Jepun Purba

Inti Sari

Mark Cartwright
oleh , diterjemahkan oleh Ezlyna Shamsuddin
diterbitkan pada 09 June 2017
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris, Perancis, Portugis, Sepanyol
Dengarkan artikel ini
X
Cetak Artikel
Torii, Fujiwara Inari Shrine (by James Blake Wiener, CC BY-NC-SA)
Torii, Kuil Fujiawara Inari
James Blake Wiener (CC BY-NC-SA)

Jepun Purba memberikan sumbangan unik kepada budaya dunia melalui agama Shinto dan seni bina, objek seni tersendiri seperti patung haniwa, bekas tembikar tertua di dunia, bangunan kayu terbesar ketika dibina, serta banyak karya sastera klasik termasuklah novel pertama di dunia. Walaupun Jepun nyata sekali dipengaruhi oleh China dan Korea, kepulauan ini tidak pernah tunduk kepada mana-mana kawalan politik asing. Jepun bebas memilih idea yang dirasakan menarik, disesuaikan sepertimana yang diingini sambil meneruskan amalan budaya asli. Hal ini mewujudkan pendekatan unik dalam kerajaan, agama dan kesenian.

Mitologi Jepun

Menurut mitologi Shinto, kepulauan Jepun terbentuk apabila Dewa Izanami dan Dewa Izanagi mencelupkan sebatang lembing berpermata ke dalam laut primordial. Dewa-dewa tersebut juga mencipta lebih daripada 800 kami atau roh, antara yang terunggul ialah Dewi Matahari Amaterasu, dan diikuti oleh dewa-dewa agama Shinto, iaitu agama asli Jepun purba. Cucu Amaterasu, Ninigi, menjadi pemerintah pertama, dan beliau ialah moyang kepada Maharaja Jimmu, iaitu maharaja pertama Jepun yang separa legenda (memerintah 660-585 SM). Dengan ini terbentuklah pakatan antara dewa-dewa dan maharaja seterusnya.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Zaman Jomon

Zaman sejarah pertama di Jepun ialah Zaman Jomon yang merangkumi kira-kira 14,500 hingga 300 SM (walaupun tarikh awal dan akhir zaman ini dipertikaikan). Nama zaman ini berasal daripada tembikar unik yang dihasilkan pada masa ini. Bekas tembikar tertua di dunia mempunyai hiasan seperti corak tali atau jomon. Kemunculan tembikar ini menandakan berakhirnya zaman sebelum ini, iaitu Zaman Paleolitik (30,000 tahun yang lalu) ketika orang ramai dari tanah besar Asia pergi ke utara dan selatan kepulauan Jepun melalui jambatan darat. Mereka kemudiannya berpecah-pecah ke empat pulau utama, iaitu Hokkaido, Honshu, Shikoku dan Kyushu, sebelum berpindah ke beratus-ratus pulau kecil yang membentuk Jepun. Penghasilan tembikar tidak semestinya menandakan bahawa masyarakat sudah bermukim kerana kebanyakannya masih hidup sebagai pemburu-pemungut yang menggunakan alatan kayu dan batu.

TANDA-TANDA PERTANIAN PERTAMA MUNCUL KIRA-KIRA 5000 SM & PENEMPATAN TERAWAL DIKETAHUI DI SANNAI-MARUYAMA BERTARIKH KIRA-KIRA 3500 SM.

Tanda-tanda pertama pertanian muncul kira-kira 5000 SM dan perkampungan terawal yang diketahui terletak di Sannai-Maruyama, bermula kira-kira 3500 SM dan berakhir kira-kira 2000 SM. Penduduk pada zaman ini lebih tertumpu di kawasan perairan pantai dan jumlahnya mungkin antara 100,000 sehingga 150,000 orang. Terdapat bukti penanaman padi kira-kira 1250 SM tetapi penanaman mungkin bermula kira-kira 800 SM . Bukti pertama penanaman padi sawah bertarikh kira-kira 600 SM. Rangka manusia dari zaman ini menunjukkan orang yang berbadan tegap, berwajah lebar dengan ketinggian purata 1.52 m (5 kaki) untuk perempuan dan 1.60 m (5 kaki 3 inci) untuk lelaki. Kajian genetik dan kranial menunjukkan bahawa orang Jomon ialah nenek moyang kepada kumpulan minoriti Ainu yang masih wujud hingga hari ini.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Jenis pengebumian yang paling lazim pada zaman ini adalah menanam individu atau lebih dalam lubang tanah yang kadangkala dilapisi dengan papak batu. Jenis pengebumian lain termasuklah memasukkan individu dalam balang dan lubang besar yang boleh memuatkan sehingga 100 rangka manusia. Artefak yang ditemui berkaitan dengan Zaman Jomon merangkumi patung-patung manusia yang diperbuat daripada tanah liat dan batu, topeng-topeng tanah liat, batang-batang batu, serta barang kemas daripada tanah liat, batu dan jed (manik dan anting-anting). Arkeologi juga mendedahkan bahawa orang Jomon membina struktur upacara seperti lingkaran batu, barisan batu yang membentuk anak panah, serta batu tinggi tunggal yang dikelilingi oleh kelompok batu kecil.

Jomon Spouted Vessel
Bekas Bermuncung Jomon
James Blake Wiener (CC BY-NC-SA)

Zaman Yayoi

Zaman Yayoi merangkumi kira-kira 300 SM hingga kira-kira 250 M. Seperti yang disebutkan di atas, tarikh permulaan diundurkan apabila terdapat lebih banyak penemuan dalam bidang arkeologi. Nama Yayoi berasal daripada tembikar berwarna merah yang pertama kali ditemui di daerah Yayoi di Tokyo. Tembikar tersebut menunjukkan perkembangan berbanding tembikar Zaman Jomon. Bermula sekitar 400 SM (atau mungkin lebih awal), pendatang mula tiba dari benua Asia, terutamanya Semenanjung Korea, mungkin disebabkan oleh peperangan akibat perluasan empayar China dan persaingan antara kerajaan.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Pendatang baru menakluki atau berintegrasi dengan penduduk asli, seperti yang ditunjukkan oleh bukti genetik. Mereka membawa bersama mereka tembikar baru, gangsa, besi dan teknik pembuatan logam diperbaik yang menghasilkan alatan pertanian yang lebih efisien serta senjata dan perisai yang lebih bermutu.

Dengan pengurusan pertanian yang bertambah baik, masyarakat dapat membangun dengan pengkhususan perdagangan dan pekerjaan (seterusnya muncullah pasaran perdagangan), amalan upacara menggunakan benda-benda istimewa seperti loceng gangsa dotaku, kelas sosial dengan kekayaan berbeza-beza, serta golongan pemerintah mapan yang mengawal perikatan klan, yang akhirnya membentuk kerajaan-kerajaan kecil. Sumber-sumber China mencatatkan kekerapan peperangan di Jepun antara kerajaan pesaing, sementara galian arkeologi membongkar tinggalan perkampungan yang berkubu. Populasi Jepun menghampiri akhir zaman ini mungkin mencapai sehingga 4.5 juta orang.

Yayoi Period Bracelet
Gelang Zaman Yayoi
James Blake Wiener (CC BY-NC-SA)

Jepun mula melakukan percubaan pertama dalam hubungan antarabangsa menjelang penghujung zaman ini. Utusan dan ufti dihantar kepada komanderi China di Korea utara melalui Wa, iaitu persekutuan negeri kecil di selatan dan barat Jepun, yang paling penting pada masa ini ialah Yamato. Misi-misi tersebut direkodkan pada tahun 57 dan 107 SM. Salah seorang pemerintah Jepun yang diketahui pernah menghantar perwakilan ke wilayah China (238, 243 dan sekitar 248 M) dan tokoh paling terkenal pada zaman ini ialah Maharani Himiko (memerintah kira-kira 189-248 M). Memerintah lebih daripada 100 kerajaan (atau mungkin hanya memerintah kerajaan paling berkuasa), maharani ini tidak pernah berkahwin dan telah bersemayam di istana yang disokong oleh 1,000 orang wanita. Himiko juga seorang pawang, membawa dua peranan serentak sebagai pemerintah dan ketua pemuja, yang lazim pada zaman ini. Seorang wanita yang dapat menjalankan salah satu atau kedua-dua peranan ini menunjukkan sikap positif Jepun purba terhadap wanita sebelum budaya China menjadi lebih berpengaruh dari abad ke-7 M.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Zaman Kofun

Zaman Kofun merangkumi sekitar 250 hingga 538 M dan dinamakan bersempena gundukan kubur besar yang dibina pada masa ini. Kadangkala zaman ini juga dirujuk sebagai Zaman Yamato (sekitar 250-710 M) kerana pada masa ini, negeri atau wilayah Yamato yang dominan, sama ada hasil gabungan wilayah-wilayah saingan dengan domain sendiri ataupun, seperti dalam kes saingan utama Izumo, penaklukan melalui peperangan. Lokasi tepat Yamato tidak dapat dipastikan tetapi kebanyakan sejarawan bersetuju bahawa Yamato terletak di kawasan Nara.

DARI ABAD KE-4 M TERDAPAT KEMASUKAN KETARA PENDUDUK DARI SEMENANJUNG KOREA TERUTAMANYA DARI KERAJAAN BAEKJE & PERSEKUTUAN GAYA.

Dari abad ke-4 M, terdapat kemasukan ketara penduduk dari Semenanjung Korea, terutamanya dari Kerajaan Baekje (Paekche) dan Persekutuan Gaya (Kaya). Mereka ini mungkin pejuang berkuda menurut kontroversi 'teori pejuang berkuda' yang mendakwa bahawa Jepun telah ditakluki oleh orang Korea dan hanyalah sebuah negeri bawahan. Tidak mungkin penaklukan sepenuhnya berlaku (dan beberapa sumber yang menimbulkan pertikaian mengesyorkan bahawa Jepun sebaliknya telah menubuhkan koloni di selatan Korea), tetapi yang lebih pasti orang Korea menduduki jawatan tinggi dalam kerajaan Jepun, bahkan berketurunan diraja. Tidak kira apa jua hubungan politik antara Korea dan Jepun pada masa ini, terdapat kemasukan banyak barangan buatan Korea, bahan mentah seperti besi dan idea budaya melalui guru-guru, cendekiawan serta seniman Korea yang berkunjung ke Jepun. Mereka membawa unsur budaya China seperti penulisan, teks klasik Confucius, agama Buddha, tenunan dan pengairan di samping idea Korea dalam seni bina. Terdapat juga utusan ke China pada tahun 425 M, 478 M dan seterusnya 11 lagi utusan hingga tahun 502 M. Jepun Yamato telah mewujudkan hubungan diplomatik antarabangsa.

Shionjiyama Kofun
Kofun Shionjiyama
Kansai explorer (CC BY)

Gundukan kubur besar yang dikenali sebagai kofun ialah satu lagi hubungan dengan tanah besar Asia kerana dibina untuk golongan elit di pelbagai negeri Semenanjung Korea. Terdapat lebih daripada 20,000 gundukan di seluruh Jepun, dan lazimnya berbentuk kunci jika dilihat dari pandangan udara; contoh terbesar berukuran beberapa ratus meter dan dikelilingi oleh kubu parit. Kebanyakan daripada kubur ini mengandungi peralatan berkuda yang tidak pernah dilihat dalam pengebumian sebelum ini, yang memperkukuh bukti hubungan dengan tanah besar Asia. Ciri lain kofun ialah penempatan patung-patung terakota besar berbentuk manusia, haiwan dan bangunan yang dipanggil haniwa di sekitar dan di atas, mungkin berperanan sebagai penjaga.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Kofun yang dibina dengan skala lebih besar seiring dengan perjalanan masa menunjukkan bahawa pemerintah Yamato berdaya menguasai sumber yang hebat - manusia dan bahan. Memerintah dengan gabungan kekuatan dan perikatan dengan klan penting atau uji yang disatukan melalui perkahwinan campur, golongan elit Yamato berusaha untuk mencipta sebuah negara terpusat yang wajar. Yang diperlukan sekarang ialah contoh kerajaan lebih baik dengan jentera birokratik yang berfungsi sepenuhnya dan datang dari China.

Zaman Asuka

Zaman Asuka merangkumi tahun 538 hingga 710 M. Nama zaman ini berasal daripada ibu negara Jepun pada masa ini, Asuka, yang terletak di utara wilayah Nara. Pada tahun 645 M, ibu negara beralih ke Naniwa, dan antara tahun 694 dan 710 M, di Fujiwarakyo. Sekarang kita melihat dalam sejarah, maharaja pertama yang sebenar (berbeza dengan pemerintah legenda atau mitos), Maharaja Kimmei, yang ke-29 dalam susur-galur keturunan maharaja (memerintah dari tahun 531-539 M hingga 571 M). Pemerintah yang paling penting ialah Putera Shotoku yang menjadi pemangku raja sehingga kemangkatan baginda pada tahun 622 M. Shotoku dihargai kerana melakukan reformasi dan memusatkan kerajaan mengikut contoh China, seperti mencipta Perlembagaan Tujuh Belas Artikel, membanteras rasuah dan menggalakkan hubungan yang lebih kukuh dengan China.

Prince Shotoku Statue
Patung Putera Shotoku
PHGCOM (CC BY-SA)

Peristiwa politik kedua terbesar dalam zaman Asuka berlaku pada tahun 645 M apabila pengasas klan Fujiwara, Fujiwara no Kamatari, menggulingkan kuasa klan Soga yang dominan pada masa ini. Kerajaan baru ini dirombak, sekali lagi mengikut contoh China, dalam siri reformasi berterusan yang dikenali sebagai Reformasi Taika. Tanah dimiliknegarakan, cukai dibayar dalam bentuk barter bukan buruh, pangkat sosial dikategorikan semula, peperiksaan masuk perkhidmatan awam diperkenalkan, kod undang-undang ditulis dan kuasa mutlak empayar diwujudkan. Kamatari dilantik sebagai menteri kanan maharaja dan diberi nama keluarga Fujiwara. Inilah permulaan salah satu klan terkuat di Jepun yang menguasai kerajaan hingga abad ke-12 M.

Maharaja Temmu (memerintah dari tahun 672-686 M) menyusun semula keluarga diraja yang luas supaya hanya keturunan langsung boleh menuntut apa-apa hak terhadap takhta maharaja dalam satu langkah yang mencipta lebih banyak kumpulan klan saingan. Maharaja Temmu memilih Fujiwarakyo sebagai ibu negara Jepun pertama yang memiliki istana gaya China dan jalan dibina dalam grid yang teratur.

Mungkin perkembangan paling penting dalam Zaman Asuka bukanlah dari segi politik tetapi agama, iaitu pengenalan agama Buddha kepada Jepun pada kurun ke-6 M, secara tradisional pada tahun 552 M. Agama Buddha diterima secara rasmi oleh Maharaja Yomei dan seterusnya digalakkan oleh Putera Shotoku yang membina beberapa kuil yang mengagumkan seperti Horyuji. Agama Buddha secara umum diterima dengan baik oleh golongan elit Jepun kerana membantu meningkatkan status budaya Jepun sebagai sebuah negara yang maju pada mata jiran yang berkuasa, iaitu Korea dan China.

Putera Shotoku menghantar perwakilan rasmi ke mahkamah Sui di China dari sekitar tahun 607 M dan berterusan sepanjang kurun ke-7 M. Namun, hubungan Jepun dengan negara jiran tidak selalu mesra. Kerajaan Silla menakluki Baekje pada tahun 660 M dengan bantuan tentera laut Tang China secara besar-besaran. Pasukan Baekje yang memberontak, mendesak Jepun menghantar 800 angkatan kapal untuk membantu usaha mereka mendapatkan semula kerajaan mereka tetapi pasukan bersekutu ini dikalahkan dalam Pertempuran Baekgang pada tahun 663 M. Kejayaan Kerajaan Silla Bersatu mengakibatkan lagi gelombang imigran memasuki Jepun dari kerajaan Baekje dan Goguryeo yang telah tewas.

Central Gate & Pagoda, Horyuji Temple
Pintu Gerbang & Pagoda, Kuil Horyuji
Horyuji Chumon Warizuka (CC BY-SA)

Sementara itu, seni berkembang dengan pesat dan melahirkan nama alternatif, Zaman Suiko (552-645 M) bersempena Maharani Suiko (memerintah dari tahun 592-628 M). Kesusasteraan dan muzik mengikut contoh China digalakkan secara aktif oleh istana dan seniman diberikan pelepasan cukai.

Zaman Nara

Zaman Nara merangkumi tahun 710 hingga 794 M dan dinamakan sedemikian kerana ibu negara Jepun berada di Nara (Heijokyo) pada masa ini dan kemudian berpindah seketika ke Nagaokakyo pada tahun 784 M. Ibu negara ini mencontoh ibu negara China, Chang-an pada zaman Tang, dengan susunan grid yang teratur dan bangunan awam seperti seni bina China. Heijo, istana diraja yang luas sekali dibina dan birokrasi negeri diperluaskan kepada kira-kira 7,000 orang pegawai awam. Penduduk Nara mungkin mencapai sehingga 200,000 orang menjelang akhir zaman ini.

Kawalan kerajaan pusat terhadap wilayah diperluas dengan kehadiran tentera yang lebih ketara di seluruh kepulauan Jepun dan agama Buddha terus disebarkan oleh Maharaja Shomu (memerintah dari tahun 724-749 M) melalui projek pembinaan kuil di setiap wilayah, lantaran meningkatkan cukai kepada tahap yang mencengkam. Kuil-kuil utama dibina di Nara, seperti Todaiji (752 M) dengan Dewan Buddha Besar, iaitu bangunan kayu terbesar di dunia yang mengandungi patung perunggu Buddha juga terbesar di dunia. Agama Shinto pula diwakili oleh kuil Kasuga Taisha dalam hutan di luar ibu negara (710 atau 768 M) dan kuil Fushimi Inari Taisha (711 M) berhampiran Kyoto.

Jepun juga mempunyai cita-cita tinggi di luar negara dan menjalin hubungan kukuh dengan Balhae (Parhae), negara di utara Korea dan Manchuria. Jepun menghantar 13 utusan diplomatik dan Balhae menghantar 35 utusan sebagai balasan sepanjang beberapa dekad. Perdagangan bertambah maju dengan Jepun mengeksport tekstil serta bulu, sutera dan kain hem dari Balhae. Kedua-dua negara ini merancang serangan ke atas Kerajaan Silla Bersatu yang kini mengawal Semenanjung Korea dengan tentera bersama, dan menyerang pada tahun 733 M dengan melibatkan armada besar Jepun tetapi gagal. Sesudah itu, pencerobohan yang dirancang pada tahun 762 M tidak pernah tercapai.

Zaman Nara menerbitkan penulisan dua karya yang boleh dikatakan terkenal dan penting dalam sastera Jepun, iaitu buku sejarah Kojiki dan Nihon Shoki dengan mitos penciptaan, dewa-dewa Shinto dan salasilah diraja. Terdapat juga Manyoshu, antologi puisi pertama di Jepun yang dikumpulkan sekitar tahun 760 M.

Daibutsuden, Todaiji
Dewan Buddha Besar, Todaiji
James Blake Wiener (CC BY-NC-SA)

Berbeza dengan seni, golongan marhaen tidak maju. Pertanian masih bergantung kepada alatan primitif, tanah untuk bercucuk tanam tidak mencukupi dan teknik pengairan tidak cukup untuk mengelakkan kekerapan tanaman gagal dan kebuluran. Oleh itu, kebanyakan petani lebih suka bekerja untuk golongan bangsawan yang memiliki tanah. Selain penderitaan ini, wabak cacar juga berlaku pada tahun 735 dan 737 M, yang menurut sejarawan, mengurangkan populasi negara sebanyak 25-35%.

Selain akibat bencana alam, istana kekurangan dana setelah terlalu banyak bangsawan dan kuil diberikan pengecualian cukai. Nara juga dihantui oleh konflik perebutan keistimewaan dan jawatan dalam kalangan golongan bangsawan dan politik secara tidak wajar dipengaruhi oleh kuil Buddha yang tersebar di sekitar bandar. Oleh itu, Maharaja Kammu (memerintah dari tahun 781-806 M) menukar ibu negara sekali lagi, menandakan permulaan Zaman Keemasan sejarah Jepun yang seterusnya.

Zaman Heian

Zaman Heian merangkumi tahun 794 hingga 1185 M dan dinamakan sedemikian kerana ibu negara pada masa ini ialah Heiankyo yang dikenali sebagai Kyoto pada hari ini. Ibu negara baru ini dibina mengikut susunan grid yang teratur. Bandar ini mempunyai lebuh yang lebar, dan seperti Nara, mengambil contoh seni bina daripada China, sekurang-kurangnya untuk bangunan awam. Bandar ini mempunyai istana untuk golongan bangsawan dan taman hiburan besar di selatan istana diraja (Daidairi). Tiada bangunan Heian yang masih wujud hari ini kecuali Shishin-den (Auditorium) yang terbakar tetapi dibaik pulih dan Daigoku-den (Dewan Negeri) yang mengalami nasib yang sama dan dibina semula dalam skala yang lebih kecil di Kuil Heian. Mulai kurun ke-11 M, nama tidak rasmi bandar ini yang bermaksud hanya 'ibu negara' diiktiraf secara rasmi sebagai Kyoto. Bandar ini kekal sebagai ibu negara Jepun selama seribu tahun.

Kyoto ialah pusat kerajaan yang terdiri daripada maharaja, menteri-menteri kanan, majlis negeri dan lapan kementerian yang dibantu oleh birokrasi ekstensif untuk memerintah lebih kurang 7 juta orang merentasi 68 wilayah. Kebanyakan penduduk Jepun bekerja di ladang, sama ada milik sendiri atau orang lain. Terbeban oleh pencerobohan dan cukai yang berlebihan, pemberontakan bukanlah perkara luar biasa. Pada kurun ke-12 M, 50% daripada tanah ialah milik persendirian (shoen) dan kebanyakannya diberi pengecualian khas melalui pertolongan atau alasan keagamaan, tidak perlu membayar cukai, menyebabkan masalah serius dalam kewangan negara.

Izumi Shikibu
Penyair Izumi Shikibu
Komatsuken (Public Domain)

Di istana, walaupun maharaja masih dianggap sebagai dewa, baginda diketepikan oleh birokrat berkuasa yang berasal daripada sebuah keluarga iaitu klan Fujiwara. Hakikat bahawa banyak maharaja menduduki takhta ketika masih kanak-kanak dan diperintah oleh seorang pemangku (Sessho) yang biasanya diwakili oleh keluarga Fujiawara, lebih melemahkan kedudukan diraja. Apabila maharaja menjadi dewasa, baginda masih menerima nasihat daripada satu jawatan baru, iaitu Kampaku yang memastikan Fujiwara terus memegang kendali politik istana. Maharaja Shirakawa (memerintah dari tahun 1073-1087 M) cuba untuk merdeka daripada Fujiwara dengan turun takhta pada tahun 1087 M dan membenarkan anakanda baginda, Horikawa, memerintah dengan pengawasan baginda. Strategi 'kemerdekaan' ini pada hakikatnya mengekalkan pemerintahan dikenali sebagai 'kerajaan terkurung' (insei) kerana maharaja biasanya bersemayam di belakang pintu tertutup dalam sebuah biara. Ini menambah satu lagi roda kepada mesin kerajaan yang sedia rumit.

Agama Buddha terus mendominasi dengan bantuan ahli sarjana terkemuka seperti Kukai (774-835 M) dan Saicho (767-822 M) yang membawa idea dan teks dari China dan mewujudkan sekta Buddha Shingon dan Tendai. Pada masa yang sama, prinsip-prinsip Confucius dan Taoisme terus mempengaruhi kerajaan manakala agama Shinto dan animisme terus mempengaruhi rakyat.

Dalam hal-ehwal luar negeri, selepas tahun 838 M, Jepun menjadi pemencil tanpa perlu mempertahankan sempadan atau melakukan penaklukan wilayah. Walau bagaimanapun, perdagangan dan pertukaran budaya sekali-sekala masih dijalankan dengan China seperti sebelum ini. Barangan yang diimport dari China termasuk ubat-ubatan, kain sutera, buku, seramik, senjata dan alat muzik, manakala Jepun mengeksport mutiara, serbuk emas, ambar, sutera mentah dan perkakas lakuer bersadur emas. Sami, sarjana, pelajar, ahli muzik dan seniman dihantar untuk melihat perkara yang boleh dipelajari daripada budaya China yang lebih maju.

Zaman ini terkenal dengan pencapaian budaya termasuk penciptaan tulisan Jepun (kana) menggunakan karakter Cina, kebanyakannya secara fonetik yang membolehkan penghasilan novel pertama di dunia, Tale of Genji oleh Murasaki Shikibu (kira-kira 1020 M) dan beberapa catatan harian terkenal (nikki) yang ditulis oleh bangsawati istana termasuk The Pillow Book oleh Sei Shonagon (kira-kira 1002 M). Satu lagi karya penting ialah antologi puisi Kokinshu pada tahun 905 M.

Periods of Ancient Japanese History
Zaman-zaman dalam Sejarah Jepun Purba
Simeon Netchev (CC BY-NC-ND)

Seni visual diwakili oleh lukisan skrin, tatal gulung dengan gambar dan teks (e-maki) serta kaligrafi yang halus. Pelukis dan pengukir terus menggunakan Buddha sebagai inspirasi mereka tetapi secara beransur-ansur, pendekatan yang lebih berunsur Jepun menjangkau subjek seni kepada orang biasa dan tempat. Yamato-e, seni lukis gaya Jepun, berkembang dan dapat dibezakan daripada karya China dengan ciri-ciri garisan yang lebih bersudut, warna yang lebih cerah dan lebih banyak hiasan.

Kesemua hasil seni di ibu negara sangat elok tetapi pemerintah baru mula muncul di kawasan wilayah. Dibiarkan berbuat sesuka hati dan disemarakkan dengan darah keturunan bangsawan kecil, dua kumpulan penting bangkit, iaitu klan Minamoto dan Taira. Dengan tentera samurai sendiri, mereka menjadi instrumen penting dalam tangan ahli klan Fujiwara yang bersaing antara satu sama lain dalam perebuatan kuasa yang meletus dalam Kekacauan Hogen 1156 M dan Kekacauan Heiji 1160 M.

Klan Taira akhirnya menyingkirkan Fujiwara dan semua saingan tetapi dalam Perang Genpei (1180-1185 Masihi), Minamoto kembali sebagai pemenang. Pada akhir perang tersebut, pemimpin klan Taira, Tomamori dan Maharaja Antoku yang masih muda telah membunuh diri. Pemimpin klan Minamoto, Yoritomo, tidak lama selepas itu diberikan gelaran shogun oleh maharaja. Maka bermulalah bab zaman pertengahan sejarah Jepun, Zaman Kamakura (1185-1333 M) yang juga dikenali sebagai Keshogunan Kamakura, zaman kerajaan Jepun dikuasai oleh tentera.

This content was made possible with generous support from the Great Britain Sasakawa Foundation.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Soalan & Jawapan

Apakah 5 fakta tentang Jepun purba?

5 fakta tentang Jepun purba: zaman sejarah pertama ialah Zaman Jomon, bermula kira-kira 14,500 SM dan dinamakan bersempena tembikar Jomon, loceng gangsa penting dalam upacara purba, Maharani Himiko yang terkenal memerintah dari tahun 189 hingga 248 M, orang-orang kenamaan dikebumikan di kawasan perkuburan yang dikenali sebagai kofun, dan agama Buddha diperkenal kepada Jepun pada abad ke-6 dengan kesan budaya yang penting.

Adakah Jepun tamadun purba?

Jepun ialah tamadun purba kerana kebudayaan yang bertarikh jauh ke belakang pada zaman Jomon dalam milenium kedua SM.

Siapakah manusia pertama di Jepun?

Menurut legenda, manusia pertama di Jepun telah dicipta oleh Dewa Izanami dan Dewa Izanagi. Pemerintah pertama ialah Ninigi, cucu Dewi Amaterasu.

Darihal Penterjemah

Ezlyna Shamsuddin
Penterjemah bebas yang berasal dari Malaysia tetapi kini menetap di Jepun.

Darihal Penulis

Mark Cartwright
Mark merupakan seorang penulis sejarah yang berpangkalan di Itali. Minat-minat khususnya merangkumi seni penghasilan tembikar, seni bina bangunan, mitologi dunia, dan merungkai faham-faham yang dikongsi oleh kesemua tamadun. Beliau mempunyai kelulusan peringkat MA dalam bidang Falsafah Politik dan bertugas sebagai Pengarah Penerbitan di WHE.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Cartwright, M. (2017, June 09). Jepun Purba [Ancient Japan]. (E. Shamsuddin, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-11132/jepun-purba/

Gaya Chicago

Cartwright, Mark. "Jepun Purba." Diterjemahkan oleh Ezlyna Shamsuddin. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai June 09, 2017. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-11132/jepun-purba/.

Gaya MLA

Cartwright, Mark. "Jepun Purba." Diterjemahkan oleh Ezlyna Shamsuddin. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 09 Jun 2017. Web. 20 Nov 2024.