Kerajaan Nabatea

Inti Sari

Joshua J. Mark
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 05 March 2018
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol, Turki
Dengarkan artikel ini
X
Cetak Artikel
Nabatean Army in Battle (by The Creative Assembly, Copyright)
Tentera Nabatean dalam Pertempuran
The Creative Assembly (Copyright)

Kerajaan Nabatea merupakan sebuah entiti politik yang berkuasa di wilayah Jordan moden pada rentang waktu antara abad ke-4SM hingga tahun 106M. Pada masa kini, Kerajaan Nabatea masyhur dengan sisa runtuhan ibu kotanya, Petra. Walaupun jelas sekali terdapat sebuah komuniti kaya yang berkembang pesat di kawasan sekeliling Petra sejak tahun 312SM (disahihkan menerusi ekspedisi-ekspedisi yang dilancarkan oleh Yunani ke atas komuniti terbabit), namun sejarahwan sering meletakkan tarikh permulaan bagi Kerajaan Nabatea pada tahun 168SM. Tahun tersebut merupakan tahun pemerintahan raja pertama mereka, setakat yang dikenali sejarah. Kerajaan ini juga dianggarkan berakhir pada tahun 106M, iaitu tahun di mana Nabatea ditakluk oleh Empayar Rom di bawah pemerintahan Trajan (98-117M).

Kaum Nabatea adalah sebuah komuniti Arab-nomad yang berasal dari Gurun Negev. Mereka mula mengumpulkan harta kekayaan menerusi aktiviti perdagangan di Jalan Setanggi (Incense Routes) yang melebar dari Qataban (Yaman moden) hingga ke Saba (sebuah hub perdagangan yang dominan), dan merentang hingga ke Gaza yang terletak di Laut Mediterranean. Oleh kerana mereka sering bermusafir dengan melalui jalan ini, maka mereka agak mahir dengan kawasan berkenaan. Hal itu juga menyumbang kepada kemahiran mereka dalam mencari dan menyimpan sumber air. Kelebihan tersebut membenarkan mereka mengangkut barang dagangan dengan lebih cepat dan efisien berbanding kaum-kaum lain.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Tapak kota mereka yang bernama Petra, diukir daripada batu-batuan gunung dan ia sukar diakses. Relik ini mungkin dibina setelah mereka meraih kekayaan yang cukup hasil daripada aktiviti perdagangan yang dijalankan. Faktor yang membuatkan mereka mengambil keputusan untuk membina kota di kawasan tersebut masih lagi misteri dalam kalangan sejarahwan. Hal ini kerana tempat itu langsung tidak mempunyai sebarang sumber air semula jadi dan lokasinya pula jauh dengan kemudahan-kemudahan lain. Namun jika dipandang dari suatu sudut, pemilihan lokasi tersebut kelihatan agak munasabah. Hal ini kerana kedudukan kota Petra membenarkan mereka mengawal Laluan Setanggi sekaligus mengenakan cukai ke atas kafilah-kafilah dagang yang lalu-lalang. Keadaan sebegini sudah tentu mampu menambahkan lagi kekayaan mereka. Di samping itu, kedudukan kota itu juga sukar diakses justeru menyumbang kepada faktor keselamatan pula.

Berikutan penaklukan yang dilakukan oleh Rom pada tahun 106M, Petra dan kota-kota Nabatea yang lain seperti Hegra kehilangan kuasa ke atas Laluan Setanggi dan malah, ke atas wilayah tersebut secara umum. Kebangkitan kota Syria dari Palmyra sebagai pusat perdagangan pula secara efektif mengalihkan perhatian para pedagang dari kota-kota Nabatea. Makanya, Nabatea pun mengalami kejatuhan dalam soal kekayaan dan prestij. Kemusnahan yang ditimpakan oleh Maharaja Aurelian ke atas Palmyra sekitar tahun 272M sudah terlalu lambat untuk memulih dan merancakkan semula ekonomi Nabatea, dan sebelum berlakunya Serangan Arab pada abad ke-7M, Kerajaan Nabatea telah pun dilupakan kewujudannya.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Perdagangan Awal Di Laluan Setanggi

Istilah 'Laluan Setanggi' merujuk kepada sejumlah laluan yang diambil oleh para pedagang pada abad ke-6 atau ke-7SM hingga abad ke-2M, meliputi kawasan antara selatan Arab hingga ke pelabuhan Gaza. Kadar kerancakan perdagangan di sepanjang laluan ini dilihat berada di kemuncak pada sekitar abad ke-3SM, iaitu tempoh masa di mana kaum Nabatea meraih kuasa ke atas kebanyakan kota-kota penting di sepanjang laluan tersebut. Laluan Setanggi tidaklah merujuk kepada satu jalan tunggal di antara Arab dan Gaza. Sebaliknya, ia merupakan sebuah haluan umum yang dilalui oleh para pedagang di antara dua titik temu tersebut. Menurut Pliny the Elder (23-79M), laluan-laluan tersebut meliputi jarak sejauh 1200 batu (1931 km) dan mengambil masa selama 65 hari untuk menghabiskan satu perjalanan, jika diambil kira masa berhenti di kota pada setiap malam.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan
KOTA-KOTA YANG DIKUASAI OLEH KAUM NABATEA MENJELANG ABAD KE-3SM MENJADI SEBAHAGIAN DARIPADA KOTA PERDAGANGAN PENTING YANG BERADA DI SEPANJANG LALUAN SETANGGI - KOTA PERDAGANGAN YANG WAJIB DIKUNJUNGI OLEH PARA PEDAGANG.

Lokasi-lokasi perhentian yang ada bukan hanya sekadar berfungsi sebagai tempat berehat, tetapi ia juga memainkan peranan yang penting dalam perdagangan – sesuai dengan komoditi utama sesebuah lokasi (kota) perhentian itu. Kota Mamshit misalnya, masyhur dengan komoditi berupa kuda-kuda Arab yang diniagakan pada harga yang tinggi. Dengan demikian, para pedagang akan bergerak dari sebuah kota ke sebuah kota lain sambil meniagakan barang dagangan mereka di setiap lokasi (kota) perhentian sebelum tiba di destinasi terakhir – pelabuhan Gaza. Apabila sesebuah kota mula mengenakan cukai yang tinggi kepada pedagang, maka perdagangan secara alaminya akan beralih-arah kepada kota lain yang dianggap lebih mesra-pedagang. Namun, kota-kota yang dikuasai oleh kaum Nabatea menjelang abad ke-3SM menjadi sebahagian daripada kota perdagangan penting yang berada di sepanjang Laluan Setanggi – kota perdagangan yang wajib dikunjungi oleh para pedagang.

Antara kota-kota perdagangan tersebut termasuklah kota yang kelak dikenali sebagai Haluza, Mamshit, Avdat dan Shicta. Kesemua kota perdagangan ini menawarkan pelbagai barang dagangan dan tempat penginapan yang selesa buat para pedagang. Kubu-kubu Nabatea turut didirikan di sepanjang Laluan Setanggi bagi menjamin keselamatan para pedagang. Namun, sudah tentu perlindungan tersebut mempunyai harga yang harus dibayar – iaitu dengan membayar cukai. Walaupun kaum Nabatea sudah pun mengecapi kekayaan menjelang abad ke-3SM sebagai kaum pedagang yang berjaya, penguasaan mereka ke atas Laluan Setanggi sebagai sebuah kerajaan meneguhkan lagi status tersebut.

Kekayaan, Kebudayaan, Hak-Hak Wanita

Diperkirakan bahawa mereka mampu meraih kejayaan sedemikian kerana mereka terlebih dahulu menguasai sumber air di sepanjang Laluan Setanggi. Ketikamana puak-puak Arab yang lain perlu bertukar-tukar barang untuk mendapatkan bekalan air, kaum Nabatea bertindak lebih bijak dengan menggali dan membuat tempat penyimpanan air. Kemudian, tempat penyimpanan tersebut ditutup dan ditinggalkan dengan tanda yang hanya diketahui oleh mereka. Menerusi dasar ini, mereka mampu bermusafir dengan jauh lebih mudah dan efisien berbanding pedagang-pedagang lain. Mereka juga mampu menyelesaikan masalah air yang dihadapi oleh kota Petra menerusi penguasaan dan kemahiran teknologi. Kaum Nabatea melaksanakan sebuah sistem pengangkutan dan penyimpanan air yang amat terperinci, sistem yang tidak dapat ditandingi di zamannya dan tiada saingan di daerah berkenaan. Kawasan tersebut pada hakikatnya merupakan kawasan banjir kilat. Menerusi pembinaan empangan, tangki dan saluran air yang penuh teliti, kaum Nabatea mampu mencipta oasis-buatan di wilayah gersang. Hal ini bukan sekadar berhasil memelihara kelangsungan hidup mereka, malah ia turut mengangkat status mereka sebagai kerajaan paling berkuasa di kawasan tersebut.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Nabataean Tombs of Petra
Makam Nabataean Petra
Carole Raddato (CC BY-NC-SA)

Tarikh atau masa sebenar pembinaan kota-kota Nabatea seperti Petra dan Herga tidak dapat diketahui, namun binaan tersebut diandaikan sudah pun berdiri kukuh menjelang hujung abad ke-4SM – iaitu masa di mana kaum Nabatea yang kaya-raya ini menarik perhatian panglima (dan bakal raja) Yunani, Antigonus I (memerintah 306-301SM) untuk menyerang kerajaan itu. Pada tahun 312SM, Antigonus berpura-pura mengadakan hubungan yang baik dengan kaum Nabatea. Beliau kemudian menghantar puteranya, Demetrius untuk mengepalai sebuah serangan mengejut ke atas Petra. Namun, helah tersebut tidak berhasil memperdayakan kaum Nabatea yang bersiap-sedia bagi menghadapi Demetrius. Serangan daripada Yunani itu menemui kegagalan dan Demetrius terpaksa mengadakan perjanjian damai dengan Nabatea sebelum pulang menghadap bapanya. Anak-beranak itu kemudiannya digiring keluar dari wilayah tersebut dalam sebuah lagi pertembungan.

Kekayaan melimpah-ruah yang dimiliki Kerajaan Nabatea terus meningkat dan menjadi bahan legenda di zamannya sendiri. Beberapa abad kemudian, keulungan kerajaan ini masih disebut-sebut oleh para sejarahwan seperti Strabo (meninggal dunia pada 23M) dan Diodorus Siculus (abad pertama SM). Secara menyeluruh, dua orang penulis ini serta penulis-penulis lain menggambarkan Kerajaan Nabatea dengan naratif yang positif. Diodorus menulis perihal kekayaan Nabatea dan kebudayaan mereka dalam Jilid XIX bagi karyanya yang berjudul Histories:

Demi kepentingan mereka-mereka yang tidak mengetahui, saya anggap perlu untuk menyatakan sedikit perincian tentang kebudayaan masyarakat Arab satu ini. Mereka percaya bahawa dengan mematuhi adat-adat tersebut, mereka akan dapat memelihara kebebasan mereka. Mereka hidup secara terbuka, menghirup udara yang segar – teguh mempercayai bahawa padang pasir yang ketiadaan sungai mahupun sumber air itu merupakan kampung halaman mereka, kampung yang tidak memungkinkan mana-mana pasukan tentera mendapatkan sumber air.

Sudah menjadi kebiasaan mereka untuk tidak bergiat dalam aktiviti bercucuk tanam, memetik tuaian dari pokok-pokok buah, meminum arak ataupun membina sebarang rumah – dan jika ada sesiapa yang didapati melanggar adat ini, kematian adalah hukuman baginya.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Mereka mematuhi adat-adat tersebut kerana mereka percaya bahawa orang yang memiliki perkara-perkara itu (yang disebutkan di atas) dengan mudah akan tunduk pada tuntutan 'kuasa' barangan tersebut – tuntutan yang perlu dipenuhi jika mahu mengekalkan penggunaannya. Sebahagian daripada mereka menternak unta sambil yang lain pula menggembala biri-biri di gurun. Ketikamana kebanyakan kabilah Arab menjadikan gurun sebagai tempat penternakan (yang juga diamalkan oleh Nabatea), kaum Nabatea jauh melangkaui kabilah-kabilah lain dalam soal kekayaan walaupun jumlah populasi mereka tidak melebihi sepuluh ribu orang; hal ini kerana ramai dalam kalangan mereka sudah terbiasa memperdagang barangan seperti kemenyan, morhabshi, dan rempah-rempah berharga yang lain, yang didapati dari Arabia Eudaemon (Yaman).

Kaum Nabatea ini begitu akrab dengan kebebasan; dan bila sahaja ada sebuah ketumbukan tentera musuh datang mendekat, mereka akan berlindung di gurun dan menggunakannya sebagai kubu; memandangkan kawasan sebegitu tidak mempunyai sumber air dan tidak pula dapat direntasi oleh orang lain kecuali mereka. Hal ini kerana mereka telah pun menyiapkan tempat penyimpanan bawah tanah.

Memandangkan rupa bumi di sebahagian tempat terdiri daripada tanah liat sambil tempat yang lain pula berbatuan lembut, maka mereka memanfaatkan keadaan tersebut dengan melakukan penggalian. Mulut lubang yang digali bersaiz sangat kecil, namun saiznya terus melebar seiring kedalamannya. Setelah meraih hasil akhir, lubang ini memiliki saiz yang amat besar; di mana setiap sisi mempunyai kepanjangan satu plethrum (101 kaki/30 meter).

Setelah mengisi lubang ini dengan bekalan air yang diperoleh dari hujan, mereka pun menutup dan menimbusnya sehingga rata dengan permukaan tanah. Sebelum meninggalkan tempat penyimpanan tersebut, mereka terlebih dahulu meletakkan tanda yang hanya dapat diketahui oleh kaum mereka sahaja.

Mereka memberi minum kepada ternakan mereka selang setiap hari agar jika mereka melalui tempat yang tidak memiliki sumber air, mereka sudah terbiasa dengan keadaan itu. Haiwan ini turut dimanfaatkan sebagai makanan dan minuman (susu). Begitu juga dengan tumbuh-tumbuhan yang dapat dijumpai – ia turut menjadi bekalan makanan kepada kaum Nabatea ini. Antara tumbuhan tersebut termasuklah lada dan madu asli dari pokok yang mereka campurkan dengan air untuk diminum. (XIX.94.2-10)

Strabo memberikan gambaran yang serupa tentang kaum Nabatea, namun bercanggah dengan Diodorus berkenaan budaya meminum arak, mendakwa bahawa mereka mengumpulkan anggur untuk menghasilkan arak dan meminumnya di majlis-majlis keraian. Walau bagaimanapun, beliau mengutarakan bahawa mereka tidak minum berlebihan seperti bangsa Rom. Akan tetapi, mereka mengehadkan peminuman tidak lebih sebelas cawan dalam masa satu malam (Geography XVI.4.26). Beliau memerincikan dengan lebih lanjut tentang bagaimana mereka menggunakan unta berbanding kuda, memakai kain jubah berbanding tunik, dan begitu demokratik hinggakan raja mereka boleh berkeras mahu melayani orang lain dalam sesebuah jamuan.

Kaum wanita dianggap sama dengan kaum lelaki dalam budaya Nabatea. Inskripsi-inskripsi mengisyaratkan bahawa kaum wanita yang merupakan pendeta, pemerintah-bersama atau monarki merdeka, boleh mewarisi dan diberikan hartanah, memiliki makam sendiri, menggubal undang-undang dan mewakili diri mereka dalam mahkamah, dan dicetak dalam matawang syiling. Sebahagian dewata paling masyhur dalam pantheon Nabatea adalah wanita seperti Al-'Uzza, Manawat, dan Allat.

Agama Kaum Nabatea

Tidak banyak maklumat yang diketahui perihal aktiviti keagamaan kaum Nabatea melainkan bahawa mereka mengamalkan politeisme dan menyembah matahari dalam upacara-upacara yang diadakan di puncak kuil. Mereka turut memuliakan tuhan-tuhan mereka dalam upacara-upcara peribadi di rumah. Terdapat kelas pendeta yang terbuka kepada golongan lelaki dan perempuan. Namun, bagaimana pemilihan atau persiapan seseorang untuk bergelar pendeta tidak pula diketahui. Persis keadaan di Mesir, kelihatannya para pendeta lelaki dan wanita di Nabatea ini lebih cenderung kepada para dewa berbanding manusia. Malahan, tidak kelihatan juga sebarang institusi keagamaan melainkan menerusi upacara keraian.

The Monastery in Petra
Biara di Petra
Carole Raddato (CC BY-NC-SA)

Dewa-dewa bagi kaum Nabatea tidak pernah digambarkan dalam bentuk patung berskala-penuh. Namun, ianya ada diukir pada pintu-pintu gerbang, dinding kuil, bahagian syiling kuil, permakaman, dan barangan seramik. Tiga dewata yang paling penting bagi kaum Nabatea pada tahun-tahun awal mereka adalah:

Al-Qaum - dewa perang, pelindung manusia, dewa waktu malam dan pelindung roh.

Al-Kutby - dewa pengetahuan, penulisan dan ramalan.

Al-Uzza - dewi ibu tertinggi, dikaitkan dengan kuasa dewata dan alam.

Dewata-dewata di zaman terkemudian pula adalah Manawat (dewi takdir dan kesuburan), Allat (dewi pembaharuan, kelangsungan zuriat dan kesuburan), dan Dushara (juga dikenali sebagai Dushares, dewi gunung-ganang dan waktu siang serta dikaitkan dengan matahari). Di antara kesemua dewata ini, Dushara merupakan dewata yang paling lama kekal diingati dan dipuja di puncak-puncak kuil Nabatea. Dushara masih hadir dalam matawang syiling mereka walaupun selepas tempoh penaklukan Nabatea yang dilakukan oleh Rom.

Raja-Raja Nabatea & Konflik-Konflik Yang Dihadapi

Masyarakat Nabatea bersifat celik huruf dan agak maju dalam penulisan Bahasa Arab, walaupun mereka tidak banyak menulis rekod tentang sejarah mereka sendiri. Pengetahuan berkenaan kebudayaan, adat-istiadat, serta hayat raja-raja mereka hanya tercantum dalam tulisan Yunani dan Rom selain diisyaratkan menerusi reka bentuk binaan, kesenian, dan inskripsi ringkas yang ditinggalkan oleh Nabatea. Seiring dengan berkembangnya kerajaan mereka, masyarakat Nabatea menjalinkan hubungan dan berkonflik dengan wilayah-wilayah jiran. Makanya, nama raja-raja mereka turut disebutkan oleh para penulis dari kuasa-kuasa tersebut.

Terdapat seorang raja awal yang mungkin bernama Rekem atau Raqmu. Bersempena nama raja inilah kota yang kini dikenali sebagai Petra meraih nama. Petra (berasal dari Bahasa Yunani yang bermaksud 'batu') adalah nama Yunani bagi ibu kota Raqmu. Tarikh hayat dan pemerintahan raja ini masih lagi misteri, seperti misterinya tarikh ukiran ajaib di Petra. Raja pertama yang tercantum secara jelas dalam catatan sejarah adalah Aretas I (168SM) dan pemerintahannya dijadikan sebagai tanda permulaan Kerajaan Nabatea.

Nama Aretas I tercatat di dalam sebuah inskripsi Nabatea yang bertarikh 168SM dan beliau juga ada disebutkan di dalam Kitab II Maccabees (5-8) yang turut mengesahkan kewujudan pemerintahannya pada waktu-waktu itu. Beliau bertanggungjawab memperluaskan wilayah Kerajaan Nabatea dan dikenali sebagai “Pemerintah Tirani Arab” oleh musuh-musuhnya. Beliau membantu Maccabees dari Judea semasa Judea memerangi Seleucid Yunani (c.168/167-c.160SM) dan memberi kebenaran kepada Judas Maccabees untuk melalui wilayahnya ketika melakukan serangan.

Pemerintah Nabatea yang seterusnya – disebutkan bahawa beliau mewarisi Aretas I namun beliau cenderung dipercayai sebagai merupakan pemerintah yang lebih terkemudian – dikenali sebagai Aretas II (juga Erotimus, memerintah c.120/119-c.96SM). Aretas II terlibat dalam konflik dengan Dinasti Hasmonea. Raja Hasmonea yang bernama Alexander Janneus (memerintah 103-76SM) menghancurkan Gaza dan menguasai kota-kota perhentian di Laluan Setanggi sekaligus menjejaskan ekonomi Nabatea.

Pewaris Aretas II yang bernama Obodas I (c. 96-85SM) pula berperanan menewaskan Janneus dalam sebuah pertempuran dan berjaya merebut semula Gaza. Beliau kemudiannya menewaskan Seleucid-Yunani yang ketika itu berada di bawah kepemimpinan Antiochus XII Dionysius (87-84SM) – si raja itu terbunuh dan bala tenteranya habis musnah. Selepas meraih kemenangan ini, rakyatnya sendiri malah berpaling ketaatan daripadanya sebagaimana yang tercatat dalam sebuah memorial di kuburnya yang berlokasi di kota Avdat. Kedudukannya diwarisi oleh saudaranya, Rabbel I (c. 85SM) yang terkorban dalam sebuah pertempuran. Takhta kemudiannya diserahkan kepada seorang lagi saudaranya yang mengambil gelaran Aretas III (c. 85-60SM).

Avdat
Avdat
Rosewoman (CC BY)

Aretas III berperanan memperluaskan wilayah Nabatea sehingga tahap kemuncaknya. Beliau menguasai laluan-laluan perdagangan dari Syria merentas Tanah Arab hingga ke pesisiran selatan. Pada tahun 64SM, seorang panglima Rom yang bernama Pompey datang menyerang dan menakluk Syria bagi pihak Rom. Beliau turut menghantar panglimanya yang bernama Scaurus untuk merebut Petra. Scaurus tidaklah meraih kejayaan sebesar Demetrius pada kurun-kurun sebelumnya. Namun, bala tentera Rom ini jauh lebih kuat berbanding kekuatan Yunani yang menggempur Nabatea pada masa dahulu. Akibatnya, Nabatea terpaksa membayar ufti kepada Rom demi mengekalkan kemerdekaannya.

Takhta Aretas III diwarisi oleh Obodas II (c. 60-59SM) yang mangkat tidak lama selepas memegang kuasa dan kedudukannya diserahkan kepada Malichus I (c. 59-30SM) yang terpaksa tunduk kepada Herod Agung sebagai raja bawahan. Beliau digantikan oleh Obodas III (c. 30-9SM) yang berjaya mempertahankan Kerajaan Nabatea dari kekuatan Rom dengan menghantar ketua menterinya, Syllaeus untuk “memandu arah” pasukan tentera Rom yang dipimpin oleh Gallus menuju ke kota-kota Nabatea. Syllaeus berpura-pura bersifat tulus dalam berkawan dengan Rom sebelum memperdayakan mereka. Beliau kemudiannya dihukum bunuh di Rom atas dakwaan berlaku khianat.

Obodas III digantikan oleh Aretas IV (c. 9SM-40M) yang dianggap sebagai raja Nabatea yang paling hebat. Inskripsi-inskripsi Nabatea menyebut namanya sebagai “Aretas, Raja Nabatea, kekasih rakyat jelatanya” dan beliau sangat dihormati. Isterinya, Chuldu (juga dikenali sebagai Huldu, Huldo) turut memerintah bersamanya dan mungkin secara sendirian selepas kemangkatan Aretas IV. Aretas IV berjaya memperkukuh kekuatan Nabatea walaupun perlu berhadapan dengan kekuatan Rom. Malahan, beliau turut meraih perakuan daripada Augustus Caesar sebagai seorang raja yang berautonomi (memerintah secara sendiri). Hak wanita, kesenian, kebudayaan, perundangan dan ekonomi Nabatea mencapai tahap tertinggi semasa zaman pemerintahannya.

Kedudukan Aretas IV ini diwarisi oleh puteranya, Malichus II (c. 40-70M). Semasa pemerintahannya, kebanyakan wilayah Nabatea jatuh ke tangan Rom. Beliau berusaha, walaupun gagal, untuk meraih pandangan hormat daripada Rom dengan menghantar pasukan tentera Nabatea bagi membantu Rom menundukkan Pemberontakan Yahudi 66-70M. Aretas IV kemudiannya mangkat, ataupun terbunuh dan takhtanya diwarisi oleh Rabbel II Soter (c. 70-106M) yang dikenali sebagai raja penyelamat rakyat walaupun beliau kehilangan lebih banyak wilayah kekuasaan kepada Rom. Prestij Nabatea juga jatuh merudum semasa pemerintahannya. Kedudukan beliau diwarisi oleh saudara perempuannya, Gamilath. Namun, Kerajaan Nabatea pada waktu itu sudah pun tiba di penghujungnya memandangkan pengaruh kekuasaan Rom semakin membesar. Kerajaan Nabatea pun ditundukkan dan diserap sebagai wilayah taklukan Rom pada tahun 106M.

Kesimpulan

Kota-kota Nabatea mengalami kejatuhan semasa berada di bawah pemerintahan Rom dan sebuah kejadian gempa bumi yang berlaku pada tahun 363M pula meranapkan kebanyakan kota tersebut. Wilayah ini kemudiannya diperintah oleh Empayar Rom Timur (Byzantine) yang menubuhkan sejumlah gereja di kota-kota tersebut sekaligus menghidupkan semula sektor komersial sebelum berlaku lagi sebuah gempa bumi pada tahun 551M – mengakibatkan kemusnahan lanjut. Menjelang Serangan Arab pada abad ke-7M, kota-kota Nabatea ini telah pun lama ranap dan Nabatea pula dilupakan.

Hanya pada abad ke-19M, semasa para pengembara Eropah mula melawat kawasan tersebut, barulah kota-kota seperti Petra ditemui semula. Kebudayaan Nabatea yang unik makin menarik minat dunia terhadap kota Petra.Tumpuan kepada Nabatea semakin berkembang pada abad ke-20M dengan sejumlah sejarahwan dan ahli arkeologi melawat wilayah berkenaan dan melakukan kerja-kerja ekskavasi di tapak-tapak purba itu. Petra kemudiannya diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia pada tahun 1985M dan dinamakan sebagai salah satu dari Tujuh Keajaiban Dunia pada tahun 2007.

Kemahiran masyarakat Nabatea dalam pertukangan batu jelas terbukti menerusi struktur-struktur Petra – kemahiran yang dianggap tiada tandingannya di zaman purba. Kebijaksanaan mereka dalam memanfaatkan setiap inci peluang yang ada turut membenarkan mereka menjadi kerajaan yang paling kaya di wilayah itu. Walaupun ketamadunan ini telah dilupakan selama berabad-abad, pada hari ini ia diperakui sebagai sebuah kebudayaan yang maju yang tidak hanya berkemampuan untuk menghadapi cuaca yang panas dan gersang, namun untuk turut mengecapi kegemilangan di tanah tandus seperti itu.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Darihal Penulis

Joshua J. Mark
Penulis bebas dan bekas Pensyarah Falsafah separuh-masa di Kolej Marist, New York. Joshua J. Mark menetap di Greece dan Jerman dan pernah mengembara ke Mesir. Beliau mengajar sejarah, penulisan, kesusasteraan, dan falsafah pada peringkat kolej.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Mark, J. J. (2018, March 05). Kerajaan Nabatea [Kingdom of Nabatea]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-16831/kerajaan-nabatea/

Gaya Chicago

Mark, Joshua J.. "Kerajaan Nabatea." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai March 05, 2018. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-16831/kerajaan-nabatea/.

Gaya MLA

Mark, Joshua J.. "Kerajaan Nabatea." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 05 Mar 2018. Web. 21 Nov 2024.