masihi akibat diserang dan ditakluk oleh suku Khitan dari Monggolia.

PENUBUHAN & PERLUASAN

Kerajaan ini ditubuhkan pada tahun 698 Masihi oleh Dae Joyeong (Tae Choyong), seorang panglima yang berasal dari suku separa-nomad Malgal di Manchuria timur. Populasi Balhae pada asalnya terdiri daripada pelarian-pelarian Goguryeo (37 SM – 668 M), yang telah ditakluk oleh kerajaan Silla. Antara lain yang turut membentuk populasi Balhae ialah anggota suku Malgal serta kumpulan-kumpulan lain seperti Wuji, Khitan dan Turk Timur. Dae Joyeong menabalkan dirinya sebagai raja dan menggunakan gelaran Raja Go. Beliau memerintah sehingga tahun 719 Masihi.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Pada tahun 706 Masihi, kerajaan ini dinamakan sebagai Balhae bersempena laut di sekeliling semenanjung Liaodong dan Shandong. Pelbagai kota dijadikan sebagai ibu kota sepanjang separuh pertama kurun ke-8 Masihi, sehinggalah Ibu Kota Agung (Shangjing/Sanggyong) ditubuhkan berhampiran Sungai Hurha pada tahun 755 Masihi. Shangjing mempunyai benteng-benteng yang ampuh dan istana-istana yang memiliki sistem pemanas bawah tanah ondol dan jubin-jubin atap yang berukir indah. Di samping itu, terdapat empat buah ibu kota sampingan, 15 buah bandar kecil (pu) dan satu peringkat yang lebih rendah yang terdiri daripada kampung-kampung yang diperintah oleh pembesar tempatan. Pembesar ini mentadbir di bawah seliaan pemerintahan pusat, yang mana sistem sebegini mengambil pengaruh daripada Dinasti Tang. Lima buah rangkaian jalan raya juga dibina bagi membantu menyatukan kerajaan.

Balhae diapit oleh dua buah kuasa yang sangat berpengaruh, iaitu Kerajaan Silla Bersatu dan China. Namun, keadaan ini sama sekali tidak menghalang Balhae untuk memperluaskan pengaruhnya.

Sungai Yunghung dan Daedong (Taedong) membentuk sempadan antara Balhae dengan jiran selatan, iaitu Kerajaan Silla Bersatu di Korea. Zaman kekuasaan dua buah kerajaan ini kadangkala disebut sebagai Perpecahan Utara-Selatan (Nambuk sidae) atau Era Dua Negara. Namun, lantaran kebanyakan wilayah Balhae meliputi kawasan di luar Korea (iaitu Manchuria dan Siberia) dan majoriti populasinya pula terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik yang mana hanya golongan elit sahaja yang dipercayai berketurunan Goguryeo, maka ramai sejarahwan tidak menganggap Balhae sebagai sebuah kerajaan Korea.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Balhae diapit oleh dua buah kuasa yang sangat berpengaruh, iaitu Kerajaan Silla Bersatu dan China. Namun, keadaan ini sama sekali tidak menghalang Balhae untuk memperluaskan pengaruhnya. Sebagai misalan, pewaris Dae Joyeong, iaitu Mu (memerintah 719-737 Masihi) berjaya merampas dataran Hamhung dan kawasan pesisiran Hamgyeong daripada Silla. Hal ini sekaligus menggesa Silla untuk membina sejumlah kubu bagi mempertahankan sempadan utaranya. Pada tahun 732 Masihi, Balhae menyerang sebuah pelabuhan China, iaitu Dengzhou melalui laut sebagai tindakan susulun ke atas pendirian Dinasti Yang yang menyokong suku Malgal di Sungai Amur yang banyak mendatangkan masalah kepada Balhae. Pada tahun 733 Masihi, sebagaimana yang pernah dilakukannya setengah kurun yang lalu, Kerajaan Silla membentuk sebuah pakatan ketenteraan dengan Dinasti Tang bagi menghapuskan seteru bersama mereka. Namun, pergunungan di wilayah utara ternyata terlalu sukar untuk ditempuhi oleh pasukan tentera gabungan Silla-Tang dan Silla kehilangan separuh tenteranya dalam kempen tersebut.

SENI & BUDAYA

Kerajaan Balhae mencapai kemuncak kegemilangannya semasa diperintah oleh Dae Insu (atau Raja Seong, memerintah 818-830 Masihi), iaitu era di mana Balhae meluaskan wilayah kekuasaannya hingga ke Sungai Amur. Kerajaan ini banyak meraih manfaat daripada tanah pertanian yang subur di dataran Manchuria, sekaligus merupaya menampung populasinya yang berjumlah sekitar 500 000 orang. Padi sukar ditanam semasa cuaca sejuk, justeru kebanyakan tuaian Balhae terdiri daripada biji barli, sekoi dan kekacang. Malangnya, tidak banyak artifak mahupun karya sastera yang terselamat dari zaman kegemilangan ini. Pun begitu, kita dapat mengetahui bahawa kesenian Balhae mengecapi kegemilangannya, terutama sekali seni puisi, yang mana sebahagian daripada hasil-hasil puisi ini masih terselamat lantaran ia dibawa oleh diplomat-diplomat Balhae ke Jepun. Balhae turut menghasilkan porselin ungu yang cukup mengagumkan. Lukisam-lukisan makam Balhae pula membuktikan pengaruh Tang yang jauh lebih besar berbanding pengaruh Korea, walaupun makam-makam itu sendiri – yakni kubah-kubah tanah yang dibina di atas sebuah kamar batu – berasal-usul dari Goguryeo. Demikian merupakan antara kegemilangan dan pencapaian Balhae dalam bidang kesenian yang disifatkan oleh China sebagai 'Negara Timur Di Tepi Laut Yang Maju'.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Unified Silla & Balhae Kingdoms
Kerajaan Silla & Balhae Bersatu
KJS615 (CC BY-SA)

HUBUNGAN-HUBUNGAN LUAR NEGARA

Walaupun menghadapi sejumlah peperangan, hubungan-hubungan perdagangan dengan jiran-jiran terdekat Balhae, dan dengan Jepun, tetap dijalankan dengan cukup baik. Perdagangan Balhae dengan negara-negara di selatan amat rancak hinggakan terdapat satu laluan perdagangan yang di dalamnya terbentang 39 buah stesen dari Balhae ke Silla. Perutusan demi perutusan diplomatik juga dihantar oleh Silla pada tahun 792 Masihi dan 812 Masihi. Hubungan-hubungan kebudayaan dengan China juga berlangsung hebat, lantaran China sering berinteraksi dengan Korea. Dicatatkan bahawa Balhae mengeksport barangan logam dan kuda manakala China menghantar buku dan barangan perindustrian sebagai pertukaran. Pentadbiran, perundangan, pendidikan, kesusasteraan dan kesenian Balhae banyak dipengaruhi oleh China. Justeru, Balhae menghantar pelajar-pelajar ke China baik untuk melanjutkan pelajaran mahupun untuk menjalani peperiksaan sivil Dinasti Tang. Ajaran Buddhisme turut diamalkan di Balhae, sebagaimana yang berlaku dalam kerajaan-kerajaan Korea terdahulu. Begitu juga dengan prinsip-prinsip Konfusian yang diterapkan ke dalam sistem pentadbiran.

Walau bagaimanapun, Jepun tetap terkehadapan sebagai sekutu Balhae yang paling setia di mana Jepun menghantar sebanyak 13 buah perutusan diplomatik ke Balhae dan Balhae membalas dengan 35 buah perutusan sepanjang dekad-dekad kegemilangannya. Perdagangan dua hala ini turut mengalami kepesatan, dengan Jepun mengeksport barangan tekstil manakala Balhae pula menghantar pakaian bulu, sutera dan rami. Kedua-dua kerajaan ini pernah merancang untuk menyerang Silla secara bersama. Serangan pertama yang dilancarkan pada tahun 733 Masihi melibatkan sebuah armada gergasi dari Jepun. Namun, serangan ini tidak meraih sebarang hasil. Perancangan tahun 762 pula tidak sempat diterjemahkan ke dalam medan perang.

KEJATUHAN

Pada tahun 926 Masihi, Balhae menemui pengakhirannya secara mendadak apabila kerajaan tersebut ditakluk oleh suku Khitan dari Monggolia. Balhae sempat meminta bantuan daripada Jepun pada tahun 929 Masihi, namun bantuan yang diharapkan tidak hadir sama sekali. Kejatuhan secara mengejut ini dinisbatkan oleh ramai sejarahwan sebagai berpunca daripada perpecahan dalaman antara golongan elit berketurunan Korea dan masyarakat umum beretnik persukuan; tempoh keamanan yang panjang yang mengakibatkan kelesuan pentadbiran dan ketenteraan; atau letusan gunung berapi Baekdu yang meranapkan ibu kota.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Sesudah berlakunya kejatuhan ini, ramai populasi Balhae yang berketurunan Korea membawa diri ke Silla. Namun, Kerajaan Silla Bersatu itu sendiri diambil-alih oleh sebuah kuasa yang kelak dikenali sebagai Dinasti Goryeo (Koryo). Sebagaimana yang dilakukan oleh Balhae semasa penubuhannya, Dinasti Goryeo turut mendakwa bahawa mereka adalah pewaris sebenar Kerajaan Goguryeo yang wujud pada era Tiga Kerajaan (kurun pertama Sebelum Masihi – kurun ke-7 Masihi) dan terus-menerus melakukan penaklukan ke atas seluruh Semenanjung Korea, termasuklah bahagian selatan wilayah-wilayah lama Balhae.

This content was made possible with generous support from the British Korean Society.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Daftar Pustaka

Ensiklopedia Sejarah Dunia adalah Associate Amazon dan memperoleh komisen untuk pembelian buku yang layak.

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Darihal Penulis

Mark Cartwright
Mark merupakan seorang penulis sejarah yang berpangkalan di Itali. Minat-minat khususnya merangkumi seni penghasilan tembikar, seni bina bangunan, mitologi dunia, dan merungkai faham-faham yang dikongsi oleh kesemua tamadun. Beliau mempunyai kelulusan peringkat MA dalam bidang Falsafah Politik dan bertugas sebagai Pengarah Penerbitan di WHE.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Cartwright, M. (2016, October 07). Balhae [Balhae]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-15287/balhae/

Gaya Chicago

Cartwright, Mark. "Balhae." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai October 07, 2016. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-15287/balhae/.

Gaya MLA

Cartwright, Mark. "Balhae." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 07 Oct 2016. Web. 24 Dec 2024.