Khosrau I

11 hari yang tinggal

Melabur dalam Pendidikan Sejarah

Dengan menyokong badan amal Yayasan Sejarah Dunia kami, anda melabur dalam masa depan pendidikan sejarah. Sumbangan anda membantu kami memperkasakan generasi akan datang dengan pengetahuan dan kemahiran yang mereka perlukan untuk memahami dunia di sekeliling mereka. Bantu kami memulakan tahun baru bersedia untuk menerbitkan maklumat sejarah yang lebih dipercayai, percuma untuk semua orang.
$3029 / $10000

Inti Sari

Joshua J. Mark
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 27 February 2020
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris
Dengarkan artikel ini
X
Cetak Artikel
Kosrau I (by Classical Numismatic Group, CC BY-SA)
Kosrau I
Classical Numismatic Group (CC BY-SA)

Khosrau I (memerintah 531-579 Masihi) merupakan raja teragung Empayar Sassanid (224-651 Masihi) dalam hampir kesemua aspek pemerintahannya. Beliau bertanggungjawab melakukan pembaharuan dalam sistem ketenteraan dan pentadbiran Parsi, memperluaskan wilayah-wilayah kekuasaannya, melaksanakan sejumlah projek pembinaan berskala besar, dan menaungi pengembangan kesenian, keilmuan dan keagamaan. Beliau turut dikenali sebagai Khosrow I, Kosrow I, Khosrau I, dan juga dengan nama timangannya, iaitu Anushirvan (“Jiwa Yang Abadi”).

Beliau merupakan putera kepada Raja Kavad I (memerintah 488-496, 498-531 Masihi), di mana pemerintahan ayahandanya membekalkan Khosrau I dengan pasukan tentera yang ampuh, golongan bangsawan yang sudah terkawal pengaruhnya, dan masyarakat yang stabil. Khosrau I membangunkan lagi asas-asas ini, meluaskan wilayah kekuasaan Empayar Parsi, dan menggalakkan renaisans (pembaharuan) dalam bidang pendidikan dan pengaplikasian ilmu secara praktikal, di mana hal ini kelak mempengaruhi budaya Muslim-Arab dan Eropah.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Beliau bertanggungjawab melancarkan kempen memerangi Rom, baik di Kaukasus mahupun di bahagian utara Semenanjung Arab, serta meluaskan empayarnya dan menggalakkan hubungan rentas-budaya. Hal yang sama turut dilakukan ke atas penguasaannya di bahagian-bahagian penting di Jalan Sutera. Perjanjian-perjanjian yang dimeterai oleh beliau dengan pemimpin-pemimpin lain berkenaan hubungan perdagangan, serta rangkaian jalan raya yang beliau bina atau perbaiki di seluruh empayarnya, membolehkan urusan sesama pedagang berjalan pantas dan lancar sekaligus memberikan kemanfaatan kepada setiap pihak yang terlibat.

Menjelang kemangkatannya, Khosrau I berjaya membawa Empayar Sassanid ke zaman kegemilangannya.

Khosrau I turut dikenali dalam kalangan masyarakat Yunani sebagaimana timangan Plato, iaitu Raja Falsafah, lantaran beliau sangat meminati bidang falsafah. Beliau bahkan menjemput ilmuwan dan ahli falsafah dari India, Greece, Rom dan wilayah-wilayah lain ke istananya untuk membincangkan tentang ilmu tersebut. Ketikamana Justinian I (memerintah 527-565 Masihi) menutup kuil-kuil dan universiti-universiti pagan di Empayar Byzantine. Khosrau I membawa masuk warga pendidik dan pendeta dari institusi tersebut ke empayarnya dan melayani mereka di ibu kotanya, Ctesiphon (Mada'in). Beliau turut mengembangkan lagi usaha para pendahulunya dalam memasukkan Avesta (ajaran-ajaran Zoroastrian) ke dalam bentuk penulisan dan memajukan lagi pusat-pusat pendidikan dan kebudayaan di seluruh empayarnya. Menjelang kemangkatannya, Khosrau I berjaya membawa Empayar Sassanid ke zaman kegemilangannya.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Kavad I & Pemahkotaan Khosrau I

Sebelum bermulanya era pemerintahan Khosrau I, dua orang raja paling agung dalam sejarah Sassanid ialah Shapur I (memerintah 240-270 Masihi) dan Shapur II (memerintah 309-379 Masihi). Sepanjang tempoh antara dua raja ini, kebanyakan raja-raja Sassanid tidak cekap dan corak sebegini turut berlaku dalam tempoh pemerintahan antara Shapur II dan Kavad I.

Ketika Kavad I memegang kuasa, beliau dengan pantas berjaya meletakkan dirinya sebagai pemerintah agung di rantau tersebut, terutama dengan menundukkan Khazar yang melakukan pencerobohan ke atas empayarnya dari arah Kaukasus. Mereka ini kemudiannya ditewaskan secara muktamad menjelang tahun 490 Masihi. Lantaran menyedari bahawa golongan elit dan magi (kelas pendeta) Sassanid memiliki pengaruh yang sangat besar dalam politik, Kavad I mengambil pendirian yang memihak pergerakan keagamaan Mazdakisme yang menerima sokongan meluas dalam kalangan kasta-kasta yang lebih rendah sejak tahun 484 Masihi.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Mazdakisme merupakan bentuk awal komunisme, namun ia lebih cenderung ditubuhkan sebagai sebuah ajaran keagamaan. 'Nabi' Mazdak meyakini bahawa semua orang – tanpa mengira kelas sosial – harus berkongsi harta kekayaan dan pemilikan (hartanah) secara sama rata. Beliau menerap dan menggabungkan ajaran Zoroastrianisme dan Manichaenisme untuk membentuk sebuah visi keagamaan di mana kesederhanaan dalam berpakaian dan pengamalan gaya hidup menjadi teras yang menentukan sama ada seseorang itu berada di pihak Tuhan ataupun di pihak Syaitan. Ajaran-ajarannya ini mencabar golongan bangsawan dan magi Zoroastrian yang memiliki pengaruh yang lebih besar. Ia turut mengancam asas-asas hierarki sosial Sassanid, terutama dalam doktrinnya tentang pemilikan hartanah dan kekayaan peribadi. Walaupun demikian, Kavad I menyedari bahawa mereka ini boleh dimanfaatkan sebagai senjata bagi menentang golongan bangsawan dan pendeta Zoroastrian.

Kavad I
Kavad I
The Trustees of the British Musuem (CC BY-NC-SA)

Pada masa-masa ini, kelas atasann kebiasaannya mengumpulkan cukai-cukai yang dikutip untuk kegunaan diri sendiri dan setelah itu, barulah menyerahkan bahagian-bahagian yang dirasakan perlu kepada perbendaharaan empayar. Sementara itu, golongan pendeta Zoroastrian pula telah korup dan menyelewengkan kuasa, walaupun hal sebegini ditentang sendiri oleh Agama Zoroaster Irani Awal sekitar 1500 Sebelum Masihi. Kavad I melaksanakan pembaharuan dalam percukaian yang mana intipatinya lebih cenderung menepati ajaran-ajaran Mazdakisme. Secara alami, hal ini menaikkan kemarahan golongan bangsawan dan pendeta sekaligus mendorong mereka untuk menggulingkan dan memenjarakan beliau di Anoushbord (Kubu Kealpaan). Kemudian, saudara Kavad I, iaitu Jamasp (memerintah 496-498 Masihi) diangkat sebagai raja baru.

Kavad I berjaya lolos dari penjara dan membawa diri ke wilayah kekuasaan suku Hephtalite, mengahwini puteri raja mereka, dan kemudian kembali dengan membawa kekuatan seramai 30 000 orang tentera demi merebut semula takhtanya pada tahun 498 Masihi. Kemudian, beliau meneruskan dasar-dasarnya yang terdahulu, termasuklah sokongan terhadap Mazdakisme demi mengawal pengaruh golongan bangsawan dan pendeta. Pun begitu, walaupun suku Hephtalite membantu beliau dalam merebut semula kuasa dan beliau sendiri sudah mengahwini puteri raja mereka, suku Hephtalite tetap menuntut Kavad I agar terus membayar ufti kepada mereka sebagaimana yang telah dilaksanakan pada era raja Sassanid yang lepas, iaitu Balash (memerintah 484-488 Masihi). Hal ini sekaligus menyusutkan apa sahaja isi perbendaharaan yang ada, di mana ianya telah terlebih dahulu dikikis sendiri oleh golongan bangsawan. Tiada apa yang dapat dilakukan oleh Kavad I bagi menangani keadaan ini. Namun kelak, Khosrau I menumpahkan usahanya dalam menghapuskan ancaman dari suku Hephtalite secara muktamad.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan
Khosrau I memulakan pemerintahannya dengan menjatuhkan hukuman bunuh ke atas adik-beradiknya yang berebutkan hak pewarisan takhta, bersama sesiapa sahaja yang menyokong mereka.

Tarikh kelahiran Khosrau I masih lagi diperdebatkan (diandaikan antara 500-514 Masihi). Namun menjelang tahun 524 Masihi, beliau sudah pun menjadi seorang pegawai tentera yang cekap dan berkhidmat untuk bapanya. Setelah berjaya mengawal pengaruh yang dimiliki oleh golongan bangsawan dan pendeta, Kavad I tidak lagi memerlukan sokongan dari para pengikut Mazdak. Justeru, beliau menghantar Khosrau I untuk menghapuskan mereka. Menurut legenda, beliau memerintahkan agar para pengikut Mazdak ini ditanam kepalanya di sebuah ladang. Kemudian, beliau menjemput ketua mereka untuk menyaksikan 'pokok-pokok aneh' yang tidak pernah dilihat sebelum ini, lalu membunuhnya dengan menjadikannya sebagai sasaran latihan buat para pemanahnya. Selepas kemangkatan Kavad I pada tahun 531 Masihi, Khosrau I mengambil-alih tampuk pemerintahan dan memanfaatkan sepenuhnya foundasi ketenteraan dan ekonomi yang telah disediakan oleh ayahandanya.

Pemerintahan Awal & Reformasi

Khosrau I memulakan pemerintahannya dengan menjatuhkan hukuman bunuh ke atas adik-beradiknya yang berebutkan hak pewarisan takhta, bersama sesiapa sahaja yang menyokong mereka. Beliau kemudiannya memeterai perjanjian damai dengan Empayar Byzantine, sekaligus memberikannya ruang dan masa untuk menumpukan perhatian kepada pembaharuan-pembaharuan dalaman. Beliau meneruskan dasar-dasar ayahandanya, terutama berkenaan pengehadan pengaruh golongan bangsawan/pendeta dan memastikan agar cukai-cukai yang sebelum ini diselewengkan bagi mengayakan kedua-dua golongan itu mengalir secara langsung ke dalam perbendaharaan empayar.

Beliau juga memerintahkan pembentukan sebuah kelas bangsawan yang baru – kelas atasan yang dibentuk oleh pemilik tanah dari kalangan orang awam yang bukan kelahiran bangsawan – yang dikenali sebagai deghan. Pembentukan ini berjaya mengurangkan kuasa dan pengaruh golongan bangsawan dengan meluaskan definisi 'bangsawan' itu sendiri, dan membolehkan golongan bangsawan yang baru ini disenaraikan ke dalam pasukan elit Pahlawan-Pahlawan Savaran, iaitu suatu penghormatan yang sebelum ini hanya dihadkan kepada keluarga bangsawan. Keadaan ini sekaligus mengembangkan lagi saiz unit kavalri empayar.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Statue of Kosrau I in Tehran courthouse
Patung Kosrau I di mahkamah Tehran
مانفی (CC BY-SA)

Beliau turut memperkukuhkan pentadbiran dan membahagikan kuasa tentera kepada empat bahagian, di mana pertanggungjawaban ke atas setiap bahagian diserahkan kepada seorang panglima: Mesopotamia di barat, Kaukasus di utara, Teluk Parsi di selatan, dan Asia Tengah di timur. Inovasi ini membolehkan setiap panglima bertindak balas terhadap ancaman-ancaman di wilayah masing-masing tanpa perlu merujuk atau menantikan arahan daripada kepimpinan tertinggi di pusat. Beliau juga mengembangkan lagi persenjataan dan menambah-baik baju pelindung unit Pahlawan Savaran.

Sejarahwan Kaveh Farrokh menyebutkan bahawa salah satu reformasi ketenteraan yang paling signifikan di zaman Khosrau I adalah pembentukan “komposisi unit kavalri yang peranannya adalah untuk menggabungkan kefungsian pemanah berkuda dan kesatria pengguna-tombak” (231). Dalam erti kata lain, pembaharuan ini menumpu pada pembentukan sebuah unit yang terpisah dari unit katafrak (tentera berkuda elit) yang persenjataannya lebih berat, sekaligus membolehkan penghantaran tentera ke medan perang dengan lebih pantas. Reformasi ini memberikan kesan yang kritikal terhadap setiap komander dan unit tentera, terutama dalam soal profesionalisme dan kelakuan peribadi lantaran tidak seperti dahulu, merit peribadi lebih diutamakan berbanding hubungan kekeluargaan.

Perang Pertama Menentang Empayar Byzantine

Khosrau I memeterai Pax Perpetuum (“kedamaian abadi”) dengan Justinian I pada suatu masa antara tahun 532 dan 535 Masihi. Lantaran tidak perlu lagi memikirkan tentang serangan-serangan musuh, beliau pun melaksanakan pembaharuan-pembaharuan ini dan meneguhkan lagi pemerintahannya. Walau bagaimanapun, “kedamaian abadi” hanya berpanjangan sehingga tahun 540 Masihi memandangkan Justinian I bertindak menjejaskan keadaan politik di Kaukasus dan Mesopotamia. Namun, hal tersebut belum cukup untuk menggamit Khosrau I menamatkan perdamaian. Pada masa-masa yang sama ini, perutusan demi perutusan dari Goth di Itali tiba di istananya dan mengharapkan bantuan daripada beliau. Belisarius (hidup 505-565 Masihi), panglima ulung Rom, tidak menghadapi sebarang masalah dalam usahanya menundukkan penentangan Goth di Itali. Justeru menurut perutusan daripada Goth ini, serangan dari pihak Sassanid berpotensi untuk mengundurkan semula Belisarius ke timur, sekaligus memberikan masa kepada mereka untuk mengumpulkan semula kekuatan dan keadaan ini bersesuaian dengan kepentingan Goth dan Sassanid yang masing-masing berhasrat mahu menyusutkan dan memecahkan pengagihan sumber Byzantine.

Pada mulanya, Khosrau I tidak mempamerkan sebarang keinginan untuk membantu Goth. Namun, khabar-khabar kemenangan yang diraih oleh Belisarius memberikan gambaran kepada beliau dan Kepimpinan Tertinggi Ketenteraan bahawa, sebaik sahaja Belisarius selesai menewaskan Goth di Itali, beliau akan dihantar bagi memerangi Sassanid. Demi menghalang perluasan kuasa Justinian I di wilayah Parsi, Khosrau I pun melancarkan serangan awal ke atas Syria lalu menawan kota Sura dan Antioch. Beliau melanjutkan kemaraan ke Apamea dan seterusnya ke Chalcis, menewaskan pasukan tentera Byzantine yang dikerahkan unuk menentangnya.

Belisarius
Belisarius
Eloquence (CC BY-SA)

Kempen ketenteraannya ini berlangsung cemerlang dan kemaraan Khosrau I kelihatan seolah-olah tidak dapat dihentikan. Namun, keadaan mula berubah apabila hadir berita dari wilayah utara Lazica yang meminta bantuan bagi memerangi pencerobohan yang dilakukan oleh Byzantine di sana. Khosrau I lantas meninggalkan kempennya di Mesopotamia dan berangkat menuju ke Lazica. Ironinya, kempen-kempen ketenteraan beliau – yang dilaksanakan bagi memanfaatkan kesibukan Byzantine di Barat terutama dengan ketiadaan Belisarius di timur – mendorong panglima terbilang itu untuk mengalihkan semula perhatiannya (ke Mesopotamia) dan menyandang kepimpinan tentera Byzantine di sana. Memandangkan Khosrau I sedang berada di utara, maka Belisarius dengan mudah berjaya menghentikan kemaraan Sassanid, menawan Sisauranon dan menghantar kesemua tawanan perang ke Konstantinoepl bagi menghalang mereka dari mengangkat senjata lagi.

Kejayaan kempen Sassanid di Lazica ditentukan oleh keupayaannya dalam menawan kubu ampuh Petra di Laut Hitam (tidak dikelirukan dengan Petra, ibu kota Nabatea di Jordan). Khosrau I mengarahkan agar pasukan juruteranya menggali parit di sekeliling kubu Petra sekaligus mencantas laluan perbekalan mereka dan memaksa mereka untuk menyerah kalah. Sebagaimana yang dilakukannya di Mesopotamia, Khosrau I berjaya menjalankan kempen yang cemerlang di Lazica dan pada masa-masa inilah khabar tentang kemenangan Belisarius sampai ke pengetahuannya.

Khosrau I lantas berangkat dari Lazica untuk menangani konflik yang dihadapinya itu. Namun, Belisarius sudah pun bersiap-siaga untuk berhadapan dengannya. Jumlah tentera Sassanid jauh melebihi tentera Byzantine, namun kelebihan ini tidak memberikan manfaat apabila Belisarius yang tiba bersama 6000 orang tenteranya berjaya memperdaya pasukan Sassanid kononnya pasukannya itu adalah pasukan peninjau. Belisarius berharap agar tatkala Khosrau I menganggap bahawa pasukan peninjau Byzantine sahaja sudah sebegini besar, tentunya pasukan utamanya jauh lebih ramai sekaligus meninggalkan medan perang: rancangan ini ternyata berhasil dan Khosrau I mengundurkan bala tenteranya dari Mesopotamia.

Perang Di Lazica & Tanah Arab

Khosrau I kemudian cuba mengadakan rundingan dengan Justinian I. Namun, lantaran Byzantine menganggap Khosrau I sebagai pihak yang lebih lemah, maka mereka pun menyerang pasukan Sassanid di Armenia dan permusuhan antara kedua empayar ini berlanjutan. Sassanid berjaya menghancurkan pasukan tentera Byzantine di Armenia. Namun di Lazica, masyarakat Kristian-Iberia telah memihak Byzantine dan beberapa buah pertempuran meletus pada tempoh antara 547-551 Masihi, dengan kedua belah pihak saling silih-berganti menguasai Petra. Peperangan yang tiada sebarang manfaat ini berlanjutan buat beberapa tempoh dengan kerugian yang besar dialami oleh masing-masing, sehinggalah sebuah persetujuan dicapai pada tahun 561 Masihi, di mana Sassanid dituntut untuk mengundurkan bala tenteranya dari Lazica dan sebagai ganti, Byzantine akan membayar ufti secara tahunan kepada mereka.

Emperor Justinian & His Court
Maharaja Justinian & Mahkamahnya
Carole Raddato (CC BY-SA)

Ketika Khosrau I sedang sibuk di Mesopotamia dan Kaukasus, berlaku pergolakan di Semenanjung Arab yang menuntut perhatian daripadanya. Menjelang penghujung pemerintahan Kavad I, Byzantine mendorong agar pihak Kristian-Habsyah menyerang Semenanjung Arab dan menjelang tahun 526 Masihi, mereka berjaya menguasai wilayah di sekitar Yaman. Sekitar masa di mana Perang Lazic baru sahaja berakhir, pihak Kristian-Habsyah ini sudah pun memiliki kekuatan yang cukup untuk memberikan ancaman terhadap Empayar Sassanid, terutama kerana serangan ke atas empayar berkenaan kini boleh dilancarkan dari dua arah – Byzantine dan Habsyah – sekaligus berpotensi menghancurkan Sassanid dari dua sempadannya. Khosrau I lantas menghantar panglimanya yang bernama Vahriz ke Tanah Arab untuk menewaskan pasukan tentera Habsyah dan merebut wilayah kekuasaannya.

Suku Hephtalite, Gok Turk & Perang Byzantine Kedua

Setelah ancaman dari Habsyah ini berjaya dineutralkan, Khosrau I mengalihkan perhatiannya kepada suku Hephtalite dan bebanan ufti yang masih perlu dibayar oleh Sassanid kepada mereka. Khosrau I menyedari peluang yang hadir menerusi hubungan renggang di antara Hephtalite dan jiran mereka, iaitu suku Gok Turk sekaligus bertindak menjalinkan persekutuan dengan suku Turk bagi menghapuskan suku Hephtalite. Suku Hephtalite terkenal sebagai pahlawan berkuda yang gagah. Namun menjelang tahun 560 Masihi, tiada kesatuan pusat yang dapat meneguhkan mereka. Lantaran menyedari bahawa mereka tidak akan berupaya untuk bertahan di dua sempadan secara serentak, maka Khosrau I pun melancarkan serangan secara bersama dengan suku Turk dan menghapuskan bala tentera Hephtalite dalam Pertempuran Gol-Zarriun pada tahun 560 Masihi. Empayar Hephtalite tumbang, dan wilayah kekuasaan mereka diagihkan sesama Empayar Sassanid dan suku Turk.

Sama seperti waktu-waktu sebelumnya, Khosrau I berjaya membuktikan kebolehan dirinya dalam menangani pencerobohan Byzantine dan berjaya menjalankan sebuah lagi kempen yang cemerlang.

Namun, impian yang dipasang oleh Khosrau I mendorong berlakunya permusuhan antara beliau dan suku Turk lantaran beliau memerlukan tanah dan sumber yang lebih banyak bagi mengekalkan kekuasaan empayarnya dan mengawal Jalan Sutera. Suku Turk juga berkongsi impian yang sama, justeru apabila Khosrau I memaklumkan keengganannya untuk berkongsi sumber (rampasan perang), mereka pun datang menghadap maharaja Byzantine yang baru, iaitu Justin II (memerintah 565-574 Masihi) untuk memeterai persekutuan bagi memerangi Sassanid. Justin II pada mulanya menolak permintaan mereka, namun kemudiannya bertindak menggubal suatu dasar yang membawa kepada konflik sama seperti yang dikemukakan oleh suku Turk itu.

Armenia sudah pun terbabit dalam kancah permusuhan antara penganut Kristian dan Zoroastrian, justeru untuk meredakan kekacauaan tersebut, Justin II bertindak mengingkari persetujuan yang dimeterai oleh Justinian I dengan Sassanid dan mengukuhkan pertahanan di Kaukasus, di mana dasar ini sekaligus mendedahkan Armenia kepada ancaman serangan. Byzantine kini berupaya mengganggu-gugat keadaan politik di wilayah itu, dengan alasan mahu melindungi penganut Kristian di sana. Tindakan ini menuntut tindak balas daripada Sassanid – sebagaimana yang dijangkakan oleh Justin II – dan Khosrau I sendiri mengetuai pasukan tentera dan merebut kota Dara dan Nisibis dari tangan Byzantine.

Sama seperti waktu-waktu sebelumnya, Khosrau I berjaya membuktikan kebolehan dirinya dalam menangani pencerobohan Byzantine – lebih-lebih lagi kini Byzantine tidak mempunyai Belisarius untuk menyelamatkan mereka – dan berhasil menjalankan kempen ketenteraan yang cemerlang. Justin II terpaksa memeterai perjanjian damai, mengundurkan semula barisan pertahanannya, dan membayar tebusan perang yang besar jumlahnya. Walaupun kedamaian berjaya dikembalikan, permusuhan di antara empayar Byzantine dan Sassanid terus berlanjutan sepanjang baki pemerintahan Khosrau I.

Kesimpulan

Walaupun beliau terpaksa meluangkan kebanyakan waktu dan usahanya untuk memimpin peperangan-peperangan yang ditempuh oleh Parsi, Khosrau I juga berupaya mengembangkan lagi sektor perdagangan, mengekalkan kemapanan ekonomi, melaksanakan sejumlah projek pembinaan, dan menggalakkan pembangunan dalam kesenian dan keilmuan. Beliau turut mengembangkan lagi Akadami Gundeshapur – pusat intelektual dan pendidikan agung yang ditubuhkan pada era Shapur I – memajukan teknik-teknik perubatan dengan membawa masuk dan menambah-baik ilmu perubatan tabib dan ilmuwan Mesir, India dan Yunani.

Khosrau I mempunyai minat yang mendalam terhadap falsafah, menggalakkan agar ahli-ahli falsafah dari pelbagai wilayah untuk datang ke istananya di Ctesiphon (Mada'in), dan mengalu-alukan kehadiran mereka yang kehilangan pekerjaan tatkala institusi-institusi pagan di Empayar Byzantine ditutup oleh Justinian I. Menurut legenda, pada suatu masa permainan catur dihantar oleh seorang raja India ke istananya – tanpa memberitahukan peraturan atau cara memainkannya – bersama cabaran untuk mencari tahu bagaimana cara memainkannya, atau membayar denda jika gagal. Khosrau I, atau para pegawai istananya dikatakan berjaya merungkai kaedah permainan catur dan kemudian, bertindak menghantar pula permainan nardshir (backgammon) ke India dengan cabaran yang sama, di mana si raja India dan pegawai-pegawai istananya (yang tidak diketahui namanya) gagal untuk merungkai cara permainannya, justeru perlu membayar denda kepada Parsi. Walaupun kisah yang kebiasaannya diceritakan untuk memerikan pencapaian keilmuan Khosrau I dan pegawai istananya ini berulang-kali dipersoalkan kesahihannya, secara jelas ia mengisyaratkan betapa tingginya tanggapan yang diberikan kepada beliau dan barisan menterinya.

Standing Arch at Ctesiphon
Gerbang Berdiri di Ctesiphon
Nick Maroulis (CC BY-NC-ND)

Beliau bertanggungjawab memperbesarkan lagi benteng pertahanan di sepanjang sempadan selatan yang dibina pada era Shapur II, namun turut memanjangkan benteng ini hingga ke sempadan-sempadannya yang lain. Beliau juga diberikan kredit di atas projek pembangunan Ctesiphon (Mada'in) dan pembinaan gerbang lengkung gergasi Taq Kasra (walaupun monumen ini juga dikaitkan dengan Shapur II). Projek-projek pembinaan beliau yang lain merangkumi dewan-dewan mandi, bangunan-bangunan pentadbiran, kuil-kuil api dan juga terusan. Kekuasaannya ke atas Jalan Sutera di seluruh wilayah pemerintahannya berupaya menjamin keselamatan buat para pedagang dan menyumbang kepada keefisienan dalam penghantaran barang dagangan dari timur dan seterusnya, perdagangan dengan barat. Hal ini sekaligus menggalakkan interaksi rentas-budaya antara pembeli dan pernjual dari berbagai bangsa.

Khosrau I juga melanjutkan lagi usaha Shapur II dalam menterjemahkan Avesta ke dalam bentuk penulisan dan mengembangkan cakupan ulasan terhadapnya. Walaupun Khosrau I merupakan penganut Zoroastrianisme, beliau turut berminat terhadap pandangan dan ajaran kesemua agama dan falsafah, serta menggalakkan perbincangan dan perdebatan agama. Walaupun beliau kebiasaannya pantas dalam menghukum sebarang bentuk penderhakaan agama – terutama dalam kalangan paderi Zoroastrian – dan tidak mentoleransikan ajaran sosio-agama Mazdak, Khosrau I membenarkan perkembangan pelbagai jenis agama lain di empayarnya dan menggalakkan penyebarannya. Menjelang penghujung pemerintahan dan hayatnya, Khosrau I berjaya menzahirkan kebudayaan Parsi dalam bentuk yang paling agung dan sempurna.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Darihal Penulis

Joshua J. Mark
Penulis bebas dan bekas Pensyarah Falsafah separuh-masa di Kolej Marist, New York. Joshua J. Mark menetap di Greece dan Jerman dan pernah mengembara ke Mesir. Beliau mengajar sejarah, penulisan, kesusasteraan, dan falsafah pada peringkat kolej.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Mark, J. J. (2020, February 27). Khosrau I [Kosrau I]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-18809/khosrau-i/

Gaya Chicago

Mark, Joshua J.. "Khosrau I." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai February 27, 2020. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-18809/khosrau-i/.

Gaya MLA

Mark, Joshua J.. "Khosrau I." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 27 Feb 2020. Web. 20 Dec 2024.