Kerajaan Kanem

11 hari yang tinggal

Melabur dalam Pendidikan Sejarah

Dengan menyokong badan amal Yayasan Sejarah Dunia kami, anda melabur dalam masa depan pendidikan sejarah. Sumbangan anda membantu kami memperkasakan generasi akan datang dengan pengetahuan dan kemahiran yang mereka perlukan untuk memahami dunia di sekeliling mereka. Bantu kami memulakan tahun baru bersedia untuk menerbitkan maklumat sejarah yang lebih dipercayai, percuma untuk semua orang.
$2822 / $10000

Inti Sari

Mark Cartwright
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 23 April 2019
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris, Perancis
Dengarkan artikel ini
X
Cetak Artikel
Mao Oasis, Chad (by Notrchad, CC BY-SA)
Mao Oasis, Chad
Notrchad (CC BY-SA)

Kerajaan Kanem (atau Kanim) merupakan sebuah kerajaan Afrika purba yang terletak di Chad moden, yang mengalami kepesatan pada kurun ke-9 hingga kurun ke-14 Masihi. Dengan wilayah pusatnya terletak di tengah-tengah benua Afrika di sebelah timur Tasik Chad, kerajaan ini dibentuk oleh sebuah konfederasi masyarakat nomad dan kemudiannya diperintah oleh dinasti Saifawa. Kota ini mengalami kemajuan berkat kedudukannya sebagai hub rangkaian perdagangan dengan penduduk Afrika Tengah, Lembah Nil dan negara-negara Afrika Utara di Gurun Sahara. Kerajaan ini mengamalkan ajaran Islam setelah lama berinteraksi dengan ulama'-ulama' dan para pedagang Muslim sejak kurun ke-11 Masihi. Pada 1390an, raja Kanem terpaksa melarikan diri dari serangan kaum Bulala dan kemudian menubuhkan sebuah kerajaan baru, juga di sekitar Tasik Chad. Kerajaan ini kelak dikenali sebagai Empayar Bornu, atau kadangkala disebut sebagai Empayar Kanem-Bornu. Kekuasaannya berpanjangan sehingga kurun ke-19 Masihi.

Asal-Usul & Pembentukan

Kerajaan Kanem yang terletak betul-betul di sebelah timur Tasik Chad, Afrika Tengah ini mungkin mengambil namanya daripada bahasa Teda dan Kanrui yang bermaksud 'selatan' (anem), merujuk kepada kedudukannya jika dikaitkan dengan negara-negara yang lebih masyhur di utara. Terdapat juga kemungkinan bahawa nama ini mencerminkan hakikat di sebalik tradisi lisan yang mengatakan bahawa kaum Kanem pernah berpindah dari Gurun Sahara setelah wilayah tersebut mengalami kadar kekontangan yang semakin meningkat. Proses pembentukan kerajaan Kanem di wilayah ini diringkaskan oleh sejarahwan P. Curtin:

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Kanem melalui sebuah proses pembangunan-negara yang agak berbeza daripada proses yang dialami di Sudan barat. Nukleusnya (terasnya) adalah sebuah konfederasi masyarakat yang menuturkan pelbagai bahasa berbeza dari kumpulan bahasa Teda-Daza dan mungkin terbentuk pada kurun ke-9. Konfederasi nomad sebegini cukup lazim berlaku dalam sejarah; apa yang tidak lazim adalah konfederasi yang satu ini kekal teguh bersama. Suatu masa sebelum memasuki awal kurun ke-12, konfederasi ini menjadi sebuah masyarakat tetap, dengan Nijmi sebagai ibu kotanya yang kekal. (75)

Sebutan pertama berkenaan Kanem boleh dijejak pada teks-teks seawal tahun 872 Masihi dan karya seorang sejarahwan merangkap ahli geografi Arab, iaitu al-Yaqubi (dalam Kitab al-Buldan). Bahkan seandainya negara ini telah pun terbentuk sekurun lebih awal, maka ia mengesahkan proses politik yang dibicarakan di atas lantaran kita dimaklumkan bahawa populasinya pada masa itu kebanyakannya masih terdiri dari kaum nomad yang hidup di pondok-pondok dan belum membentuk petempatan kekal. Kita juga diberitahu bahawa raja-raja Kanem (di dalam sumber ini dan sumber-sumber Arab yang disebut sebagai Zaghawa) juga berkuasa ke atas raja-raja lain, iaitu suku-suku di wilayah utara dan timur Tasik Chad yang mereka takluki. Sejarahwan Arab, al-Muhallabi yang mengarang pada kurun ke-10 Masihi, mencatatkan bahawa kerajaan ini mempunyai dua buah bandar dan kekayaannya dapat dibuktikan menerusi jumlah ternakan lembu, kambing, unta dan kuda yang banyak.

Map of Ancient & Medieval Sub-Saharan African States
Peta Negara-Negara Afrika Sub-Sahara Kuno & Abad Pertengahan
Mark Cartwright (CC BY-NC-SA)

Raja-Raja Kanem

Bermula sekitar tahun 1075 Masihi, Kanem diperintah oleh dinasti Saifawa (atau Sefawa) di atas populasi yang kemudiannya didominasi oleh masyarakat Kanuri. Raja menyandang gelaran Mai. Salah seorang raja teragung mereka ialah Mai Dunama Dibbalemi (memerintah sekitar 1221-1259 Masihi). Beliau bertanggungjawab memperluaskan wilayah kerajaan jauh ke utara dan timur laut, memasuki wilayah gurun, dengan memanfaatkan pasukan kavalri. Komander-komander tentera diberikan ganjaran di atas khidmat mereka menerusi kaedah pengurniaan hak pentadbiran ke atas wilayah-wilayah yang ditakluki. dan perkahwinan dengan kerabat diraja merupakan suatu strategi lazim bagi membentuk dan mengukuhkan lingkungan pembesar baru ke dalam kerajaan Kanem. Suku-suku yang ditakluki dituntut agar membayar ufti kepada raja-raja Kanem, lazimnya dalam bentuk pemberian hamba-sahaya.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan
Menjelang penghujung kurun ke-13 Masihi, kerajaan ini berada di kemuncak kegemilangannya & bahkan menguasai oasis-oasis penting Sahara di wilayah Fezzan.

Menjelang penghujung kurun ke-13 Masihi, kerajaan ini berada di kemuncak kegemilangannya dan bahkan menguasai oasis-oasis penting Sahara di wilayah Fezzan. Namun, kesemuanya ini tidak tanpa terlebih dahulu memakan masa selama lebih setengah kurun. Dibbalemi juga merupakan salah seorang penentang agama pagan lama yang paling keras. Raja Muslim ini malah memerintahkan agar sebarang objek atau simbol yang berkaitan dengannya dihancurkan, selain mengenakan perundangan yang berciri Islami. Walau bagaimanapun, sistem autoriti raja-raja Kanem bersifat mutlak dan tidak sepenuhnya selari dengan ajaran Islam yang sebenar, sebagaimana yang direkodkan oleh penulis Arab, Yaqut dalam karya kurun ke-13 beliau yang berjudul 'Kamus Negara-Negara' (Kitab Mu'jam al-Buldan):

Mereka mengagungkan raja mereka dan menyembahnya berbanding menyembah Tuhan. Mereka membayangkan bahawa raja mereka tidak berhajat kepada sebarang makanan. (Sebenarnya) terdapat individu-individu yang bertugas dalam hal-ehwal pemakanan ini secara rahsia, dan membawanya ke rumah beliau. Tiada siapa tahu daripada mana makanan ini dibawa. Jika berlaku keadaan di mana salah seorang rakyatnya terserempak dengan unta-unta yang membawa bekalan, beliau akan dibunuh serta-merta. Raja lazim menikmati minumannya bersama teman-teman yang terpilih… Agama yang mereka anuti adalah agama penyembahan raja-raja mereka, kerana mereka percaya bahawa raja-raja ini berupaya menghidup dan mematikan, menimpakan sakit dan mengurniakan sihat. (dipetik daripada Fage, 681)

Pengamalan Islam

Tidak diketahui secara jelas pada waktu bilakah kerajaan ini mula mengamalkan Islam dan bagaimana pula penerimaannya. Apa yang diketahui adalah hanya pada kurun ke-13 Masihi barulah ia diamalkan secara meluas oleh masyarakat umum, lantaran sumber-sumber Arab yang membuat liputan tentang sejarah negara tersebut pada tarikh yang lebih awal menyebut secara spesifik bahawa kerajaan Kanem masih mengamalkan kepercayaan pagan. Namun, pemerintah Kanem yang pertama direkodkan sebagai seorang Muslim datang dari tarikh yang jauh lebih awal, iaitu raja Hu (atau Hawwa, memerintah 1067-1071 Masihi). Apapun, beliau mungkin sebenarnya adalah seorang ratu. Semenjak itu, ramai pemerintah Kanem mula menunaikan haji ke Mekah dengan melalui tempat-tempat keramat di Afrika Utara dan Tanah Arab. Selain itu, terdapat seorang raja yang bertanggungjawab menubuhkan institusi pendidikan Muslim (madrasa) di Fustat, Mesir pada tahun 1324 Masihi.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Trans-Saharan Camel Caravan
Karavan Unta Trans-Sahara
Holger Reineccius (CC BY-SA)

Penjelasan yang paling munasabah bagi menerangkan penerimaan Islam dalam kalangan raja-raja ini adalah sebagaimana di negara-negara Sub-Sahara yang lain, penerimaan ini memberikan kelebihan buat para raja lantaran ia berupaya menggamit kehadiran para pedagang Muslim. Hal ini sekaligus meningkatkan lagi kekayaan kelas pemerintah yang dengan demikian, mereka dapat memperagakan kemewahan atau prestij mereka kepada rakyat dan kemuncaknya, mengekalkan kuasa ke atas mereka. Malahan, dinasti baru juga berupaya untuk meneguhkan keabsahannya ke atas takhta menerusi penerimaan terhadap agama baru. Tarikh penerimaan Islam dalam kalangan para pemerintah dan perubahan dinasti kepada dinasti Saifawa sedikit-sebanyak mempunyai kesepadanan. Tentunya, terdapat ulama'-ulama' Muslim yang mengembara sebagai pendakwah – mengunjungi Kanem buat kali pertama seawal kurun ke-11 Masihi – dan makanya, faktor perdagangan tidaklah sepenuhnya mewakili sebab-musabab penyebaran agama ini. Tambahan, pendakwah-pendakwah ini menerima sambutan yang baik, setidak-tidaknya menurut sumber Arab, dan mereka sering diberikan hadiah kerana mengajarkan al-Qur'an kepada penduduk tempatan. Antara hadiah ini termasuklah unta, hamba sahaya, syiling emas dan perak. Kanem dianggap unik kerana sejumlah besar penduduk awamnya mengamalkan agama ini bersama golongan elit, di mana hal ini bukan sesuatu yang lazim di tempat-tempat lain.

Sebuah Hub Perdagangan

Bermula sekitar tahun 900 Masihi, kerajaan ini menjadi titik terhujung laluan kafilah unta yang merentasi Gurun Sahara – kafilah yang mengangkut barang dagangan antara Tripolitania (Libya moden) dan Kaherah di Afrika Utara, seterusnya menurun ke Afrika Tengah. Laluan tran-Sahara ini merupakan antara laluan perdagangan yang terbaik lantaran ia mempunyai oasis-oasis yang agak banyak di sepanjang wilayah Fezzan. Terdapat juga laluan ke timur dan lembah Nil yang melalui jalan garam Kawar. Garam, tembaga (juga digunakan sebagai matawang), tin (dari Nigeria), kapas, kulit haiwan, kacang kola, gading, bulu burung unta, unta, dan emas diangkut melalui wilayah kerajaan ini. Begitu juga dengan hamba-sahaya yang secara aktif diambil oleh raja-raja Kanem daripada wilayah-wilayah jiran, atau setidaknya, ia diambil sebagai ufti seperti yang disebutkan di atas. Golongan bangsawan Kanem kebiasaannya membelanjakan harta kekayaan mereka dalam barangan import seperti kain bersulam, sutera, barang kemas, dan senjata besi. Tidak hanya barang dagangan, idea-idea turut dipindahkan melalui jalan-jalan perdagangan ini. Antara yang paling penting seperti yang dapat kita lihat, adalah agama Islam.

Empayar Bornu

Empayar Bornu ditubuhkan oleh seorang raja Kanem yang terusir, iaitu Uma bin Idris. Beliau terpaksa membawa diri keluar daripada kerajaan asalnya berikutan rampasan kuasa yang berlaku antara tahun 1390 dan 1400 Masihi oleh Bulala, sebuah kumpulan misteri yang berkemungkinan merupakan sebuah suku tunggal atau sekumpulan suku penternak. Salah satu faktor penyumbang yang membawa kepada kekalahan di tangan Bulala ini adalah perang saudara yang melanda Kanem, lantaran saiz keluarga diraja semakin membesar dan masing-masing berebutkan hak memerintah.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Susulan daripada keadaan ini, dinasti pemerintah Kanem kemudiannya menjadi raja-raja Bornu walaupun bagaimana mereka berupaya mendapatkan sokongan daripada masyarakat asli So yang menghuni pantai barat Tasik Chad masih belum diketahui dengan jelas. Masyarakat So seterusnya berasimilasi dengan bahasa dan budaya Kanuri, dan hal ini pastinya tidak akan berlaku kalau bukan kerana kelebihan-kelebihan yang mereka miliki pada pandangan raja-raja Kanem, lantaran wilayah barat Tasik Chad jauh lebih kaya dalam soal sumber (simpanan) besi. Empayar Bornu, atau kadangkala disebut sebagai Empayar Kanem-Bornu atau Empayar Borno, beribukotakan Gazargamo dan ia mengalami perkembangan sehingga menguasai kedua-dua belah sisi Tasik Chad sejak kurun ke-16 Masihi dan secara bertahap mengambil-alih kekuasaan ke atas wilayah lama Kanem. Kekuasaan empayar ini berkekalan sehingga penghujung kurun ke-19 Masihi, iaitu kurun di mana ia diambil-alih oleh Perancis yang dengan penuh bercita-cita mahu menubuhkan koloni di seluruh Afrika.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Darihal Penulis

Mark Cartwright
Mark merupakan seorang penulis sejarah yang berpangkalan di Itali. Minat-minat khususnya merangkumi seni penghasilan tembikar, seni bina bangunan, mitologi dunia, dan merungkai faham-faham yang dikongsi oleh kesemua tamadun. Beliau mempunyai kelulusan peringkat MA dalam bidang Falsafah Politik dan bertugas sebagai Pengarah Penerbitan di WHE.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Cartwright, M. (2019, April 23). Kerajaan Kanem [Kingdom of Kanem]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-18122/kerajaan-kanem/

Gaya Chicago

Cartwright, Mark. "Kerajaan Kanem." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai April 23, 2019. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-18122/kerajaan-kanem/.

Gaya MLA

Cartwright, Mark. "Kerajaan Kanem." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 23 Apr 2019. Web. 20 Dec 2024.