Zaman Nara

10 hari yang tinggal

Melabur dalam Pendidikan Sejarah

Dengan menyokong badan amal Yayasan Sejarah Dunia kami, anda melabur dalam masa depan pendidikan sejarah. Sumbangan anda membantu kami memperkasakan generasi akan datang dengan pengetahuan dan kemahiran yang mereka perlukan untuk memahami dunia di sekeliling mereka. Bantu kami memulakan tahun baru bersedia untuk menerbitkan maklumat sejarah yang lebih dipercayai, percuma untuk semua orang.
$3081 / $10000

Inti Sari

Mark Cartwright
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 24 April 2017
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris, Perancis, Turki
Dengarkan artikel ini
X
Cetak Artikel
Buddha, Todaiji Temple (by James Blake Wiener, CC BY-NC-SA)
Buddha, Kuil Todaiji
James Blake Wiener (CC BY-NC-SA)

Zaman Nara (Nara Jidai) dalam sejarah Jepun purba (710-794 M) dipanggil sedemikian lantaran hampir keseluruhan tempoh pada zaman itu, ibu kotanya terletak di Nara atau dikenali pada waktu itu sebagai Heijokyo. Zaman ini merupakan tempoh peralihan singkat sebelum Jepun memasuki Zaman Heian yang signifikan. Walaupun singkat, zaman ini tetap berupaya mengeluarkan karya-karya kesusasteraan Jepun yang masyhur dan beberapa buah kuil penting yang masih digunakan sehingga ke hari ini, termasuklah Todaiji, bangunan kayu paling besar di dunia pada zaman itu, yang sehingga kini masih menempatkan patung gangsa Buddha terbesar pernah dihasilkan.

Tinjauan Sejarah

Nara, atau lebih tepat Heijokyo sebagaimana nama yang disebut pada masa itu, dijadikan sebagai ibu kota Jepun pada tahun 710 hingga 784 M, sebelum kemudiannya dipindahkan semula ke Nagaokakyo. Sebelum itu, ibu kota Jepun terletak di Fujiwara-kyo, namun Nara mempunyai kelebihan lantaran kedudukannya yang lebih ke tengah, kira-kira 30 kilometer di selatan Kyoto. Sejarahwan di zaman terkemudian mengambil nama kota ini untuk digunakan sebagai nama bagi sebuah tempoh yang bermula dari tahun 710 hingga 794 M, walaupun pada dekad terakhirnya kota Nara bukan lagi kota terpenting di Jepun. Zaman Nara menyusuli Zaman Kofun (sekitar 250-538 M) dan Zaman Asuka (538-710 M), yang secara kolektifnya kadangkala disebut sebagai Zaman Yamato. Jepun telah pun meningkatkan hubungan diplomatiknya dengan China dan Korea, menerima kemasukan agama Buddha, dan menerapkan beberapa budaya asing yang berguna. Proses ini terus berlanjutan di Zaman Nara.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Kota Nara dibangunkan dengan mengikut pengaruh Chang'an, ibu kota Dinasti Tang-China justeru ia turut mempunyai pelan grid yang tersusun rapi lagi sekata, dua bahagian yang saling bersimetri, dan bangunan-bangunannya pula memiripi seni bina China. Sebuah universiti yang didedikasikan kepada tradisi Konfusian turut dibangunkan. Begitu juga dengan istana diraja yang luas kawasannya, di samping barisan menteri yang diperbanyakkan sehingga mencecah hampir 7000 orang. Jumlah populasi Nara dianggarkan mencapai seramai 200 000 orang menjelang penghujung zaman tersebut.

Kota Nara dibangunkan dengan mengikut pengaruh Chang'an, ibu kota Dinasti Tang-China justeru ia turut mempunyai pelan grid yang tersusun rapi & sekata.

Pengaruh pentadbiran pusat ke atas wilayah-wilayah juga ikut meningkat lantaran kehadiran pasukan tentera di seluruh kepulauan Jepun. Pun begitu, hal ini sama sekali tidak menghindarkan berlakunya sebuah pemberontakan besar pada tahun 740 M yang diketuai oleh anggota klan Fujiwara yang terusir, iaitu Hirotsugu. Pemberontakan ini disokong oleh minoriti Hayato yang berpangkalan di selatan Kyushu. Mereka sememangnya membenci dominasi klan Yamato ke atas pentadbiran Jepun dan cubaannya untuk 'mentamadunkan' wilayah-wilayah yang kurang membangun. Sebagai tindak balas, maharaja Shomu (memerintah 724-749 M) bertindak menghimpunkan bala tentera seramai 17 000 orang dan berjaya menundukkan pasukan pemberontak dalam tempoh dua bulan, di samping menjatuhkan hukuman ke atas Hirotsugu.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Bagi masyarakat umum, terutama di kawasan pedalaman (90%), kemiskinan atau taraf yang mungkin sedikit lebih baik daripada itu, merupakan suatu kebiasaan bagi mereka. Sektor pertanian masih bergantung pada alatan primitif, tanah yang disediakan tidak cukup untuk menampung jumlah tuaian yang diperlukan, dan teknik pengairan masih belum berupaya untuk mengelakkan kegagalan tuaian sekaligus mendorong kepada masalah kebuluran. Pada tahun 743 M, sebuah undang-undang diperkenalkan bagi menggalakkan pengusahaan tanah pertanian dengan para petani diberikan jaminan hak untuk mewariskan tanah mereka kepada anak-cucu masing-masing. Namun, kebanyakan rakyat lebih memilih untuk bekerja dengan kelas aristokrat yang dikira lebih terjamin.

Nara Period Mirror
Cermin Zaman Nara
James Blake Wiener (CC BY-NC-SA)

Keadaan masyarakat pedalaman Jepun diparahkan lagi oleh epidemik cacar yang menular pada tahun 735 dan 737 M, di mana sejarahwan memperkirakan telah meragut sebanyak 25-35% populasi negara. Kebanyakan petani Jepun dibebani cukai-cukai yang tinggi. Hampir kesemua cukai ini dikenakan secara khusus bagi membiayai projek-projek pembinaan kuil yang dijalankan oleh Maharaja Shomu (lihat di bawah) pada separuh pertama kurun ke-8 M, di mana di dalam hal ini, maharaja dibantu oleh sami Buddha yang bernama Gyogi. Maharaja Shomu merupakan seorang penganut Buddhisme yang tegar, terutama rentetan pelbagai bencana yang melanda semasa era pemerintahannya. Beliau juga bercita-cita mahu membina sebuah kuil di setiap wilayah kekuasaannya dengan harapan hal ini dapat meningkatkan tuah negara. Berbeza dengan keadaan yang berlaku ke atas golongan petani, tapak-tapak keagamaan dan golongan aristokrat yang terus bertambah bilangannya ini bebas dari sebarang cukai, dan lantaran keterlaluan dalam membelanjakan perbendaharaan dalam projek pembinaan kuil-kuil, pihak pentadbiran mengalami kesukaran untuk mengimbangkan situasi di sepanjang zaman ini. Pihak istana juga dilanda kekacauan akibat konflik dalaman yang melibatkan perebutan pengaruh dan jawatan dalam kalangan aristokrat. Keadaan ini seterusnya mendorong Maharaja Kammu (memerintah 781-806 M) untuk memindahkan ibu kota ke Heiankyo pada tahun 794 M. Pemindahan ini dianggap sebagai detik bermulanya Zaman Heian yang berpanjangan sehingga kurun ke-12 M.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Zaman ini juga menonjol kerana ia mempunyai tiga orang maharani yang memerintah: Gemmei (memerintah pada 707-715 M), Gensho (memerintah pada 715-724 M) dan Koken yang tempoh pemerintahannya dibahagikan kepada dua: 749-759 dan kemudian 764-770 M menerusi gelaran Shotoku. Shotoku menjalinkan hubungan dengan seorang sami Buddha yang bernama Dokyo. Beliau bahkan menamakannya sebagai pewaris takhta. Namun, pihak istana menolak pencalonan ini dan Dokyo diusir. Hanya 800 tahun berikutnya, barulah takhta diraja Jepun diduduki oleh wanita. Pemerintahan mereka ini mengisyaratkan keadaan kaum wanita di Jepun yang jauh lebih baik jika dibandingkan dengan China. Misalnya di Nara-Jepun, kaum wanita dibenarkan untuk memiliki tanah.

Kasuga Taisha Shrine, Nara
Kuil Kasuga Taisha, Nara
James Blake Wiener (CC BY-NC-SA)

Kesusasteraan Nara

Zaman Nara menyaksikan pelbagai perkembangan terutama dalam bidang kesusasteraan. Kojiki ('Catatan Tentang Hal-Hal Purba') disusun pada tahun 712 M oleh ilmuwan istana, Ono Yasumaro, yang mengambil rujukan daripada sumber-sumber lama dan kebanyakan kandungannya menyentuh genealogi klan-klan berkuasa. Kemudian, Nihon Shoki ('Hikayat Jepun' dan juga dikenali sebagai Nihongi), ditulis oleh sebuah jawatankuasa ilmuwan istana pada tahun 720 M. Karya ini menumpukan usahanya bagi menyikapi semula bias terhadap klan Yamato pada karya awal, sebagaimana yang dianggap oleh kebanyakan klan. Karya-karya ini kemudiannya memerincikan tentang 'Zaman Dewa-Dewa' di mana dunia diciptakan dan dewa-dewa memerintah sebelum mereka berundur dan meninggalkan dunia ini diperintah oleh manusia. Karya-karya ini juga menyatakan jalur keturunan diraja Jepun sebagai keturunan langsung dewa-dewa – tujuan asal karya-karya ini dikarang.

Antara karya penting yang lain termasuklah antologi puisi Kaifuso pada tahun 751 M dan Manyoshu atau 'Koleksi 10 000 Daun'. Dikarang pada tahun 760 M, karya ini merupakan sebuah lagi antologi yang menghimpunkan sebanyak 4500 buah puisi dan menyentuh segala macam topik. Akhir sekali, sebuah siri hikayat tempatan atau Fudoki, diusahakan pada tahun 713 M bagi mencatatkan perihal kami (semangat) tempatan dan legenda-legenda berkait di pelbagai wilayah.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Kuil-Kuil Nara

Todaiji

Bidang lain yang produktif pada era ini adalah bidang seni bina keagamaan. Kuil Buddha di Todaiji dibina di kawasan berhampiran Nara pada tahun 752 M, di timur istana diraja justeru meraihkannya nama 'Kuil Besar Timur'. Tapak ini menempatkan bangunan kayu terbesar di dunia pada waktu itu. Dewan Besar Buddha atau Daibutsuden sememangnya perlu dibina dalam saiz yang besar lantaran ia menempatkan sebuah patung gangsa Buddha berpostur duduk yang setinggi 15 meter; patung sedemikian yang paling besar di dunia dan dianggarkan seberat 500 tan. Sebahagian daripada Todaiji musnah dalam sebuah kebakaran yang berlaku semasa Perang Genpei (1180-1185 M). Namun, kuil ini dikembalikan ke bentuk gemilangnya, walau dalam skala yang lebih kecil. Apapun, ia masih menyimpan patung Buddha itu dan saiznya masih lagi mengagumkan, iaitu 48 meter (157 kaki) tinggi dan 57 meter (187 kaki) panjang.

Great Buddha Hall, Todaiji
Dewan Buddha Besar, Todaiji
James Blake Wiener (CC BY-NC-SA)

Bangunan-bangunan lain yang terdapat di Todaiji antaranya termasuklah Nandaimon (Gerbang Besar Selatan), Shoro (Menara Loceng), Nigatsudo (Dewan Bulan Kedua), Hokke-Do (Dewan Bulan Ketiga), Shoso-in (Perbendaharaan) dan dua buah pagoda setinggi 100 meter (328 kaki). Malangnya, kedua-dua pagoda ini musnah akibat gempa bumi dan tidak pernah dibina semula. Sebuah lentera gangsa berbentuk oktagon masih berdiri megah di antara Daibutsuden dan Gerbang Chumon, dengan usianya diperkirakan sezaman dengan tarikh pembinaan kuil itu. Todaiji disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Kasuga Taisha

Sebuah lagi kuil Zaman Nara yang penting ialah Kasuga Taisha. Ia merupakan sebuah tempat suci Shinto yang bertempat di sebuah hutan berhampiran Nara dan dibangunkan secara rasmi pada tahun 768 M, walaupun sejarahwan lebih cenderung meletakkan tarikh pembinaannya pada 710 M. Kuil ini dibangunkan oleh klan Fujiwara setelahmana, seperti kata legenda, satu dewa muncul di tapak itu sambil menunggang seekor rusa. Legenda ini juga menjadi asas mengapa rusa dibiarkan berlegar dengan bebas di kuil itu hingga ke hari ini. Tapak ini turut menempatkan sebuah kuil suci yang didedikasikan kepada pengasas Fujiwara. Laluan ke kuil suci ini diapit oleh lentera-lentera batu yang disumbangkan oleh para pemuja seiring peredaran waktu. Hampir kesemua 2000 lentera ini dihiasi dengan imej seekor rusa. 1000 buah lentera gangsa yang lain pula digantung di sekitar kuil suci dan gerbang tapak berkenaan. Kesemua lentera di Kasuga lazim dinyalakan dalam sebuah upacara khusus yang diadakan pada setiap Februari dan Ogos. Kasuga juga merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

This content was made possible with generous support from the Great Britain Sasakawa Foundation.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Darihal Penulis

Mark Cartwright
Mark merupakan seorang penulis sejarah yang berpangkalan di Itali. Minat-minat khususnya merangkumi seni penghasilan tembikar, seni bina bangunan, mitologi dunia, dan merungkai faham-faham yang dikongsi oleh kesemua tamadun. Beliau mempunyai kelulusan peringkat MA dalam bidang Falsafah Politik dan bertugas sebagai Pengarah Penerbitan di WHE.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Cartwright, M. (2017, April 24). Zaman Nara [Nara Period]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-15915/zaman-nara/

Gaya Chicago

Cartwright, Mark. "Zaman Nara." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai April 24, 2017. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-15915/zaman-nara/.

Gaya MLA

Cartwright, Mark. "Zaman Nara." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 24 Apr 2017. Web. 21 Dec 2024.