Ratu Seondeok

9 hari yang tinggal

Melabur dalam Pendidikan Sejarah

Dengan menyokong badan amal Yayasan Sejarah Dunia kami, anda melabur dalam masa depan pendidikan sejarah. Sumbangan anda membantu kami memperkasakan generasi akan datang dengan pengetahuan dan kemahiran yang mereka perlukan untuk memahami dunia di sekeliling mereka. Bantu kami memulakan tahun baru bersedia untuk menerbitkan maklumat sejarah yang lebih dipercayai, percuma untuk semua orang.
$3544 / $10000

Inti Sari

Mark Cartwright
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 14 October 2016
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol
Dengarkan artikel ini
X
Cetak Artikel
Gold Crown of Silla (by Martin Roell, CC BY-SA)
Mahkota Emas Silla
Martin Roell (CC BY-SA)

Ratu Seondeok (Sondok) memerintah Kerajaan Silla dari tahun 632 hingga 647 M dan merupakan pemerintah wanita pertama di zaman Korea purba. Silla pada waktu itu sedang dalam rangka mendominasi seluruh Semenanjung Korea dan Ratu Seondeok membantu membawa kerajaannya mencapai matlamat tersebut. Pemerintahannya dijuga meraih kemasyhuran tersendiri menerusi peningkatan penyebaran ajaran Buddhisme, yang sudah pun diangkat sebagai agama rasmi kerajaan tersebut, di samping pembinaan Cheomseongdae, balai pencerap tertua di Asia Timur.

Kenaikan Takhta

Seondeok berpeluang menaiki takhta kerana ayahandanya, Raja Jinpyeong (Chinpyong, memerintah 579-632 M) yang memerintah selama 53 tahun tidak memiliki pewaris lelaki. Melihat kenyataan bahawa seorang ratu boleh memerintah secara sendiri dan bebas merupakan bukti kepada ketinggian status yang disandang oleh kaum wanita berdarah kerabat. Turut dapat dilihat betapa ketatnya sistem kelas sosial di zaman Kerajaan Silla. Sistem kelas sosial tersebut bersandarkan pada sebuah sistem yang dikenali sebagai bone rank system – satu sistem yang menentukan setiap inci keistimewaaan dan tanggungjawab yang dipikul atau dimiliki oleh seseorang berdasarkan jalur keturunannya. Tingkat sosial yang tertinggi dipanggil sebagai keturunan suci (sacred bone). Tingkat ini hanya disandang oleh kaum kerabat diraja Kim. Semasa Raja Jinpyeong mangkat, tidak ada seorang pun lelaki berkelas keturunan suci di istana, sekaligus memungkinkan salah satu daripada dua perkara berikut terjadi: sama ada seluruh sistem kelas sosial ini perlu dirombak ataupun seorang ratu diizinkan untuk memerintah. Kemungkinan kedua itu yang diambil sebagai pilihan - dan ternyata begitu jugalah situasi yang berlaku pada pewaris Ratu Seondeok.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Seondeok merupakan puteri sulung Raja Jinpeyong. Kenaikan takhtanya diperakui oleh Dinasti Tang pada tahun 635 M. Dalam catatan-catatan sejarah seperti Samguk sagi yang ditulis pada abad ke-12 M (Sejarah Tiga Kerajaan), beliau dipanggil sebagai wang (raja) sama seperti raja-raja pendahulunya dari kaum lelaki. Seondeok merupakan pemerintah Kerajaan Silla yang ke-27 dan mewarisi takhta semasa kerajaan yang terletak di tenggara Semenanjung Korea itu sedang dalam rangka menundukkan seteru-seteru sejatinya di Zaman Tiga Kerajaan – Baekje (Paekche) di barat dan Goguryeo (Koguryo) di utara. Menurut Samguk sagi, salah satu tindakan pertama yang dilakukan oleh Seondeok sebagai seorang ratu adalah menubuhkan dana bantuan untuk dihulurkan kepada rakyatnya yang miskin yang hidup di kawasan pinggir bandar.

Dua Orang Kim

Di bawah pemerintahan Seondeok, Silla menyaksikan kepesatan dalam bidang seni & ilmu, negara lebih kukuh & Buddhisme semakin tersebar luas.

Seondeok beruntung kerana meraih khidmat bakat-bakat seperti panglima masyhur Kim Yushin (595-673 M) dan anak saudaranya, pakar diplomasi yang bernama Kim Chun-chu (meninggal dunia 661 M). Chun-chu pernah dihantar ke Goguryeo bagi menghadap Raja Bojang dalam sebuah misi memohon bantuan daripada kerajaan tersebut dalam rangka memerangi Baekje pada tahun 641 M. Namun, Raja Goguryeo meletakkan syarat bahawa mereka hanya akan membantu Silla seandainya Seondeok menyerahkan wilayah-wilayah yang diambil daripada Goguryeo. Syarat ini ditolak oleh Seondeok dan makanya Chun-chu pun dipenjarakan. Ratu Seondeok kemudiannya menghimpunkan 10 000 orang tentera dan mengarahkan Kim Yushin agar menyelamatkan Chunchu dan menghukum Bojang kerana kelancangannya itu. Apabila Raja Goguryeo menyedari bahawa bala tentera dari Silla sedang berangkat menuju kerajaannya, beliau dengan segera membebaskan tawanannya itu. Kedua-dua orang Kim tersebut terus berkhidmat kepada Silla dan memberikan sumbangan yang besar dalam usaha penyatuan Korea sampaikan mereka meraih status legenda yang dikenang di Korea sehingga ke hari ini.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Hubungan Dengan Tang-China

Kerajaan-kerajaan yang berjiran dengan Silla masih lagi memiliki kekuatan yang mengancam kedudukan Silla (terutama Baekje) hinggakan pada tahun 643 M, Ratu Seondeok mengambil keputusan untuk menghantar rombongan diplomatik ke China dalam rangka meraih bantuan daripada mereka. Dinasti Tang-China (618-907 M) melihat pergolakan yang berlaku di Semenanjung Korea itu sebagai sebuah peluang untuk mereka memasuki wilayah berkenaan dan meraih kepentingan tersendiri. Makanya, mereka dengan bersenang hati menubuhkan persekutuan dengan Silla dalam menangani dua kerajaan yang lain.

Three Kingdoms of Korea Map
Tiga Kerajaan Korea peta
Ashraf Kamel (CC BY-NC-SA)

Silla dan China telah lama menjalinkan hubungan perdagangan. Pertukaran budaya turut dapat dilihat menerusi pengamalan adat-istiadat istana Tang di samping para pelajar dan ilmuwan Silla dihantar ke China untuk melanjutkan pengajian. Ratu Seondeok terus mengukuhkan lagi hubungan ini, namun bantuan yang diberikan Tang mempunyai harga yang perlu dibayar. Walaupun Maharaja Taizong dengan murah hati menawarkan bantuan ketenteraan agar Silla dapat menundukkan musuh-musuhnya, terdapat satu persyaratan yang dikenakan. Ratu Seondeok perlu turun takhta dan membenarkan seorang putera China untuk memerintah Silla. Maharaja Tang mengatakan bahawa faktor yang membuatkan musuh-musuh Silla semakin menunjukkan belang adalah kerana pemerintah Silla merupakan seorang wanita. Ratu Seondeok menolak persyaratan tersebut dengan bijak. Namun, beliau tetap berjaya meraih bantuan ketenteraan daripada Tang dan kedua-dua kerajaan itu membentuk bala tentera gabungan yang bakal menyerang Baekje dan Goguryeo. Walau bagaimanapun, serangan tersebut tidak berjaya dan mereka ditewaskan oleh ketumbukan tentera Goguryeo yang dipimpin oleh panglima masyhur, Yang Manchun pada tahun 644 M. Dekad berikutnya memperlihatkan bala tentera Tang ini mengalami tiga kekalahan sekaligus menuntut Silla agar menanti sehingga tahun 660 M sebelum meraih kejayaan mutlak. Sebuah lagi bala tentera gabungan Tang-Silla yang diperkirakan bersaiz lebih besar berbanding sebelumnya dibentuk dan pada akhirnya berjaya menghancurkan Baekje (660 M) dan Goguryeo (668 M).

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Sebuah Kerajaan Yang Pesat

Di tanah airnya, dasar-dasar domestik Ratu Seondeok meraih lebih banyak kejayaan berbading dasar luar negaranya, sekaligus Kerajaan Silla mengalami kemajuan dalam kesenian dan keilmuan. Pemerintahan pusatnya semakin kukuh dan ajaran Buddhisme juga disebarkan secara meluas, terutama sekali apabila ajaran tersebut meningkatkan lagi aura kekuasaan kelas pemerintah Silla di samping berperanan menggalakkan lagi sokongan terhadap institusi monarki. Ratu Seondeok juga memantau sendiri beberapa buah projek pembinaan semula, terutama sekali yang melibatkan kuil-kuil Buddha. Malangnya, kebanyakan kuil ini diperbuat daripada kayu dan oleh kerana itu ia tidak dapat berkekalan sehingga ke hari ini. Namun, sebahagian daripada batu-batuan pagoda mereka masih lagi wujud. Penubuhan sekolah-sekolah juga merupakan satu lagi sumbangan yang diberikan oleh Ratu Seondeok semasa pemerintahannya.

Cheomseongdae Observatory, Gyeongju
Balai Cerap Cheomseongdae, Gyeongju
M. & N. Wilson (CC BY)

Salah sebuah struktur binaan masyhur yang wujud sejak zaman pemerintahan Ratu Seondeok adalah Balai Pencerap Cheomseongdae yang terletak di Gyeongju, ibu kota Silla. Memiliki ketinggian yang mencecah 9 meter, binaan ini berfungsi seperti jam matahari dan turut memiliki tingkap yang menghadap arah selatan – berperanan memantulkan sinaran matahari ke lantai di ruangan dalam pada setiap waktu. Balai pencerap ini mungkin merupakan sebahagian daripada sebuah kompleks yang lebih besar, binaan yang menjadi simbol kemajuan ilmu sains dan astronomi. Ia merupakan balai pencerap tertua yang masih wujud di Timur Asia. Bongkah batu yang membentuk menara ini memiliki 27 buah tingkat, simbolik yang mewakili status Ratu Seondeok sebagai pemerintah Kerajaan Silla yang ke-27. Tanpa disokong oleh sebarang bukti, sebahagian sejarahwan malah berpendapat bahawa seni bina bangunan tersebut yang berbentuk seperti botol adalah mewakili sisi feminin Ratu Seondeok sendiri, atau kalau tidak pun, binaan tersebut merupakan sebuah kuil yang didedikasikan kepada ratu itu.

Kuil Hwangnyongsa

Satu lagi projek pembinaan penting yang siap semasa pemerintahan Ratu Seondeok adalah Kuil Buddha bernama Hwangnyongsa ('Kuil Naga Mulia') yang terletak di Gyeongju. Projek ini sebenarnya telah pun bermula sejak pemerintahan Raja Jinheung (553 M) lagi, tepat di lokasi di mana seekor naga berwarna kuning dipercayai telah muncul dan menjanjikan bahawa Kerajaan Silla akan menghapuskan musuh-musuhnya kelak.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Tapak kuil ini berukuran kira-kira 280 x 280 meter dan menyimpan sebuah patung Buddha yang besar, berkemungkinan setinggi 4 meter. Di bawah arahan Ratu Seondeok, sebuah pagoda sembilan tingkat turut ditambahkan pada binaan kuil tersebut. Pembinaan pagoda itu diselia oleh seorang sami merangkap Ketua Biarawan Kerajaan, bernama Jajang (atau Chajang, 590-658 M) sambil pembinaannya pula dilakukan oleh ketua arkitek daripada Baekje yang bernama Abiji. Selesai disiapkan pada tahun 645 M, pagoda tersebut mungkin memiliki ketinggian yang mencecah 68-70 meter, sekaligus menjadikannya sebagai binaan tertinggi di Asia Timur pada waktu itu. Ciri sembilan tingkat pada bangunan tersebut menggambarkan sembilan buah kerajaan lain di Asia Timur yang dipercayai akan ditakluk oleh Silla kelak, termasuklah Jepun dan China.

Sebuah loceng gergasi, yang dikatakan seberat 300 tan dan berketinggian 3 meter, turut ditambahkan pada kuil itu pada tahun 754 M. Namun, loceng tersebut tidak dapat diwarisi sehingga ke hari ini. Lebih malang lagi, kuil Hwangnyongsa dimusnahkan oleh Monggol pada tahun 1238 M. Namun, tapak dan sebahagian batu-asas patung-patungnya masih kekal sehingga ke hari ini sekaligus membolehkan para pengunjung yang melawat tapak berkenaan untuk menggambarkan bahagian-bahagiannya yang hilang.

Kemangkatan & Para Penggantinya

Ratu Seondeok mangkat semasa berlakunya sebuah pemberontakan yang dicetuskan oleh bangsawan-bangsawan Silla. diketuai oleh Kim Bidam, pengerusi sidang pentadbiran bangsawan. Golongan bangsawan yang menerima sokongan daripada dinasti Tang ini tidak dapat menerima hakikat bahawa takhta Silla diduduki oleh seorang wanita. Mereka turut berpendapat bahawa pemerintah Silla perlu dipilih daripada kelas sosial yang luar daripada kelas keturunan suci. Dalam erti kata lain, pemerintah perlu diambil dari kelas sosial yang dianggotai oleh mereka sendiri. Cubaan rampasan takhta ini berjaya dihentikan oleh golongan bangsawan yang bertaraf lebih rendah, diketuai oleh dua orang Kim yang disebutkan sebelum ini (Kim Yushin dan Kim Chunchu). Namun, Ratu Seondeok mangkat jua akhirnya, mungkin kerana beliau jatuh gering. Ratu Seondeok dimakamkan di pergunungan suci Nangsan, Gyeongju.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Kedudukannya diwarisi oleh seorang lagi ratu yang bernama Jindeok (657-654 M). Beliau mengikut jejak langkah Ratu Seondeok dalam soal pemerintahan dan membantu Silla untuk terus menguasai Semenanjung Korea. Selepas Ratu Chindok mangkat, takhta Silla sekali lagi ditinggalkan dalam keadaan tiada pewaris lelaki yang sah daripada keluarga Kim yang berkelas keturunan suci. Oleh kerana itu, setelah berlalunya pemerintahan dua orang ratu, sistem golpum (bone-rank system) pun diubah-suai dengan penghapusan kelas tertinggi, iaitu keturunan suci. Pemerintah kini dipilih daripada kelas sosial kedua. Pemerintah yang menggantikan Ratu Jindeok tidak lain tidak bukan adalah Kim Chunchu, yang menggelarkan dirinya sebagai Raja Muyeol. Beliau merupakan pemerintah Silla pertama yang tidak dipilih daripada kelas sosial yang sebenar (keturunan suci). Puteranya pula adalah individu yang bertanggungjawab menubuhkan Kerajaan Silla Bersatu yang memerintah seluruh Semenanjung Silla sejak tahun 668 M.

This content was made possible with generous support from the British Korean Society.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Darihal Penulis

Mark Cartwright
Mark merupakan seorang penulis sejarah yang berpangkalan di Itali. Minat-minat khususnya merangkumi seni penghasilan tembikar, seni bina bangunan, mitologi dunia, dan merungkai faham-faham yang dikongsi oleh kesemua tamadun. Beliau mempunyai kelulusan peringkat MA dalam bidang Falsafah Politik dan bertugas sebagai Pengarah Penerbitan di WHE.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Cartwright, M. (2016, October 14). Ratu Seondeok [Queen Seondeok]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-15321/ratu-seondeok/

Gaya Chicago

Cartwright, Mark. "Ratu Seondeok." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai October 14, 2016. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-15321/ratu-seondeok/.

Gaya MLA

Cartwright, Mark. "Ratu Seondeok." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 14 Oct 2016. Web. 22 Dec 2024.