Baalbek

10 hari yang tinggal

Melabur dalam Pendidikan Sejarah

Dengan menyokong badan amal Yayasan Sejarah Dunia kami, anda melabur dalam masa depan pendidikan sejarah. Sumbangan anda membantu kami memperkasakan generasi akan datang dengan pengetahuan dan kemahiran yang mereka perlukan untuk memahami dunia di sekeliling mereka. Bantu kami memulakan tahun baru bersedia untuk menerbitkan maklumat sejarah yang lebih dipercayai, percuma untuk semua orang.
$3081 / $10000

Inti Sari

Joshua J. Mark
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 02 September 2009
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris, Perancis
Dengarkan artikel ini
X
Cetak Artikel
Temple of Baachus, Baalbek (by Jerzy Strzelecki, CC BY-SA)
Kuil Baachus, Baalbek
Jerzy Strzelecki (CC BY-SA)

Baalbek merupakan sebuah kota Phoenicia yang bertempat di Lebanon, Beirut moden, tepatnya di Lembah Beqaa. Kota ini telah dihuni seawal tahun 9000 SM, dan semenjak zaman silam lagi ia berfungsi sebagai lokasi kunjungan suci dalam tradisi pemujaan dewa langit Baal dan pasangannya, Astarte si Ratu Kayangan dalam kepercayaan masyarakat Phoenicia (nama 'Baalbek' membawa maksud Raja Baal dari Lembah Beqaa). Pusat kota ini bertempat di sebuah kuil besar yang didirikan khusus untuk Astarte dan Baal. Pada tempoh terkemudian, puing-puing kuil tersebut tertimbus di bawah Kuil Jupiter yang dibina oleh tamadun Rom. Pada hari ini, kota Baalbek telah pun disenaraikan oleh UNESCO sebagai sebuah Tapak Warisan Dunia.

Bebatuan Baalbek

Penelitian pakar mendapati berat batu-batu penjuru dari kuil awal di Baalbek mencecah lebih 100 tan sementara tembok-tembok penyokongnya pula masing-masing seberat 300 tan, sekaligus membuatkan ramai ahli arkeologi, saintis, dan sejarahwan moden dibelenggu persoalan tentang bagaimanakah batu-batuan itu dipindahkan, dari mana ia datang, dan bagaimana ia dibentuk sehingga menjadi sebahagian daripada kuil silam tersebut. Pada hari ini, batu-batuan itu dan juga batu-batuan seberat lebih 900 tan yang terletak kira-kira satu batu dari Baalbek dikenali sebagai Bebatuan Baalbek dan dari semasa ke semasa, ia terus menjadi bahan perbincangan dan penyelidikan khususnya tentang bagaimana ia dipindahkan dan disusun menjadi kuil. Bangkit juga persoalan-persoalan lanjut seputar mengapa bebatuan itu diperlukan di kuil berkenaan dan mengapa pula saiz tiang-tiang di kuil tersebut lebih besar berbanding seperlunya.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Temple of  Venus, Baalbek
Kuil Venus, Baalbek
Katarina Maruskinova (CC BY-NC-SA)

Pada tempoh terkemudian, tamadun-tamadun pembina seperti bangsa Rom misalnya, menggunakan bebatuan dari binaan awal tersebut sebagai foundasi asas bagi binaan kuil-kuil mereka. Walau bagaimanapun, lokasi asal batu-batuan tersebut sama sekali tidak dipindahkan. Berikutan ukuran berat dan isipadu bebatuan tersebut yang melampaui akal munasabah, sebahagian pihak mengandaikan berlaku aktiviti makhluk asing di Baalbek pada zaman silam. Malahan, ada juga yang beranggapan kota tersebut kononnya adalah lokasi pendaratan kapal angkasa makhluk asing. Bagaimanapun, teori sebegini tidak pernah diterima oleh lingkungan cendekia.

Heliopolis

Alexander Agung menakluki Baalbek pada tahun 334 SM dan menamakannya sebagai Heliopolis, 'Kota Matahari'.

Pada tahun 334 SM, Alexander Agung menakluki Baalbek dan menamakannya sebagai Heliopolis, atau 'Kota Matahari'. Nama tersebut terus dikekalkan semasa Pompey Agung menguasai rantau Phoenicia pada tahun 64 SM dan menjelang 15 SM, kota tersebut dijadikan sebagai koloni Empayar Rom. Di bawah pemerintahan Rom, kota Baalbek menjalani penaiktarafan secara meluas menerusi pelaksanaan banyak projek pembinaan monumen, terowong, akueduk, dan rangkaian jalan. Pada era Septimus Severus (193-211 M), kuil agung Jupiter Baal dibina (dianggap sebagai bangunan keagamaan paling besar dan paling indah dalam sejarah Empayar Rom) dan sehingga ke hari ini, runtuhannya masih boleh disaksikan.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Kota Baalbek terus dijadikan sebagai destinasi kunjungan suci masyarakat umum sehinggalah Constantine Agung mengiktiraf agama Kristian sebagai agama rasmi Empayar Rom (bermula pada 313 M sejak pengeluaran Titah Milan). Semenjak itu, Baalbek pun dikristiankan bagi menghindari nasib sama yang menimpa beberapa buah tapak pagan yang dihancurkan atau ditinggalkan. Kuil Bacchus yang lebih besar berbanding Parthenon di Athens misalnya, masih wujud sehingga kini dan kesemua kompleks kuil Rom (baik kuil Jupiter, Bacchus, Venus, dan Mercury) dibiarkan berdiri menggagahi kebangkitan agama Kristian lantaran fungsinya ditukar sebagai gereja; hanya mezbah kuil Jupiter sahaja dihancurkan oleh Theodosius I. Kuil-kuil tersebut terus memainkan kefungsiannya sebagai tempat ibadah penganut Kristian sehinggalah ketibaan Arab-Muslim pada tahun 637 M.

Baalbek
Baalbek
Vasily Polenov (Public Domain)

Sejarah Lanjut

Di bawah pemerintahan Islam, khususnya selepas kemenangan mereka ke atas Byzantine dalam Pertempuran Yarmuk, kompleks kuil Baalbek ditukarkan namanya kepada Al-Qalaa (kubu). Dinding-dindingnya diperteguh dan ciri pertahanan kuil-kuilnya diampuhkan. Di tengah-tengahnya pula dibina sebuah masjid sambil unsur-unsur Kristian dibuang dan dihancurkan.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Kota tersebut kemudian ditakluki oleh pasukan Byzantine pada tahun 748 dan 975 M, namun mereka tidak berupaya mengekalkan kekuasaannya buat tempoh yang lama. Selepas terselamat daripada gempuran Monggol dan serangan-serangan lain, Baalbek jatuh ke tangan Empayar Uthmaniyah dan pada zaman itulah, kota tersebut diabaikan sekaligus mengakibatkan bangunan-bangunannya rosak lalu runtuh. Kerosakan sedia ada kemudian diperparah oleh kejadian gempa bumi yang menimpa berkali-kali. Untuk tempoh masa yang panjang, tiada sebarang aktiviti dijalankan di kota berkenaan, baik usaha pemeliharaan mahupun kerja-kerja penggalian, sehinggalah akhirnya pada tahun 1898 M, Maharaja Wilhem II dari Jerman mengunjungi Baalbek dan menghantar sepasukan ahli arkeologi untuk menjalankan ekskavasi di sana. Usaha pasukan tersebut, serta pasukan-pasukan antarabangsa pada tempoh terkemudian, berhasil memelihara kota Baalbek untuk kepentingan generasi akan datang.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Daftar Pustaka

Ensiklopedia Sejarah Dunia adalah Associate Amazon dan memperoleh komisen untuk pembelian buku yang layak.

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Darihal Penulis

Joshua J. Mark
Penulis bebas dan bekas Pensyarah Falsafah separuh-masa di Kolej Marist, New York. Joshua J. Mark menetap di Greece dan Jerman dan pernah mengembara ke Mesir. Beliau mengajar sejarah, penulisan, kesusasteraan, dan falsafah pada peringkat kolej.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Mark, J. J. (2009, September 02). Baalbek [Baalbek]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-500/baalbek/

Gaya Chicago

Mark, Joshua J.. "Baalbek." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai September 02, 2009. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-500/baalbek/.

Gaya MLA

Mark, Joshua J.. "Baalbek." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 02 Sep 2009. Web. 21 Dec 2024.