Sepuluh Fakta Yang Perlu Diketahui Tentang Inca

7 hari yang tinggal

Melabur dalam Pendidikan Sejarah

Dengan menyokong badan amal Yayasan Sejarah Dunia kami, anda melabur dalam masa depan pendidikan sejarah. Sumbangan anda membantu kami memperkasakan generasi akan datang dengan pengetahuan dan kemahiran yang mereka perlukan untuk memahami dunia di sekeliling mereka. Bantu kami memulakan tahun baru bersedia untuk menerbitkan maklumat sejarah yang lebih dipercayai, percuma untuk semua orang.
$3447 / $10000

Rencana

Joshua J. Mark
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 19 February 2020
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Perancis, Sepanyol
Dengarkan artikel ini
X
Cetak Artikel

Tamadun Inca (c. 1400-1533 M) merupakan antara tamadun paling penting di Amerika Selatan, terutama dari sudut pengaruh dan warisan budayanya. Inca bermula sebagai sebuah suku kecil yang berkembang secara stabil sehingga ia berupaya menakluki tamadun-tamadun lain di sepanjang pesisir pantai dari Columbia hingga ke Argentina. Mereka terus diingati dalam sejarah berikutan sumbangannya dalam bidang agama, seni bina, dan pembinaan rangkaian jalan di seluruh wilayah naungannya. Berikut adalah sepuluh fakta tentang Inca yang harus diketahui.

Machu Picchu Aerial View
Pemandangan Udara Machu Picchu
Dan Merino (CC BY)

1. Mengapa Inca Dianggap Penting Dalam Sejarah?

Tamadun Inca dianggap penting, sama seperti mana-mana empayar/tamadun silam yang turut dianggap penting: hal ini kerana masa silam mengandungi teladan buat kita yang hidup di masa kini, dan begitu juga, masa kini penuh dengan ibrah buat mereka yang bakal lahir di masa hadapan. Mengetahui perjalanan hidup manusia di zaman silam mampu membantu kita menjalani kehidupan dan membuat keputusan yang lebih baik dalam hidup. Bagi tamadun Inca secara khusus, empayar mereka terbentang luas di pesisir pantai Amerika Selatan, bermula dari Columbia moden hingga ke Ecuador, Peru, dan Argentina. Tamadun tersebut banyak mempengaruhi kehidupan masyarakat yang hidup di dalam mahupun di luar jajahan takluknya. Empayar Inca merupakan empayar pra-Columbia yang paling besar pernah berdiri di benua Amerika, dengan keluasannya meliputi 770, 000 batu persegi dan dihuni oleh kira-kira 6-14 juta manusia.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan
Konsep unit keluarga Inca masih diterapkan di rantau berkenaan sehingga kini.

Semasa Empayar Inca tumbang di tangan Francisco Pizarro (c. 1471-1541 M) dari Sepanyol pada kurun ke-16 M, ia sudah pun mengalami kemunduran akibat pergolakan dalaman dan penularan wabak (yang dibawa oleh para peneroka Eropah). Bagaimanapun, pengaruh mereka tidak luntur sebaliknya kekal hidup. Misalnya, konsep unit keluarga Inca – merangkumi ibu-ibu saudara, bapa-bapa saudara, sepupu-sepapat, dan kerabat jauh – masih lagi diterapkan di rantau berkenaan, di mana seluruh komuniti dianggap sebagai sebuah keluarga dan setiap anggota masyarakat digalakkan untuk melayan jiran-jiran mereka sama seperti kaum keluarga.

Agama panutan Inca juga mempengaruhi agama-agama lain di rantau tersebut hinggakan pada zaman moden sekalipun, bangunan-bangunan suci Kristian ditempatkan di lokasi-lokasi yang dianggap "keramat" oleh masyarakat Inca, seperti bukit-bukau, puncak gunung, dan kawasan berhampiran tasik, sungai ataupun laut – bersesuaian dengan kepercayaan tradisi yang mengaitkan tempat-tempat tersebut dengan dewa-dewi Inca. "Pantang-Larang Utama" Inca seperti "Jangan Mencuri, Jangan Berdusta, Jangan Culas" juga masih diamalkan di rantau berkenaan. Boleh dikatakan tidak banyak perubahan yang berlaku dalam sifat manusia. Kita sentiasa bersifat sepertimana sifat manusia pada dahulukala, justeru penting bagi kita untuk sentiasa mengetahui sejarah nenek-moyang kita.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

2. Apakah Agama Anutan Inca & Bagaimana Ia Mempengaruhi Kehidupan Seharian Masyarakat?

Agama yang dianuti masyarakat Inca bersifat politeisme; di mana dewa-dewi dipercayai mengawal alam semesta dan mempengaruhi kehidupan manusia secara signifikan. Sebagai contoh, Pachacamac si dewa pencipta bertanggungjawab mencipta manusia dan tumbuh-tumbuhan, serta mengawasi proses pertumbuhan dan penuaian hasil pertanian. Jika Pachacamac bersenang hati dengan manusia, maka segala proses tersebut akan berjalan dengan lancar; namun jika ia murka, maka Pachacamac akan menimpakan gempa bumi ke atas manusia. Justeru, manusia bertanggungjawab menenteramkan Pachacamac – dan dewa-dewi lain – dengan memberikan sembah korban, termasuklah korban manusia (baik kaum lelaki, wanita mahupun kanak-kanak). Sama seperti tuhan mahupun dewa dalam mana-mana agama di zaman moden, dewa-dewi Inca dianggap benar-benar wujud oleh para penganutnya. Kuil-kuil dan bangunan-bangunan keagamaan turut didirikan khusus buat mereka. Begitu juga dengan pembinaan rangkaian jalan Inca yang menghubungkan antara satu komuniti dan satu komuniti yang dipercayai dipicu oleh kepercayaan bahawa jika ada petanda yang diberikan oleh dewa di suatu lokasi, maka khabar tentang petanda tersebut perlu disampaikan kepada seseorang yang mampu menafsirkannya – iaitu dukun.

Agama Inca mengajarkan kepercayaan terhadap tiga alam:

  • Hanan Pacha – Alam Kayangan (juga dikenali sebagai Tanah Matahari), tempat tinggal Inti si dewa matahari dan adiknya, Quilla si dewi bulan (juga dikenali sebagai Mama Quilla).
  • Kay Pacha – Alam Pertengahan, tempat tinggal manusia, haiwan, dan tumbuh-tumbuhan.
  • Uku Pacha – Alam Kematian, diperintah oleh Supay si dewa kematian.

Jauh sebelum agama Kristian diperkenalkan di rantau Amerika Selatan, Inca sudah pun mempunyai konsep 'syurga' dan 'neraka'. Peraturan utama dalam agama Inca (bersesuaian dengan Pantang-Larang Utama atau Sepuluh Perintah) adalah Ama sua, Ama lulla, Ama chella (Jangan Mencuri, Jangan Berdusta, Jangan Culas). Jika seseorang individu mematuhi peraturan tersebut sepanjang menjalani kehidupan, maka sesudah meninggal dunia, dia akan dibawa ke Tanah Matahari – tempat yang sentiasa hangat dan nyaman, dan sentiasa hampir dengan dewa-dewi. Sebaliknya jika peraturan tersebut diabaikan, maka si mati akan dibawa ke alam neraka yang sentiasa berkeadaan sejuk dan jiwanya pula akan bersendirian dalam kegelapan yang kekal abadi.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Viracocha
Viracocha
André Mellagi (CC BY-NC-SA)

Selain dua destinasi tersebut, ada juga manusia yang akan dikembalikan semula ke dunia dan diberikan peluang kedua untuk memperbetulkan hidupnya. Keadaan ini khusus untuk jiwa yang tidaklah baik dan tidak pula jahat – begitulah keadaannya bagi kebanyakan manusia. Masyarakat Inca juga mengamalkan budaya memumiakan mayat dan meletakkan barang-barang persemadian bersama si mati. Si mati yang telah dimumiakan kebiasaannya dibiarkan dalam postur duduk menegak di dalam kubur, berbeza dengan tamadun-tamadun lain yang meniarapkan mereka; sebab di sebalik amalan ini tidak pula diketahui memandangkan Inca tidak mempunyai bahasa bertulis.

3. Bagaimanakah Kehidupan Seharian Masyarakat Inca?

Sistem kemasyarakatan Inca didasarkan pada unit keluarga dan komuniti sekeliling (disebut sebagai ayllu) serta disokong oleh aktiviti pertanian. Setiap ayllu bertanggungjawab mengusahakan kawasan-kawasan tertentu, dan setiap satunya diselia oleh sekumpulan bangsawan yang dikenali sebagai kuraka. Pentadbiran Inca dimulakan daripada peringkat masyarakat paling bawah dan ia terus memuncak hingga ke kumpulan-kumpulan berikutnya yang mana setiap satunya dianggotai oleh sepuluh bangsawan, dengan setiap kumpulan menyelia kumpulan yang di bawah, sehinggalah kedudukan raja di puncak hierarki. Masyarakat Inca lebih mengutamakan kaum lelaki, namun kaum wanita juga dihormati dan dibenarkan untuk berkhidmat sebagai dukun wanita atau bekerja dalam jabatan kerajaan.

Masyarakat Inca dianggap sebagai masyarakat pertama di rantau berkenaan yang menanam kentang.

Anak-anak diizinkan untuk mewarisi sebarang kedudukan/peranan/pekerjaan orang tua mereka, sambil gadis-gadis pula dinasihatkan supaya mengikuti petunjuk ibu masing-masing dalam perkahwinan, melahirkan anak, dan menjaga rumah walaupun sebahagian daripada mereka memilih untuk menjadi dukun wanita atau pembuat bir atau menceburi bidang-bidang lain. Bilamana seseorang wanita itu berkahwin, mereka akan menjadi sebahagian daripada keluarga si suami dan dituntut supaya mengusahakan tanah milik keluarga tersebut.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Kaum wanita juga dipertanggungjawabkan untuk menyediakan makanan, dan masyarakat Inca dianggap sebagai masyarakat pertama di rantau berkenaan yang menanam kentang. Makan malam, iaitu waktu di mana kaum keluarga – atau bahkan masyarakat keseluruhan– berkumpul merupakan rutin harian yang dianggap paling penting di mana ketika itulah, dewa-dewi dipuji dan disyukuri, sambil manusia pula digauli. Kegiatan masa lapang yang menjadi kebiasaan masyarakat Inca antara lain adalah bersukan, bernyanyi, bercerita, dan berlumba lari. Secara asas, kehidupan seharian mereka berkisar antara bekerja di siang hari, beristirehat di malam hari, dan mengadakan keraian serta upacara keagamaan.

4. Adakah Makanan Penting Buat Inca?

Makanan dianggap penting buat masyarakat Inca kerana ia merupakan hadiah daripada tuhan, di samping keutamaan dalam hidup mereka. Mereka bekerja siang malam demi mendapatkan makanan. Secara umum, masyarakat Inca hanya makan sayur-sayuran dan buah-buahan – daging disimpan untuk dinikmati semasa kelangsungan pesta atau upacara keagamaan – dan setiap kumpulan masyarakat memerlukan makanan yang cukup untuk mengisi perut masing-masing dan juga untuk menjualnya kepada kumpulan-kumpulan masyarakat yang lain. Antara hasil pertanian mereka adalah bijirin, sayur-sayuran, dan buah-buahan. Masyarakat Inca juga masyhur dengan penggunaan kuinoa, jagung, lada, dan tepung ubi kayu. Mereka tidak mempunyai pasar – masing-masing menghasilkan makanan sendiri dan lebihan makanan pula dijual bagi mendapatkan barangan lain seperti selimut atau bakul – justeru dalam erti kata lain, makanan juga adalah matawang bagi mereka.

Inca Bird-handled Dish
Hidangan yang dikendalikan burung Inca
James Blake Wiener (CC BY-NC-SA)

5. Bagaimanakah Inca Mengekalkan Kekuasaan Empayar Mereka?

Pentadbiran Empayar Inca berjalan dengan cukup efisien – dan keadaan ini sangat wajar memandangkan ia memerintah kawasan dan masyarakat yang luas. Undang-undang digubal oleh raja – yang kononnya diilhami/diperintahkan oleh dewa-dewi. Undang-undang tersebut kemudian diperturunkan kepada sepuluh bangsawan di bawahnya, dan kemudian diperturunkan lagi kepada sepuluh bangsawan dari kumpulan hierarki berikutnya, dan begitulah keadaannya sehingga sampai ke peringkat masyarakat yang paling bawah menerusi penggunaan rangkaian jalan yang efisien. Dengan demikian, keamanan dapat dipelihara dengan mudah memandangkan sebarang pemberontakan atau serangan atau bencana alam dapat ditangani dengan pantas berkat kewujudan rangkaian komunikasi yang maju. Begitu juga dengan undang-undang yang diwartakan di ibu kota Cuzco, ia dapat diwarwarkan ke seluruh empayar dengan cepat. Setiap anggota masyarakat – bermula dari peringkat tempatan hingga ke puncak hierarki –bertanggungjawab memastikan perundangan tersebut dipatuhi.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

6. Apakah Sebenarnya Rangkaian Jalan Inca?

Empayar Inca dihubungkan antara satu wilayah dan satu wilayah menerusi sistem jalannya yang sangat luas (merangkumi keluasan 25,000 batu) sekaligus membolehkan komunikasi berlaku dengan pantas. Utusan-utusan yang bertugas pula hidup secara berpasangan – dan menjadi tanggungjawab mereka untuk sentiasa bersedia menerima pesanan dan bergegas menyampaikannya – justeru salah seorang daripada mereka akan tidur atau berehat sementara yang lain akan bersiap-sedia untuk melaksanakan tugas. Dengan adanya sistem jalan dan khidmat penghantaran pesanan ini, raja boleh menyampaikan arahan untuk menggerakkan pasukan tentera bagi tujuan pertahanan dan tentera-tentera dari pelbagai kumpulan masyarakat pula boleh bertindak balas dengan kadar yang segera. Di samping itu, terdapat juga stesen, rumah tumpangan, dan gudang simpanan di sepanjang jalan bagi tujuan membekali pasukan tentera, menyediakan tempat beristirehat buat para pengembara, dan mewujudkan pekerjaan bagi mereka yang menceburi perkhidmatan menghantar pesanan.

Inca Road System
Sistem Jalan Inca
Manco Capac (CC BY-SA)

7. Adakah Inca Mempunyai Sistem Tulisan?

Inca tidak mempunyai sistem tulisan. Akan tetapi, mereka mempunyai satu sistem penyimpanan-rekod yang dikenali sebagai quipu yang menggunakan tali-tali bersimpul bagi mengisyaratkan maklumat-maklumat tertentu. Apa sebenarnya maklumat tersebut, dan bagaimana quipu berfungsi dalam masyarakat Inca, walau bagaimanapun tidak diketahui.

Quipu
Quipu
Claus Ableiter (CC BY-SA)

8. Apakah Tapak Inca Yang Dianggap Paling Penting?

Tapak Inca yang paling masyhur ialah Machu Picchu yang terletak di banjaran Gunung Andes di Lembah Urubamba. Monumen tersebut dibangunkan oleh raja Inca yang ke-9, iaitu Pachacuti Inca Yupanqui (memerintah 1438-1471 M) sekitar tahun 1450 M dan ia dianggap sebagai sebuah tempat suci. Nama 'Machu Picchu' membawa maksud "bukit tua" dan tapak tersebut dipercayai pada asalnya merupakan sebahagian daripada tanah milik Pachacuti Inca Yupanqui. Ada yang berpendapat bahawa monumen tersebut dibangunkan sebagai tempat pemujaan atau, mungkin juga sebuah perkubuan. Kompleks Machu Picchu dibekali dengan sumber air yang berasal dari mata-mata air semula jadi yang dialirkan melalui saliran-saliran air yang diperbuat daripada batu. Setelah kejatuhan Empayar Inca, tapak tersebut ditinggalkan dan ia hanya ditemui semula oleh Hiram Bingham pada tahun 1911 M. Pada hari ini, ia merupakan sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO dan telah pun diundi sebagai salah sebuah daripada Tujuh Keajaiban Dunia yang baru.

The Slopes of Machu Picchu
Lereng Machu Picchu
Richard Twigg (CC BY-NC-SA)

9. Bagaimanakah Struktur Pasukan Tentera Inca & Cara Ia Berfungsi?

Struktur pasukan tentera Inca dibentuk sesuai dengan sistem perpuluhan. Sebuah pasukan yang dianggotai oleh sepuluh individu diletakkan di bawah kepimpinan seorang pegawai yang disebut sebagai chunka kamayua; sepasukan tentera yang terdiri daripada 100 orang dipimpin oleh seorang pachaka kuraka; sepasukan tentera yang terdiri daripada 1000 orang berada di bawah pimpinan seorang waranqa kuraka; sepasukan tentera yang dianggotai oleh 10 000 orang diletakkan di bawah kepimpinan seorang hunu kuraka. Sementara itu, keseluruhan pasukan tentera empayar secara rasminya berada di bawah perintah seorang raja.

Pasukan tentera Inca dianggotai oleh warga Inca dan bukan-warga Inca (yakni masyarakat yang ditakluki Inca dan dikerah ke dalam pasukan tentera pada masa-masa peperangan). Setiap lelaki yang berusia 25-55 diseru untuk menyertai pasukan tentera bilamana khidmatnya diperlukan. Mereka dibenarkan untuk membawa bersama isteri dan anak-anak muda yang berada dalam lingkungan usia yang sesuai untuk berkhidmat sebagai penjaga barang bekalan. Setiap lelaki Inca juga dilatih menggunakan senjata sejak usia muda dan mereka yang dianggap mempunyai 'darah asli' Inca dibukakan peluang untuk berkhidmat dalam pasukan pengawal peribadi raja.

10. Bagaimanakah Empayar Inca Tumbang?

Empayar Inca tumbang pada tahun 1533 M di tangan tentera-tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Francisco Pizarro, namun ia hakikatnya sudah pun mengalami kemunduran sejak beberapa tempoh sebelumnya. Empayar Inca – sama seperti Empayar Assyria di Timur Dekat – berkembang menerusi jalan penaklukan justeru ramai rakyat jelatanya tidak berpuas hati dengan pihak pemerintah. Pizarro mengambil kesempatan atas keadaan ini bagi menghasut warga tempatan untuk memerangi Inca yang dilihat sebagai penindas yang zalim. Pemberontakan-pemberontakan di seluruh empayar sememangnya sudah tercetus menjelang ketibaan Pizarro dan wabak penyakit (khususnya cacar air) yang dibawa oleh orang-orang Eropah mengakibatkan kematian ramai populasi Inca (sehingga 90%). Oleh hal demikian, walaupun Pizarro sering diberikan kredit sebagai individu yang menjatuhkan Empayar Inca, dipercayai empayar tersebut lambat-laun akan tetap tumbang dengan sendiri memandangkan ia tidak lagi berupaya mengekalkan kesatuan yang dimiliki sebelumnya.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Darihal Penulis

Joshua J. Mark
Penulis bebas dan bekas Pensyarah Falsafah separuh-masa di Kolej Marist, New York. Joshua J. Mark menetap di Greece dan Jerman dan pernah mengembara ke Mesir. Beliau mengajar sejarah, penulisan, kesusasteraan, dan falsafah pada peringkat kolej.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Mark, J. J. (2020, February 19). Sepuluh Fakta Yang Perlu Diketahui Tentang Inca [Ten Facts You Need to Know about the Inca]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/2-1506/sepuluh-fakta-yang-perlu-diketahui-tentang-inca/

Gaya Chicago

Mark, Joshua J.. "Sepuluh Fakta Yang Perlu Diketahui Tentang Inca." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai February 19, 2020. https://www.worldhistory.org/trans/ms/2-1506/sepuluh-fakta-yang-perlu-diketahui-tentang-inca/.

Gaya MLA

Mark, Joshua J.. "Sepuluh Fakta Yang Perlu Diketahui Tentang Inca." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 19 Feb 2020. Web. 24 Dec 2024.