Maharaja Jianwen

9 hari yang tinggal

Melabur dalam Pendidikan Sejarah

Dengan menyokong badan amal Yayasan Sejarah Dunia kami, anda melabur dalam masa depan pendidikan sejarah. Sumbangan anda membantu kami memperkasakan generasi akan datang dengan pengetahuan dan kemahiran yang mereka perlukan untuk memahami dunia di sekeliling mereka. Bantu kami memulakan tahun baru bersedia untuk menerbitkan maklumat sejarah yang lebih dipercayai, percuma untuk semua orang.
$3544 / $10000

Inti Sari

Mark Cartwright
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 15 February 2019
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris, Perancis
Dengarkan artikel ini
X
Cetak Artikel
Jianwen Emperor (by Unknown Artist, Public Domain)
Maharaja Jianwen
Unknown Artist (Public Domain)

Maharaja Jianwen (memerintah 1398-140 M) merupakan maharaja kedua bagi dinasti Ming (1368-1644 M). Berikutan tercetusnya peperangan saudara dan kehilangan Jianwen secara misteri, takhta Ming diambil-alih oleh bapa saudaranya yang memerintah sebagai Maharaja Yongle (memerintah 1403-1424 M). Walaupun menjadi mangsa kepada sikap prejudis Yongle yang bertanggungjawab memerintahkan penulisan semula rekod-rekod rasmi istana, Jianwen pada hakikatnya adalah seorang pemerintah prihatin yang berusaha untuk menghapuskan undang-undang dan layanan kasar terhadap para menteri yang menjadi satu kebiasaan sejak era pemerintahan datuknya, iaitu Maharaja Hongwu (memerintah 1368-1398 M).

Kenaikan Takhta Zhu Yunwen

Dinasti Ming ditubuhkan oleh Maharaja Hongwu pada tahun 1368 M dan beliau jugalah yang membiarkan konflik pewarisan takhta berlaku di istana. Keributan ini terjadi kerana putera pilihannya, iaitu putera sulung yang bernama Zhu Biao mangkat di usia muda pada tahun 1392 M sedangkan pada waktu itu, maharaja sendiri mempunyai seramai 26 orang putera. Keadaan kian meruncing apabila Hongwu menamakan putera sulung Zhu Biao sebagai pewaris takhta dan mengenepikan hak putera kedua beliau sendiri. Dasar pemilihan sebegini kemudian dijadikan sebagai undang-undang rasmi dalam Dinasti Ming – iaitu takhta akan diwarisi oleh putera sulung maharani dan jika beliau meninggal dunia pada usia muda, hak pewarisan takhta akan diserahkan kepada puteranya yang sulung. Oleh kerana itu, selepas kemangkatan Hongwu pada tahun 1398 M, kedudukannya diambil-alih oleh cucu beliau yang bernama Zhu Yunwen (atau Huidi, lahir 1377 M). Pada usia 21 tahun, Zhu Yunwen memerintah China dengan menggunakan gelaran Maharaja Jianwen, yang membawa maksud 'Kesusilaan'.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Perang Saudara Menentang Putera Yan

Malangnya, dasar pewarisan takhta sedemikian tidak dipersetujui oleh ramai pihak, khususnya putera kedua Hongwu sendiri, iaitu Putera Yan (atau Zhu Di, lahir 1360 M). Putera Yan sememangnya terkenal sebagai seorang yang bercita-cita tinggi dan kebolehannya sebagai seorang komander perang yang cekap sudah pun dibuktikan semasa beliau terlibat dalam kempen-kempen ketenteraan memerangi Monggol. Oleh kerana itu, beliau menginginkan takhta untuk dirinya sendiri. Penuntutan takhta oleh Putera Yan ini meraih sokongan daripada pasukan tentera pimpinan beliau ditempatkan di wilayah-wilayah timur laut China dengan tujuan melindungi kawasan sekitar Beijing. Konflik perebutan takhta itu mencapai titik kemuncaknya apabila Jianwen menggugurkan gelaran putera daripada putera pertama dan putera-putera maharaja yang lain, termasuklah Putera Yan. Maka, Zhu Di pun menyuarakan pemberontakan dan mempersoalkan keabsahan Jianwen sebagai seorang pemerintah. Beliau turut menyebarkan dakwaan kononnya pemerintahan Jianwen dikaburi dan dikotori korupsi.

Maharaja Yongle memalsukan rekod-rekod sejarah supaya Jianwen dapat 'disingkirkan' daripada sejarah rasmi China.

Rentetan itu, meletuslah sebuah perang saudara yang berlanjutan selama tiga tahun sambil disela oleh beberapa kali jeda. Putera Yan yang disokong oleh pasukan tentera yang lebih tersusun dan barisan panglima yang lebih cekap berjaya memenangi peperangan dan beliau pun ditabalkan sebagai maharaja Chengzu. Beliau memerintah China dengan menggunakan gelaran Yongle, yang bermaksud 'Kepuasan Abadi' atau 'Kenikmatan Abadi'. Sementara itu, Jianwen pula hilang tanpa jejak. Sebahagian catatan mendakwa beliau terbunuh dalam sebuah kebakaran yang menimpa istana di Nanjing sewaktu berlakunya konflik. Ada pula yang berpendapat kononnya beliau sempat melarikan diri dengan menyamar sebagai seorang sami. Walau apapun, sejarahwan bersepakat bahawa nama maharaja kedua Dinasti Ming itu tidak lagi muncul dalam rekod sejarah sesudah berakhirnya perang pewarisan takhta antara Jianwen dan Yongle.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Revisionisme Oleh Maharaja Yongle

Memandangkan beliau merampas takhta dengan jalan kekerasan, Maharaja Yongle banyak meluangkan masa dan usaha untuk meraih keabsahan dalam pemerintahannya, lebih-lebih lagi budaya China amat menekankan doktrin maharaja sebagai Anak Tuhan yang dipilih secara khusus untuk memerintah umat manusia. Beliau turut menjalankan satu proses penyingkiran pegawai kerajaan secara besar-besaran berikutan keengganan Fang Xiarou, seorang menteri merangkap cendekia Konfusianisme, untuk menulis pengisytiharan kenaikan takhta Yongle. Sebagai hukuman, anggota badan Xiarou dicacatkan dan ahli keluarga serta kenalannya dalam jabatan kerajaan turut dikenakan hukuman. Pada tahun 1421 M, Yongle memindahkan ibu kota dari Nanjing ke Beijing bagi memudahkan pasukannya mempertahankan sempadan utara China dari ancaman Monggol yang datang secara terus-menerus, selain membolehkan beliau untuk memulakan lembaran baru dalam sejarah Ming dan menyingkirkan mana-mana pegawai kerajaan yang masih setia kepada Maharaja Jianwen. Yongle turut melaksanakan satu lagi dasar pemerintahan yang mempunyai kesan berpanjangan, di mana beliau lebih cenderung untuk mendapatkan khidmat pegawai kerajaan dalam kalangan sida-sida berbanding penjawat awam sedia ada. Sikap prejudisnya ini sekali lagi terzahir pada tahun 1420 M apabila beliau menubuhkan sebuah jabatan rahsia, iaitu Ibu Pejabat Timur yang dikepalai oleh ketua sida dan diberi tugas untuk memburu mana-mana pegawai kerajaan yang menimbulkan rasa curiga.

Yongle Emperor
Maharaja Yongle
Unknown Artist (Public Domain)

Yongle tidak hanya risau terhadap masa hadapan pemerintahannya, namun turut dihantui oleh masa silam. Beliau memerintahkan cendekiawan yang bertugas di arkib negara untuk menghapuskan dokumen-dokumen rasmi dan memalsukan rekod-rekod sejarah supaya Jianwen dapat 'disingkirkan' daripada sejarah China, atau setidak-tidaknya kisah beliau 'diselewengkan'. Seluruh episod perang saudara antara Jianwen dan Yongle dicatatkan semula dalam rekod rasmi sebagai 'Penundukkan Kekacauan-Kekacauan Kecil'. Sebarang perbualan tentang bekas-bekas menteri Jianwen dianggap sebagai satu perkara yang tabu dan pemilikan sebarang hasil penulisan mereka diharamkan sepenuhnya: sesiapa yang didapati melanggar larangan ini akan dijatuhi hukuman mati. Walau bagaimanapun, sebahagian rekod sejarah dari era pemerintahan Jianwen kekal terselamat dan menerusi kandungannya, kita boleh dapati yang beliau banyak berusaha untuk mengubah beberapa dasar pemerintahan datuknya. Menurut sejarah, Maharaja Hongwu bertanggungjawab meneguhkan kerajaan pusat dan menghapuskan beberapa perundangan yang mengehadkan kuasa maharaja. Sebagai contoh, beliau menyingkirkan pegawai-pegawai urus setia yang bertugas menasihati maharaja. Maka, di zaman pemerintahannya, Jianwen berusaha untuk mengembalikan kuasa pegawai-pegawai senior dan mengubah beberapa perundangan dalam Da Ming lü yang dianggap keras. Dasar Hongwu yang banyak mengutamakan kuil-kuil Buddha dan Tao turut diubah oleh Jianwen, di mana beliau bertindak menghapuskan beberapa bentuk anugerah yang diberikan kepada mereka.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Bayang-Bayang Jianwen

Sebahagian sejarahwan berpendapat bahawa salah satu sebab Maharaja Yongle membiayai tujuh perlayaran Zheng He (bermula dari tahun 1403 M) adalah untuk mencari tahu sama ada Jianwen benar-benar telah mati atau beliau sempat meloloskan diri dan bersembunyi di Asia Tenggara. Antara faktor utama rombongan perlayaran tersebut dihantar – bermula dari Asia Tenggara menuju ke India dan seterusnya ke Teluk Parsi dan pantai timur Afrika – adalah untuk menghidupkan semula sistem peruftian China dan menyebarluaskannya ke seantero dunia. Namun tanpa dapat dinafikan, kehilangan Jianwen secara misteri serba-sedikit mempengaruhi sebab di sebalik penghantaran rombongan tersebut. Memandangkan beliau menaiki takhta melalui jalan kekerasan, Maharaja Yongle menyedari keperluan untuk beliau mengabsahkan tindakannya yang merampas kuasa itu dan salah satu kaedah yang paling efektif adalah dengan memperagakan kekuasaannya sebagai Anak Tuhan kepada rakyat jelatanya di China dan juga kepada seluruh dunia. Kehadiran perutusan demi perutusan di istana China yang membawa ufti dan hadiah-hadiah mewah daripada kerajaan masing-masing secara tidak langsung mengiktiraf kekuasaan China dan kedudukan maharajanya sebagai penguasa terulung di rantau timur. Walau bagaimanapun, pemerintahan Jianwen yang walaupun berlangsung singkat, ia tetap membayangi dan menghantui diri Yongle sepanjang dua dekad kekuasaannya.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Daftar Pustaka

Ensiklopedia Sejarah Dunia adalah Associate Amazon dan memperoleh komisen untuk pembelian buku yang layak.

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Darihal Penulis

Mark Cartwright
Mark merupakan seorang penulis sejarah yang berpangkalan di Itali. Minat-minat khususnya merangkumi seni penghasilan tembikar, seni bina bangunan, mitologi dunia, dan merungkai faham-faham yang dikongsi oleh kesemua tamadun. Beliau mempunyai kelulusan peringkat MA dalam bidang Falsafah Politik dan bertugas sebagai Pengarah Penerbitan di WHE.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Cartwright, M. (2019, February 15). Maharaja Jianwen [Jianwen Emperor]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-17895/maharaja-jianwen/

Gaya Chicago

Cartwright, Mark. "Maharaja Jianwen." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai February 15, 2019. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-17895/maharaja-jianwen/.

Gaya MLA

Cartwright, Mark. "Maharaja Jianwen." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 15 Feb 2019. Web. 22 Dec 2024.