Empayar Songhai (atau Songhay, sekitar 1460-1591 Masihi) menggantikan Empayar Mali (1240-1645 Masihi) sebagai empayar paling penting di Afrika Barat (meliputi wilayah selatan Mauritania dan Mali moden). Berasal-usul dari sebuah kerajaan kecil yang terletak di sepanjang lengkungan timur Sungai Niger pada 1000 Masihi, Songhai kemudiannya mula melebarkan wilayahnya secara drastik pada era pemerintahan Raja Sunni Ali (1464-1492 Masihi). Dengan ibu kotanya terletak dan Gao dan keupayaannya menguasai perdagangan trans-Sahara menerusi pusat-pusat perdagangan utama seperti Timbuktu dan Djenne, Empayar Songhai mengalami kepesatan sepanjang kurun ke-16 Masihi sebelum kemudiannya ia dilemahkan oleh peperangan saudara dan seterusnya diserang lalu diserap ke dalam Empayar Maghribi sekitar tahun 1591 Masihi.
Kemunduran Empayar Mali
Empayar Mali, yang terletak di sepanjang lingkaran savannah antara gurun Sahara di utara dan hutan-hutan di selatan Afrika Barat (sering disebut sebagai wilayah Sudah), mengalami perkembangan pesat lantaran penguasaannya ke atas perdagangan tempatan dan antarabangsa terutama dalam perdagangan emas dan garam, sejak pertengahan kurun ke-13 Masihi. Namun, empayar ini mula mengalami kemunduran pada 1460-an Masihi berikutan beberapa faktor seperti perang saudara, pembukaan laluan-laluan perdagangan oleh pesaing di kawasan lain, dan serangan oleh suku nomad Tuareg dari selatan Sahara dan seterusnya, serangan oleh suku Mossi yang pada waktu itu menguasai wilayah selatan Sungai Niger. Apapun, situasi paling buruk hadir apabila Empayar Songhai, sebuah kerajaan purba, mengalami kebangkitan kuasa yang jauh lebih pesat berbanding sebelumnya. Empayar Mali terpaksa bergantung pada kekayaan yan tertumpu di wilayah baratnya, sehinggalah ketibaan pasukan tentera Maghribi pada kurun ke-17 Masihi.
Raja Sunni Ali
Sejarah Kerajaan Songhai boleh dijejak kembali setidak-tidaknya pada kurun ke-9 Masihi, yakni sezaman dengan Empayar Ghana (kurun ke-6 hingga kurun ke-13 Masihi) yang terletak lebih jauh ke timur. Kerajaan ini dikuasai dan dinamakan bersempena Songhay (atau Sonhrai), sebuah kumpulan masyarakat penutur bahasa Nilo-Sahara. Walaupun dikuasai oleh Empayar Mali, masyarakat Songhai kemudiannya membuktikan bahawa mereka berupaya menggugat kuasa Mali terutama apabila mereka menguasai pengangkutan sungai di Niger. Raja-raja Songhai sering melakukan serangan ke atas pusat-pusat Urban Mali sejak kurun ke-15 Masihi dan kemuncaknya, meraih kemerdekaan lantaran raja-raja Mali kehilangan cengkaman ke atas beberapa buah kerajaan kecil yang dinaunginya.
Sekitar tahun 1468 Masihi, Raja Sunni Ali (atau Sonni Ali Ber) mengubah taktik tradisional Songhai yang sebelum ini sekadar melakukan serangan-serangan kecil kepada kempen perluasan wilayah yang bersifat kekal dan lebih efektif. Dengan berbekalkan sebuah pasukan tentera yang dilengkapi unit kavalri dan satu-satunya armada laut di Afrika Utara yang diletakkan di Sungai Niger, Sunni Ali berupaya menakluk jantung Empayar Mali. Keadaan ini sebagaimana yang dinyatakan oleh hikayat Timbuktu, yang berjudul Tarikh al-Sudan (sekitar 1656 Masihi):
[Beliau memerintah] selama 28 tahun, melancarkan sebanyak 32 buah peperangan yang dimenangi setiap satunya, sentiasa menakluki dan tidak pernah ditakluki.
(dipetik daripada de Villiers, 102)
Raja Songhai ini menampilkan imejnya sebagai seorang ahli magis atau dukun dari kepercayaan animism tempatan bagi tujuan menimbulkan rasa gerun dalam kalangan musuh-musuhnya. Beliau juga secara efektif menggabungkan elemen kelemah-lembutan (misalnya, pahlawan-pahlawan yang dikalahkan dijemput menyertai pasukan tenteranya) dan elemen kekerasan (beliau masyhur dengan hukuman yang dijatuhkan ke atas suku Fulbe yang menentang). Lantaran itu, Raja Sunni Ali meraih gelaran, “Sunni Yang Tidak Berbelas Kasih”. Lebih berkesan daripada kesemua strategi ini, Sunni Ali lazim menyerang musuh dengan kekuatan yang begitu ampuh dan kepantasan yang bagaikan kilat. Wilayah-wilayah yang ditaklukinya tumbang umpama kepingan domino dan wilayah-wilayah tersebut dibahagikan untuk diperintah oleh gabenor lantikan raja. Ufti dikutip daripada para pembesar tempatan, tahanan turut diambil dan perkahwinan politik diatur. Namun, Sunni Ali setidak-tidaknya terkenal dengan jasanya membina sejumlah daik (benteng air) yang berupaya meningkatkan sistem perairan dan pertanian di kebanyakan kawasan.
Perdagangan
Menjelang tahun 1469 Masihi, Songhai menguasai 'pelabuhan' perdagangan penting Timbuktu yang terletak di sekitar Sungai Niger. Pada tahun 1471 Masihi, wilayah-wilayah Mossi di lengkungan selatan Sungai Niger diserang, dan menjelang tahun 1473 Masihi, pusat perdagangan utama di rantau itu, iaitu Djenne yang juga terletak di Niger, ditakluk. Namun malang buat Sunni Ali, kesemua wilayah yang baru ditaklukinya ini langsung tidak memberikan akses ke lapangan-lapangan emas yang terdapat di pesisiran selatan Afrika Barat yang telah mengkayakan para pemerintah Ghana dan Mali. Hal ini disebabkan oleh sebuah armada Portugis yang ditaja oleh seorang pedagang Lisbon yang bernama Fenao Gomes telah berlayar di sekitar pantai Atlantik di Afrika pada tahun 1471 dan menubuhkan pengaruh perdagangannya yang tersendiri berhampiran lapangan-lapangan emas tersebut (yang terletak di Ghana moden).
Pembukaan jalan laut ke Mediterranean juga membawa maksud kafilah-kafilah unta trans-Sahara kini berhadapan dengan saingan serius bagi membawa barang dagangan ke Afrika Utara dan Eropah. Namun, Portugis tidak begitu berjaya dalam usaha perdagangannya itu justeru mereka berharap agar dapat mengeksploitasi sumber-sumber alam di Afrika. Semestinya, Songhai berupaya memonopoli perdagangan kafilah Sahara yang membawa garam batu dan barangan mewah seperti kain mahal, barangan kaca, gula dan kuda ke wilayah Sudan dan ditukar dengan barangan seperti emas, gading, rempah ratus, kacang kola, kulit binatang dan hamba sahaya. Timbuktu, dengan populasi yang mencecah sekitar 100 000 orang pada pertengahan kurun ke-15 Masihi, terus meraih kepesatan sebagai sebuah 'pelabuhan' perdagangan di samping sebagai pusat pendidikan sehingga kurun ke-16 dan kurun ke-17 Masihi, di mana kota tersebut pada waktu itu mempunyai banyak masjid dan menempatkan 150-180 buah sekolah al-Quran.
Pusat-pusat perdagangan secara khusus menjadi pusat-pusat urban yang sofistikated, dengan perumahan dibina daripada batu dan kebanyakannya pula mempunyai dataran awam yang besar bagi tujuan pembukaan pasar-pasar lazim dan sekurang-kurangnya sebuah masjid. Di sekitar pusat ini pula terdapat penduduk suburban yang hidup di rumah atau khemah terapung di atas lumpur dan rumput bulu-bulu. Sementara itu, komuniti-komuniti pedalaman terus bergantung sepenuhnya pada pertanian. Namun, kewujudan pasar-pasar di luar bandar menandakan bahawa kebiasaannya komuniti-komuniti ini juga mempunyai lebihan bekalan makanan. Sudah tentu, kebuluran merupakan suatu perkara yang jarang berlaku pada separuh pertama pemerintahan Empayar Songhai, dan catatan sejarah langsung tidak ada merekodkan sebarang pemberontakan sepanjang tempoh tersebut.
Pentadbiran
Pentadbiran Songhai lebih bersifat berpusat berbanding Empayar Ghana dan Mali. Pemerintah empayar merupakan monarki penuh. Walaupun pemerintah mempunyai seramai 700 orang sida-sida di istananya yang terletak di Gao, kedudukan takhta raja-raja Songhai tidak pernah terjamin. Daripada sembilan orang pemerintah dalam sejarah Empayar Songhai, enam daripadanya sama ada digulingkan semasa pemberontakan atau dibunuh dengan tragis yang lazimnya di tangan saudara atau bapa saudara si pemerintah.
Kalaupun seseorang raja itu berpeluang memerintah cukup lama, terdapat majlis diraja yang terdiri dari kebanyakan pegawai senior. Antara lain termasuklah menteri kewangan (kalisa farma), laksamana (hi koya) armada Songhai yang turut berperanan menyelia gabenor-gabenor wilayah, ketua tentera (balama), dan menteri pertanian (fari mondzo). Selain itu, terdapat juga menteri-menteri yang bertanggungjawab ke atas hutan, pemberian gaji, pembelian oleh kerajaan, hal-ehwal hartanah, dan dasar luar negara. Terdapat juga pegawai setiausaha-canselor yang bertugas menguruskan kertas-kertas kerja rasmi. Pada peringkat tempatan, terdapat pelbagai macam pegawai yang mempunyai tugas-tugas khusus seperti penggubalan dasar atau menyemak penggunaan ukuran rasmi di pusat-pusat perdagangan, serta ketua persatuan artisan atau kumpulan kabilah. Selain itu, terdapat satu pegawai kerajaan yang tidak dapat dihindari oleh sesiapapun termasuklah orang kaya, iaitu pegawai pengutip cukai yang bertugas mengumpulkan sumber untuk digunakan oleh raja bagi membayar gaji tentera, kos penyelenggaraan istana, dan pemberian bekalan kepada orang-orang miskin.
Raja Mohammad I
Raja Mohammad I (memerintah 1494-1528 Masihi), bekas komander tentera Songhai yang merampas takhta daripada putera Sunni Ali, iaitu Sonni Baro, merupakan pemerintah pertama yang menggunakan gelaran bersifat dinasti, iaitu Askia atau Askia (yang membawa maksud 'pemerintah' atau 'pemerintah perampas'). Beliau juga merupakan pemerintah yang membentuk pasukan tentera profesional pertama dan bertanggungjawab melaksanakan perluasan wilayah paling signifikan buat Empayar Songhai sekaligus meraihkannya kedudukan sebagai pemerintah Songhai yang kedua terhebat menyusuli Sunni Ali.
Kehilangan kuasa ke atas perdagangan emas di Afrika Barat di tangan Portugis berkemungkinan menjadi salah satu faktor yang mendorong Raja Mohammad untuk meluaskan pengaruh Empayar Songhai ke selatan. Menurut catatan sejarahwan Leo Africanus (mati sekitar 1554), tiga buah kota utama Hausaland yang terletak di antara Sungai Niger dan Tasik Chad diserang; iaitu kota Gobir, Katsina dan Zaria. Kota keempat yang terbesar di wilayah itu, iaitu Kano, dituntut membayar ufti kepada raja Songhai.
Ibu kota Songhai, iaitu Gao pada waktu itu mempunyai penduduk seramai 100 000 orang dan wilayah kekuasaan Empayar Songhai terbentang dari Sungai Senegal di barat hingga ke bahagian tengah Mali moden di timur. Selain itu, wilayahnya turut merangkumi lombong-lombong garam berharga di Tagahaza di sempadan utara. Empayar Songhai menguasai hampir seluruh Sungai Niger yang menjadi laluan utama perdagangan Afrika Barat, hinggakan masyarakat Songhai pada waktu itu menjadi kumpulan minoriti kecil yang sebuah empayar yang menyaksikan kehadiran masyarakat majmuk seperti suku Mande, Fulbe, Mossi dan Tuareg.
Islam & Animisme
Agama Islam yang telah lama bertapak di empayar-empayar lain di wilayah Sudan, seperti Ghana dan Mali, mengalami keadaan yang sebaliknya di Empayar Songhai, setidak-tidaknya pada masa-masa awalnya. Raja Sunni Ali merupakan seorang anti-Muslim yang tegas. Namun, Raja Mohammad I (sebagaimana yang dapat dilihat menerusi namanya) merupakan seorang penganut baru agama Islam dan beliau bahkan pernah menunaikan haji ke Mekah. Di sana, beliau menerima gelaran terhormat sebagai Khalifah Sudan. Mohammad mengenakan undang-undang Islam ke atas rakyatnya. Beliau turut melantik qadi-qadi (hakim Islam) sebagai ketua hakim di Timbuktu, Djenne dan bandar-bandar lain, di samping mendapatkan khidmat Mohammad al-Maghili dari Afrika Utara sebagai penasihat diraja. Sumbangan-sumbangannya kelak membentuk asas-asas penting dalam gerakan reformasi Islam yang meliputi kawasan itu pada kurun ke-18. Sudah tentu, wujud sebuah kelas elit yang dipenuhi oleh golongan Islamik. Selain pedagang-pedagang yang kaya-raya, terdapat juga kelas ilmuwan agama yang karya-karyanya tidak hanya menyelidiki hal-ehwal agama, akan tetapi turut menyentuh pelbagai subjek lain meliputi sains hingga ke sejarah.
Raja Mohammad bahkan cuba menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi empayar. Namun seperti empayar-empayar lain di Sudan, Islam secara utamanya hanya terhad kepada golongan elit dan urban manakala komuniti-komuniti di pedalaman dan sebahagian besar rakyat jelata kekal dengan kepercayaan animisme mereka. Dalam kepercayaan animisme ini, mereka meyakini bahawa semangat-semangat menguasai objek-objek tertentu, terutama sekali fenomena ajaib, pokok-pokok, gua dan ciri-ciri alam yang menonjol. Dua semangat paling utama dalam kepercayaan animisme tempatan ini ialah Harake dan Dongo, yang masing-masing dikaitkan dengan Sungai Niger dan ribut petir. Keadaan ini tidaklah begitu menghairankan lantaran kepentingan sungai kepada perdagangan dan hujan untuk savannah di Afrika Barat diketahui umum. Semangat-semangat ini dan semangat-semangat lain (terutama milik nenek-moyang) perlu sentiasa ditenteramkan, justeru mereka perlu memberikan sembah korban berupa makanan dan minuman disamping mengadakan persembahan tarian bertopeng dan upacara-upacara tertentu. Walaupun animisme sebegini lebih kepada sebuah sistem kepercayaan berbanding agama rasmi, terdapat juga pendeta dan tierkei atau ahli-ahli sihir yang bertanggungjawab meminimumkan gangguan semangat-semangat jahat dalam urusan penduduk kampung.
Kemunduran
Bermula pada suku terakhir kurun ke-16 Masihi, Empayar Songhai mula mengecil terutama di bahagian barat. Faktor terbesar yang menyumbang kepada keadaan ini adalah pemimpin demi pemimpin yang berkuasa tidak cekap dan perang saudara yang bertujuan berebutkan hak pewarisan takhta mula membarah sejak kemangkatan Raja Mohammad pada tahun 1528 Masihi. Satu contoh pergelutan paling utama melibatkan Mohammad IV (memerintah dari tahun 1586 Masihi) dan saudara-saudaranya di mana empayar secara efektif terbahagi kepada dua. Kemudian, pukulan maut berlangsung secara pantas. Pemimpin Maghribi yang bernama Ahmad al-Mansur al-Dhahabi (mangkat pada tahun 1603 Masihi) atau lebih dikenali sebagai 'Penakluk Emas' menghantar sepasukan kecil tentera yang berjumlah kira-kira 4000 orang dengan dilengkapi senjata musket untuk menyerang Empayar Songhai pada tahun 1590-1591 Masihi. Pasukan tentera Songhai terdiri daripada 30 000 orang infantri dan 10 000 orang kavalri, namun senjata mereka hanya lembing dan busur panah. Sebagai susulan daripada ketidakseimbangan teknologi ini, pasukan Maghribi berupaya memenangi peperangan walaupun sejumlah serangan balas kecil-kecilan berlanjutan sepanjang tahun-tahun berikutnya. Perbendaharaan Songhai lantas dirampas dan empayar tersebut, termasuklah Timbuktu, diserap ke dalam Empayar Maghribi. Empayar Songhai, yang dianggap sebagai empayar terbesar di Afrika Barat, runtuh dari dalam dan kemudian sirna darip lembaran sejarah. Empayar ini adalah empayar hebat terakhir yang mendominasi Afrika Barat sejak kurun ke-6 Masihi.