Tanah Hausa

10 hari yang tinggal

Melabur dalam Pendidikan Sejarah

Dengan menyokong badan amal Yayasan Sejarah Dunia kami, anda melabur dalam masa depan pendidikan sejarah. Sumbangan anda membantu kami memperkasakan generasi akan datang dengan pengetahuan dan kemahiran yang mereka perlukan untuk memahami dunia di sekeliling mereka. Bantu kami memulakan tahun baru bersedia untuk menerbitkan maklumat sejarah yang lebih dipercayai, percuma untuk semua orang.
$3081 / $10000

Inti Sari

Mark Cartwright
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 09 May 2019
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris, Perancis, Portugis
Dengarkan artikel ini
X
Cetak Artikel
Gobarau Minaret, Katsina (by Derric Evans, Public Domain)
Minaret Gobarau, Katsina
Derric Evans (Public Domain)

Tanah Hausa (Hausaland), atau kadangkala disebut sebagai Kerajaan Hausa, merupakan sekumpulan negara-kota kecil yang merdeka di Afrika Tengah, tepatnya di antara Sungai Niger dan Tasik Chad. Kerajaan ini mengalami kepesatan pada kurun ke-15 hingga kurun ke-18 Masihi. Asal-usul Hausa tidak diketahui, namun sebuah hipotesis mengandaikan bahawa mereka mungkin merupakan sekumpulan masyarakat asli yang disatukan oleh bahasa yang sama – iaitu Hausa – manakala teori lain pula menjelaskan bahawa keberadaan mereka di rantau itu adalah susulan daripada perpindahan mereka dari wilayah selatan Gurun Sahara. Kota-kota ini berupaya meraih kepesatan berkat perdagangan di peringkat tempatan mahupun serantau, dengan barang dagangannya merangkumi garam, logam berharga, barangan kulit, dan hamba sahaya. Pada kurun ke-14 dan kurun ke-15 Masihi, agama Islam diamalkan oleh ramai pemerintah dan golongan elit negara-negara kota ini. Namun, ia juga menjadi salah satu sebab terlucutnya kemerdekaan mereka apabila pemimpin Fulani-Muslim, iaitu Usman dan Fodio (memerintah 1803-1815 Masihi) melancarkan jihad dan menakluki wilayah itu pada awal kurun ke-19 Masihi.

Geografi & Asal-Usul

Nama Tanah Hausa diambil daripada sebuah perkataan bahasa Hausa, iaitu Kasar hausa yang membawa maksud 'negara bahasa Hausa'. Walau bagaimanapun, populasi kawasan ini juga merangkumi suku-suku lain seperti suku Tuareg, Fulbe dan Zabarma. Istilah 'Hausa' hanya digunakan semenjak kurun ke-16 Masihi, memandangkan masyarakat tersebut memanggil diri mereka sendiri sebagai warga yang bersesuaian dengan negara-kota atau kerajaan tempat mereka berasal.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Tanah Hausa terletak di wilayah Sahel, tepatnya di antara Sungai Niger dan Tasik Chad di bahagian utara Afrika Tengah, atau Nigeria utara moden. Sahel merupakan daratan separa-gersang yang terbentang di Afrika, meliputi kawasan antara Gurun Sahara di utara dan tanah subur Savannah di selatan. Secara spesifik, Tanah Hausa terbentang dari pergunungan Air (utara) hingga ke dataran Jos (selatan) dan dari Borno (timur) hingga ke Lembah Niger (barat). Rantau ini menyaksikan bandar-bandarnya dibangunkan di tangan penutur bahasa Hausa semenjak tahun 1000 hingga tahun 1300 Masihi.

Tanah Hausa masyhur (bahkan sehingga kini) dengan barangan kulitnya yang amat berkualiti, seperti kendi air, pelana, abah-abah & karung.

Asal-usul bandar-bandar Hausa belum diketahui secara tepat. Namun, teori-teori yang dikemukakan antaranya menjelaskan bahawa segalanya bermula daripada perpindahan sejumlah masyarakat dari Sahara selatan. Tanah asal mereka ini ditinggalkan lantaran peningkatan kadar kekontangan di kawasan tersebut. Mereka kemudiannya menubuhkan sejumlah petempatan baru yang kelak membentuk Tanah Hausa. Teori lain pula menjelaskan bahawa masyarakat Hausa pada asalnya menetap di pantai barat Tasik Chad dan apabila tasik itu mengalami penyusutan paras air (sebagai susulan daripada perubahan iklim sama yang mengesankan Sahara), mereka pun berpindah ke daratan baru lagi subur dan seterusnya tersebar ke utara dan barat. Malangnya, masih belum ada bukti arkeologi yang dapat menyokong mana-mana teori ini. Lantaran itu, muncul hipotesis ketiga, iaitu suku Hausa tidak pernah melakukan sebarang perpindahan dan hakikatnya mereka merupakan masyarakat asli di kawasan tersebut. Bukti yang dikemukakan bagi mendokong teori ini adalah ketiadaan sebarang tradisi perpindahan di dalam sejarah lisan suku Hausa.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Map of Ancient & Medieval Sub-Saharan African States
Peta Negara-Negara Afrika Sub-Sahara Kuno & Abad Pertengahan
Mark Cartwright (CC BY-NC-SA)

Walau bagaimanapun, terdapat sebuah legenda penubuhan bangsa mereka yang dikenali sebagai legenda Bayajida atau Daura. Pun begitu, legenda ini berkemungkinan berasal dari kurun ke-16 Masihi dan ianya mencerminkan peningkatan pengaruh agama Islam di rantau tersebut pada waktu itu. Menurut tradisi ini, Bayajida, si putera dari Baghdad tiba di istana pemerintah Kerajaan Kanem (atau Empayar Bornu yang terbentuk menjelang kurun ke-16 Maishi). Lantaran sambutan yang diterima tidak begitu menyenangkan, Bayajida pun menuju ke timur sehingga tiba di kota Daura. Di sana, ratu dan kerajaannya sedang dilanda ketakutan terhadap seekor ular besar. Bayajida tampil membunuh ular tersebut dan kemudiannya mengahwini si ratu. Mereka seterusnya dikurniakan seorang putera yang bernama Bawogari. Bawogari ini kemudiannya mempunyai enam orang putera, setiap seorang daripadanya menjadi raja bagi sebuah negara-kota Hausa. Sementara itu, Bayajida juga mempunyai putera lain bersama salah seorang gundiknya. Putera bukan gahara yang bernama Karbogari ini mempunyai tujuh orang putera dan mereka memerintah tujuh buah kota Hausa yang lain. Kisah ini dengan kemas menjelaskan mengapa begitu banyak kota ditubuhkan. Namun, ia sama sekali tidak menerangkan di manakah lokasi Daura dan daripada manakah asal-usul ratunya.

Kota-Kota Penting & Pentadbiran

Walau daripada mana sekalipun mereka berasal, menjelang awal kurun ke-15 Masihi banyak wilayah kecil Hausa bergabung untuk menubuhkan beberapa buah kota bertembok yang menguasai kawasan pinggiran masing-masing. Secara tradisi, terdapat tujuh buah negara-kota (hausa bakwai). Namun pada hakikatnya, jumlah tersebut jauh lebih banyak daripada itu. Antara negara-kota yang paling penting ialah (tujuh buah kota menurut tradisi ditandakan dengan tanda bintang):

Sisihkan Iklan
Pengiklanan
  • Biram *
  • Daura (bandar utama bagi kesemua bandar ini) *
  • Garun Gobas
  • Gobir *
  • Gwari
  • Jukun (atau Kwararafa)
  • Kano *
  • Kebbi
  • Katsina *
  • Nupe
  • Rano *
  • Yawuri
  • Yoruba
  • Zamfara
  • Zaria (atau Zazzau) *

Setiap kota mempunyai raja atau pemerintahnya yang tersendiri, atau disebut sebagai sarkin kasa, yang dibantu oleh ketua penasihat atau wazir yang memegang gelaran galadina serta sekumpulan kecil menteri – kebiasaannya terdiri daripada sembilan orang ahli yang turut berperanan menentukan calon pemerintah seterusnya. Pelbagai menteri turut dilantik oleh raja, misalnya, untuk mengutip cukai dan menjalankan adat-istiadat, memimpin unit kavalri atau infantri, menjamin keselamatan di jalan raya, dan memantau hasil tuaian tertentu. Setiap kota lazimnya turut menguasai sejumlah wilayah kecil atau kampung-kampung di sekitarnya, di mana setiap satunya ditadbir oleh seorang pembesar atau sakin gari. Peringkat ketiga bagi piramid politik ini terdiri daripada klan keluarga atau gida, yang kebanyakannya membentuk sebuah kampung.

Kota-kota Hausa mahir dalam penghasilan atau perdagangan beberapa barangan tertentu, seperti pewarna – nila (indigo) terutamanya – di Katsina & Daura.

Penduduk luar bandar di Hausa merupakan golongan petani yang mengusahakan tanah yang dimiliki oleh komuniti secara keseluruhan. Seiring peredaran masa, apabila negara-negara kota ini menjadi semakin berpusat, sistem pemilikan tanah ini dikorupkan oleh raja-raja yang menyerahkan sebahagian tanah tersebut kepada individu-individu tertentu sebagai hadiah. Sektor pertanian Hausa juga kemudiannya sangat bergantung harap pada tenaga kerja hamba-sahaya. Sementara itu, walaupun masyarakat di dalam kota utama setiap kerajaan didominasi oleh suku Hausa, ianya berciri kosmopolitan. Di dalamnya terdapat kelas hamba-sahaya, penghasil, pedagang, menteri agama, ilmuwan, sida-sida, bangsawan (masu sarauta) yang mempunyai kaitan atau disenangi oleh raja.

Perdagangan

Negara-negara Hausa memperdagangkan emas, gading, garam, besi, timah, senjata, kuda, kapas berwarna, pakaian, kacang kola, barangan kaca, barangan logam, bulu burung unta, dan kulit binatang. Hubungan perdagangan ini juga turut dijalinkan dengan wilayah pantai Afrika Barat, Oyo di Teluk Benin, dan Empayar Songhai (sekitar 1460-1591 Masihi) di timur. Hamba-sahaya merupakan sumber pendapatan yang penting bagi kesemua kota. Namun secara khusus, kota Zaria lebih terkenal dengan pemerolehan sumber hamba-sahaya melalui kaedah serangan yang dilancarkan ke wilayah selatan.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Metal Armlet, Hausaland
Metal Armlet, Hausaland
The British Museum (Copyright)

Kota-kota Hausa mahir dalam penghasilan atau perdagangan beberapa barangan tertentu, seperti pewarna – nila (indigo) terutamanya – di Katsina dan Daura, atau perhiasan perak di Kebbi dan Zamfara. Tanah Hausa masyhur (bahkan sehingga kini) dengan barangan kulitnya yang amat berkualiti, seperti kendi air, pelana, abah-abah dan karung untuk mengangkut barang dagangan. Pelbagai hasil pertukangan turut disusun-selaras ke dalam pertubuhan-pertubuhan yang ada bagi memastikan piawaiannya dikekalkan dan harganya diselaraskan. Sektor pertanian Hausa pula, dengan dirangsang oleh teknik-teknik seperti kitaran penanaman atau penggunaan baja, berupaya mengeluarkan hasil tuaian seperti sekoi, sorgum, beras, jagung, kacang, bijirin, inai, tembakau dan bawang. Selain itu, sektor perikanan dan perburuan terus dijalankan dan kambing-kambing dibesarkan (penting untuk tujuan korban) manakala keldai-keldai pula dibiakkan (sebagai bentuk pengangkutan utama). Setiap kota mempunyai pasar-pasar yang tersendiri, di mana kaum lelaki mahupun wanita menjual barang dagangan mereka. Kebanyakan kota turut mempunyai pasar peringkat antarabangsa, di mana para pedagangnya berjual-beli secara pukal. Barang dagangan lazim ditukar-ganti dengan barangan yang setimpal. Namun, garam, pakaian dan hamba-sahaya sering digunakan sebagai matawang piawai.

Seni Bina

Rumah-rumah tradisional Hausa diperbuat daripada batu-bata lumpur kering yang berbentuk pir. Ia dibina secara berbaris dengan menggunakan simen dan bahagian hujung muncungnya menghadap ke atas. Dinding-dindingnya kemudian ditampal dengan lepa dan dicat atau didekorasi (diukir). Rumah-rumah ini kemudian dihias lanjut dengan patung-patung tambahan yang juga dihasilkan dengan menggunakan lumpur. Hal ini sekaligus menghasilkan rekaan geometrik tiga dimensi seperti corak bersilang atau corak berpusar. Ciri bumbung yang selamat dapat dipenuhi menerusi kekubah lumpur yang diperkuat dengan sebuah bingkai daripada pelepah palma. Ini merupakan ciri seni bina khusus di Tanah Hausa. Setiap rumah ditutupi dalam lingkungan dindingnya yang tinggi dan bangunan-bangunan tambahan kebiasaannya didirikan di dalamnya. Kota-kota utama dilindungi oleh tembok-tembok besar – sekaligus menjadi isyarat lazimnya peperangan bercorak pengepungan yang berlangsung di Tanah Hausa sepanjang sejarahnya.

Memeluk Agama Islam

Tidak seperti kebanyakan Afrika Sub-Sahara, kawasan yang dikuasai oleh Tanah Hausa kebanyakannya tidak didatangi agama Islam melainkan pada kurun ke-14 Masihi. Namun pada akhirnya, suatu bentuk ajaran Islam diamalkan dan diadaptasi jua berikutan interaksi yang berlaku dengan para pedagang, pendakwah, dan ilmuwan Islam yang datang dari timur, khususnya kawasan lengkungan Sungai Niger. Agama Islam secara tipikal bercampur-aduk dengan ritual-ritual animisme tempatan dan sekaligus membentuk sifatnya yang tersendiri di rantau ini. Lantaran ketiadaan sebarang kepentingan berbentuk suntikan komersial yang mencenderungkannya untuk bermesra dengan para pedagang asing seperti golongan pemerintah dan bangsawan Hausa, populasi luar bandar ini, sama seperti populasi luar bandar di kawasan Afrika lain, ternyata sukar untuk ditukarkan agama walau ditangani dengan (atau bahkan disebabkan oleh) kaedah kekerasan seperti penghancuran rumah-rumah suci dan ladang-ladang keramat purba. Walaupun ditentang oleh beberapa orang pembesar dan kebanyakan penduduk luar bandar, agama Islam akhirnya bertapak di rantau ini dengan teguh. Masjid-masjid dibina di kota dan salah sebuah runtuhan tertua yang masih terselamat sehingga kini adalah menara Gobarau yang merupakan sebahagian daripada masjid di Katsina, yang diyakini berusia seawal kurun ke-15 Masihi.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Perseteruan Serantau & Kemunduran

Hubungan dengan Empayar Songhai di wilayah jiran tidak sentiasa berlangsung mesra, terutama ketika – setidak-tidaknya menurut sejarahan Leo Africanus (sekitar 1494-1554 Maishi) – raja Songhai, iaitu Askia Muhammad (memerintah 1494-1528 Masihi) berupaya menundukkan kota Katsina, Kano dan Gobir sekaligus menjadikannya sebagai negara bawahan yang dituntut agar membayar ufti kepadanya. Terdapat juga kemungkinan bahawa serangan ini dilancarkan oleh negara-negara kecil lain lantaran rekod-rekod daripada Songhai dan Timbuktu pada waktu itu sama sekali tidak memerihalkan perkara ini. Sementara itu, negara-negara Hausa diketahui kerap melakukan serangan ke selatan, khususnya di Lembah Benue bagi memerangi pelbagai suku seperti Bauchi, Gongola, Jukun dan Yawuri.

Fulani, iaitu suku penternak dari Senegal yang berpindah ke Tasik Chad pada pertengahan kurun ke-16 Masihi kemudiannya menetap di Tanah Hausa dan membawa bersama sebuah lagi lonjakan minat terhadap agama dan ajaran Islam. Pada suku terakhir kurun ke-18 Masihi, suku Fulani melancarkan jihad di rantau tersebut. Dalam peperangan yang berlangsung ini, suku Fulani dibantu oleh perseteruan lama yang wujud dalam kalangan kota-kota Hausa, pertelagahan dalaman antara golongan bangsawan dalam beberapa buah negara-kota, dan keadaan penduduk yang tidak berpuas hati lantaran menjadi semakin miskin sementara golongan bangsawan-pedagang Hausa pula menjadi semakin kaya. Justeru bermula dari tahun 1804 Maishi, pemimpin Fulani yang bernama Usman dan Fodio menakluki seluruh negara-kota Hausa dan menukarkan agama mereka kepada Islam. Usman dan Fodio, yang beliau sendiri berasal dari negara-kota Gobir dari Hausa, kemudiannya meneruskan perjuangan dengan meluaskan empayarnya dan membangunkan ibu kota di Sokoto pada tahun 1817 Masihi, di mana ianya menjadi nama kepada empayar yang ditubuhkannya itu.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Darihal Penulis

Mark Cartwright
Mark merupakan seorang penulis sejarah yang berpangkalan di Itali. Minat-minat khususnya merangkumi seni penghasilan tembikar, seni bina bangunan, mitologi dunia, dan merungkai faham-faham yang dikongsi oleh kesemua tamadun. Beliau mempunyai kelulusan peringkat MA dalam bidang Falsafah Politik dan bertugas sebagai Pengarah Penerbitan di WHE.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Cartwright, M. (2019, May 09). Tanah Hausa [Hausaland]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-18189/tanah-hausa/

Gaya Chicago

Cartwright, Mark. "Tanah Hausa." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai May 09, 2019. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-18189/tanah-hausa/.

Gaya MLA

Cartwright, Mark. "Tanah Hausa." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 09 May 2019. Web. 21 Dec 2024.