Zaman Muromachi

11 hari yang tinggal

Melabur dalam Pendidikan Sejarah

Dengan menyokong badan amal Yayasan Sejarah Dunia kami, anda melabur dalam masa depan pendidikan sejarah. Sumbangan anda membantu kami memperkasakan generasi akan datang dengan pengetahuan dan kemahiran yang mereka perlukan untuk memahami dunia di sekeliling mereka. Bantu kami memulakan tahun baru bersedia untuk menerbitkan maklumat sejarah yang lebih dipercayai, percuma untuk semua orang.
$2972 / $10000

Inti Sari

Mark Cartwright
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 21 June 2019
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol
Dengarkan artikel ini
X
Cetak Artikel
Muromachi Samurai (by Unknown Artist, Public Domain)
Samurai Muromachi
Unknown Artist (Public Domain)

Zaman Muromachi (Muromachi Jidai, 1333-1573 M) berlangsung sewaktu pusat pemerintahan shogun bertempat di sekitar Muromachi, Heiankyo (Kyoto). Pada zaman tersebut, Jepun dikuasai oleh Keshogunan Ashikaga (1338-1573 M) yang menggantikan Keshogunan Kamakura (1192-1333 M). Zaman Muromachi dipenuhi dengan pelbagai kekacauan seperti peperangan, pemberontakan, dan perompakan melibatkan raja-raja feudal dan militan-militan mandiri yang bertebaran di kawasan luar bandar. Bagaimana pun, wujud juga beberapa perkembangan pada zaman ini. Misalnya, Zaman Muromachi menyaksikan Kuil Kinkakuji dan Kuil Ginkakuji dibina di Kyoto, di samping kemajuan dalam sektor perdagangan, perniagaan, kesenian, dan estetika istana. Zaman Muromachi kemudian meniti tahun-tahun terakhirnya selepas Oda Nobunaga mengambil-alih kuasa pada tahun 1568 M dan mengusir shogun terakhir Ashikaga lima tahun berikutnya, iaitu pada 1573 M.

Zaman Kamakura

Mengimbau secara sekilas, Zaman Kamakura yang mendahului Zaman Muromachi berpanjangan dari tahun 1185 hingga 1333 M. Permulaan zaman ini ditandai oleh penguasaan Minamoto no Yoritomo ke atas Jepun. Pada tahun 1192 M, Yoritomo memilih Kamakura sebagai pusat pemerintahannya yang baru, sambil istananya pula masih tetap bertempat di Heiankyo (Kyoto). Umumnya, dasar-dasar Keshogunan Kamakura memperlihatkan banyak wilayah diagihkan kepada para pengikut setia shogun. Namun, keshogunan ini tidak mengalpakan penambahbaikan dalam hal-hal perdagangan dan pertanian. Perkembangan Zen-Buddhisme juga tidak diculaskan, malah ia menjadi antara legasi khusus pada Zaman Kamakura.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan
Sekitar tahun 1333 M, kota Kamakura digempur oleh Nitta Yoshisada & pusat pemerintahan Kamakura pun dipindahkan semula ke Heiankyo.

Sepanjang kelangsungan zaman tersebut, berkali-kali juga maharaja Jepun melakukan cubaan untuk merebut semula kuasanya dari genggaman shogun. Misalnya pada tahun 1324 dan 1331 M, di mana Maharaja Go-Daigo (memerintah 1318-1339 M) melancarkan penentangan namun tidak berhasil. Dalam cubaannya itu, beliau memanfaatkan khidmat Nitta Yoshisada (hidup 1301-1337 M) dan Ashikaga Takauji. Pukulan hebat buat Keshogunan Kamakura bagaimana pun datang dari serangan Monggol pada tahun 1274 dan 1281 M, yang dilancarkan oleh Kublai Khan (memerintah 1260-1294 M). Cuma mujur, kedua-dua serangan tersebut gagal akibat ribut taufan yang menghancurkan armada Monggol. Pun begitu, ia tidak menamatkan konflik dan malah mendorong Kamakura untuk sentiasa berjaga-jaga andai berlaku serangan kali ketiga yang hakikatnya tidak pernah kunjung tiba. Keadaan berawas sebegini membuatkan kantung kewangan Kamakura menyusut dan seterusnya mengundang kekacauan dari barisan samurai yang tidak menerima bayaran seperti biasa. Penguasaan ke atas wilayah-wilayah naungan pula kian melemah sekali gus membenihkan aktiviti rompak-merompak secara berleluasa. Dalam erti kata lain, tempoh ini menyaksikan shogun-shogun Kamakura berada dalam posisi yang sangat terdedah dan terancam.

Emperor Go-Daigo
Maharaja Go-Daigo
Unknown Artist (Public Domain)

Pemulihan Kemmu

Sekitar tahun 1333 M, kota Kamakura digempur oleh Nitta Yoshisada. Sebagai susulan, pusat pemerintahan Kamakura pun dipindahkan semula ke Heiankyo atau lebih tepat, di daerah Muromachi yang justeru zaman berikutnya dikenali dengan nama Zaman Muromachi. Tidak lama kemudian, berlaku pula suatu peristiwa yang dikenali sebagai Pemulihan Kemmu (1333-1336 M). Peristiwa ini bermula apabila Ashikaga Takauji yang ditugaskan untuk menangani Maharaja Go-Daigo bertindak bergabung dengan maharaja lalu menyerang Heiankyo. Motif utamanya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menduduki gelaran shogun menggantikan shogun Kamakura. Namun, Go-Daigo enggan mengurniakan gelaran itu kepadanya kerana tidak mahu kembali ke situasi lama – terpuruk tunduk di bawah telunjuk shogun. Akibatnya, Takauji pun menggempur dan menundukkan Nitta Yoshisada yang merupakan sekutu terkuat Go-Daigo dalam Pertempuran Minatogawa pada Julai 1336 M lalu menakluki Heiankyo. Kekacauan yang berlaku sepanjang 1330-an ini digambarkan secara ringkas oleh seorang karyawan tidak dikenali di Heiankyo:

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Pembantaian di malam hari, juga rompakan-rompakan bersenjata. Turut berleluasa pemalsuan surat rasmi, dan bertebaran pula wanita-wanita penggoda… kepala-kepala manusia dipenggal, sami-sami mengundur diri, dan orang-orang awam pula mencukur rambut dan membotakkan kepala

(Huffman, 43)

Buat kali kedua dalam hidupnya, Go-Daigo dibuang negeri. Namun kali ini, beliau berpeluang menubuhkan istananya sendiri di Yoshina, berjarak 95 km (60 batu) dari selatan Heiankyo. Bagi menggantikan Go-Daigo sebagai maharaja boneka, Ashikaga Takauji menaikkan Komyo (memerintah 1336-1348 M) sambil dirinya sendiri diangkat sebagai shogun pada tahun 1338 yang sekali gus menandakan bermulanya Keshogunan Ashikaga (atau Keshogunan Muromachi), keshogunan yang memayungi Jepun sehingga tahun 1573 M. Keadaan politik pada waktu itu bagaimana pun agak longgar kerana adanya Go-Daigo yang memerintah secara mandiri sekali gus mewujudkan situasi dua maharaja di Jepun. Situasi ini disebut sebagai ‘Istana Berkembar’ atau ‘Istana Utara dan Selatan’ dan ia hanya berakhir pada tahun 1392 M apabila istana selatan dibubarkan setelah perjanjian dimeterai.

Ashikaga Takauji
Ashikaga Takauji
Unknown Artist (Public Domain)

Keshogunan Ashikaga

Keshogunan Ashikaga bermula dengan hambar, terutama apabila berlaku perseteruan panjang antara Ashikaga Takauji dan saudaranya Tadayoshi dari tahun 1350 hingga 1352 M. Konflik tersebut dimenangi oleh Takauji setelah Tadayoshi mati diracun, suatu insiden yang mungkin boleh ditudingkan kembali faktornya kepada Takauji.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Sistem pentadbiran Keshogunan Ashikaga tidak banyak berubah dari apa yang telah ditinggalkan oleh Keshogunan Kamakura, kecuali beberapa penambahan. Misalnya, jawatan pembantu shogun (kanrei) dibentuk bagi mengisi ruang di antara shogun dan gabenor-gabenor wilayah. Pemantauan khusus terhadap kota Kamakura juga dilakukan bagi memastikan keluarga Hojo tidak bangkit memberontak. Tugas tersebut digalaskan ke atas bahu gabenor Kanto. Beberapa daerah lain yang dilihat berpotensi menghadirkan ancaman terhadap pentadbiran pusat turut diberikan pemantauan rapi. Antaranya seperti daerah Honshu dan Kyushu.

Keshogunan menguasai wilayah pusat Jepun. Namun, wilayah-wilayah lain ditadbir secara separa-mandiri oleh raja-raja tempatan.

Walaupun sedikit ironi bagi zaman yang dipenuhi kekacauan sosial, shogun-shogun Ashikaga sebenarnya ada menambahkan beberapa undang-undang baru ke dalam kod perundangan sedia ada. Ashikaga Takauji sebagai contoh, menambah 17 akta yang kebanyakannya berkaitan perilaku samurai. Akta-akta tersebut secara umum diinspirasikan daripada 17 akta dalam perlembagaan yang digubal oleh Putera Shotoku (pemangku Jepun pada 594-622 M). Pembaharuan lain yang berlaku pada zaman ini adalah dasar penjatuhan hukuman. Pada Zaman Muromachi, hukuman tidak hanya dijatuhkan ke atas penjenayah yang telah disabitkan kesalahan. Akan tetapi, ahli keluarga dan jiran tetangga juga boleh dikenakan hukuman yang sama. Dasar ini disebut sebagai renza (atau enza). Walaupun sejarawan tidak dapat memastikan sama ada dasar ini berhasil menurunkan kadar jenayah ataupun tidak, apa yang pasti ia mendorong masyarakat setempat untuk menyelesaikan kes-kes jenayah sebelum ia sampai ke pengetahuan pusat.

Dalam sudut pengagihan kuasa, shogun Ashikaga memegang autoriti ke atas wilayah pusat dengan dibantu oleh lembaga pentadbirannya yang tersendiri. Wilayah-wilayah lain pula ditadbir secara separa-merdeka di bawah kendalian raja-raja feudal (daimyo). Keadaan ini hakikatnya menyukarkan pegawai tempatan dan pengurus estet (seperti jito) untuk mengutip cukai kerana rata-rata daimyo tidak segan untuk mengangkat muka kepada pemerintahan pusat. Oleh kerana itu, pemerintahan pusat terpaksa mencari jalan lain untuk mengisi perbendaharaan negara. Cubaan mereka dilihat berkesan dalam meningkatkan ekonomi; misalnya, kutipan cukai makin bertambah susulan dua keadaan, iaitu pemilik-pemilik tanah dan kuil makin giat meminjam wang bagi mengembangkan usaha sedia ada, dan perniagaan-perniagaan kecil pula tumbuh dengan makin pesat. Satu lagi langkah yang dilakukan oleh shogun Ashikaga adalah memperkenalkan tol jalan dan yuran kuil. Perdagangan antarabangsa juga berjalan dengan baik pada Zaman Muromachi, di mana Jepun akhirnya menjalinkan hubungan peruftian dengan Dinasti Ming bermula pada tahun 1401 M. Kesannya, Maharaja Ming memperakui shogun Ashikaga sebagai ‘penguasa Jepun’ dan seterusnya membolehkan pertukaran barang-dagangan antara kedua-dua negara itu berlaku. Antara barangan yang dibawa masuk ialah barangan seramik, kain sutera, dan syiling gangsa, manakala Jepun pula mengeksport pedang, bijih tembaga, dan kayu-kayan.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Golden Pavilion, Kinkaku-ji
Astaka Emas, Kinkaku-ji
James Blake Wiener (CC BY-NC-SA)

Walaupun Zaman Muromachi memperlihatkan banyak berlakunya kekacauan dan kebuluran akibat cuaca yang tak menentu, untuk jangka masa yang panjang, sektor pertanian boleh dikatakan berkembang dengan baik berkat beberapa pembaharuan seperti sistem penanaman berganda (double-cropping) dan amalan pembajaan yang dimulakan sejak Zaman Kamakura lagi. Desa-desa juga mengalami perkembangan, baik dari segi saiz mahupun bilangan, memandangkan para petani hidup secara berkelompok demi meraih keselamatan dan memaksimakan pengeluaran hasil. Mereka turut bersama-sama membangun dan memanfaatkan kemudahan-kemudahan awam seperti saliran dan kincir air. Dalam suasana yang jauh dari pengaruh pemerintahan pusat, desa-desa ini ditadbir secara mandiri. Lembaga-lembaga kecil (disebut sebagai so) dibentuk bagi menghakimi keadaan, menyelia majlis-majlis keraian, dan menggariskan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi seluruh masyarakat setempat. Beberapa buah desa bahkan bergabung dan membentuk sebuah kelompok atau ikki demi kemanfaatan bersama.

Secara umum, golongan petani menempuh masa-masa yang baik pada zaman ini walaupun kaum wanita mereka kurang menikmati hak keistimewaan sebagaimana pada Zaman Kamakura. Sebagai contoh, terdapat satu ketetapan di mana pengantin perempuan perlu hidup bersama keluarga suami dan mematuhi mereka. Walaupun kaum wanita masih dibenarkan untuk mewarisi harta, ia tidak membawa sebarang makna kerana tanah milik keluarga tetap akan diwarisi oleh anak lelaki sulung demi mengelakkan tanah dibahagi-bahagikan sehingga menjadi terlalu kecil.

Aktiviti ketenteraan memecahbelahkan Jepun pada pertengahan kurun ke-15 hingga pertengahan kurun ke-16 Masehi, khususnya apabila raja-raja tempatan berperang sesama sendiri tanpa seorang pun dari mereka berjaya mencapai dominasi yang unggul.

Pada tahun 1543 M, Jepun buat pertama kalinya berinteraksi dengan Eropah apabila tiga orang Portugis terdampar akibat kapal jong China yang ditumpangi mereka dibadai ribut. Mereka berlabuh di Tanegashima, selatan Kyushu, dengan membawa bersama senjata-senjata api yang kemudian cara pembuatannya dipelajari oleh bijak pandai Jepun. Semenjak itu, lebih ramai orang Eropah menyusul termasuklah mubaligh-mubaligh Kristian. Mubaligh yang paling masyhur ialah Francis Xavier, seorang Jesuit Sepanyol yang mengunjungi Kagoshima pada tahun 1549 M. Agama tersebut kemudian diamalkan oleh sebilangan daimyo yang melihatnya sebagai tiket untuk memperkukuhkan hubungan perdagangan dengan orang-orang Eropah yang berkunjung ke Asia Timur.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Perang Onin

Perang Onin (1467-1477 M) merupakan sebuah perang saudara yang namanya diambil dari nama era berlangsungnya perang tersebut (era Ōnin, yang menyusuli era Bunshō dan mendahului era Bunmei). Tempoh peperangan ini juga sering dikenali sebagai Zaman Sengoku atau Zaman Negara-Negara Berperang (1467-1548 M), di mana ia dipenuhi dengan kekacauan, peperangan, dan pengkhianatan antara para daimyo yang seterusnya membawa kepada berleluasanya aktiviti rompakan dan keganasan buat rakyat awam. Jepun ketika itu seakan berperang dengan dirinya sendiri, dan para pemerintahnya pula membentur ke arah kehancuran. Suasana zaman tersebut digambarkan secara umum oleh sebuah puisi tanpa nama yang dikarang sekitar tahun 1500 M yang berbunyi:

Seekor burung dengan
satu tubuh dan
dua paruh,
mematuk diri sendiri sehingga ia
terbunuh.

(Henshall, 243)

Punca awal berlakunya Perang Onin yang berlangsung sedekad ini adalah perseteruan antara klan Hosokawa dan klan Yamana. Ia kemudian melibatkan hampir kesemua klan berpengaruh dan seterusnya membawa kemusnahan yang besar di Heiankyo. Umumnya, konflik tersebut berkisar seputar sokongan setiap pihak terhadap calon shogun yang berlainan – suatu perseteruan yang boleh dikatakan tidak bermakna kerana shogun tidak lagi berkuasa seperti dahulu kala. Sejarawan bagaimana pun melihat konflik ini sebagai susulan dari sikap agresif daimyo-daimyo Jepun yang mahu memperagakan kekuatan samurai masing-masing – sama ada untuk tujuan baik mahupun buruk. Justeru walaupun perang berakhir pada tahun 1477 M, masing-masing enggan menyudahkan aktiviti ketenteraan yang memecahbelahkan Jepun buat kurun berikutnya memandangkan tidak seorang pun dari mereka berjaya mencapai dominasi yang unggul.

Silver Pavilion, Ginkaku-ji
Astaka Perak, Ginkaku-ji
Kalexander2010 (CC BY-NC-SA)

Pencapaian Seni Bina & Kebudayaan

Banyak bangunan penting dibina pada Zaman Muromachi. Misalnya, Kuil Kinkakuji atau ‘Kuil Astaka Emas’ – dipanggil sebegitu kerana bahagian luarnya ditatahi lapisan yang berkilauan – dibina di Heiankyo pada tahun 1397 M, disusuli oleh kuil kembarnya, iaitu Ginkakuji atau ‘Kuil Astaka Perak Yang Nyaman’ yang siap pada tahun 1483 M. Kedua-dua kuil ini pada asalnya adalah rumah istirahat buat bekas-bekas shogun sebelum diubah menjadi kuil Buddha. Begitu juga halnya dengan Ryoanji (1473 M) yang kini menjadi taman Zen paling kerap dikunjungi di Jepun.

Zaman Muromachi turut menyaksikan berkembangnya Upacara Teh Jepun dan bilik teh. Upacara Teh sememangnya diperkenalkan ke Jepun jauh lebih awal oleh sami-sami Buddha-Zen. Namun pada Zaman Muromachi, berkat sentuhan sami Murato Shuko (1422-1502 M) dan shogun Ashikaga Yoshimasa (memerintah 1449-1473 M, ia menjadi sebuah upacara yang lebih rasmi dan rapi yang kini dikenali sebagai chanoyu).

Satu lagi perkembangan budaya yang muncul pada zaman ini ialah gubahan bunga dan teater Noh, di mana kedua-duanya turut mempunyai akar dalam upacara keagamaan dan istiadat di kuil. Agama Zen juga memberikan pengaruh yang signifikan dalam seni lukisan, sebagaimana yang dicerminkan oleh karya seorang sami Zen bernama Sesshu (nama sebenarnya ialah Toyo, 1420-1506 M). Beliau mempunyai kekhususan dalam suiboku, iaitu seni lukisan yang hanya menggunakan dakwat hitam dan air pada lembaran kertas putih. Gaya lukisannya pula bersifat sederhana, dengan subjek-subjek lanskapnya dilukis dengan ekawarna. Karya Sesshu secara umum dianggap sebagai antara karya terbaik yang pernah dihasilkan dalam sejarah Jepun.

Landscape by Sesshu
Lanskap oleh Sesshu
Sesshu (Public Domain)

Akhir sekali, disebabkan adanya ancaman secara berterusan dari peperangan dan aktiviti rompakan pada Zaman Muromachi, istana-istana dibina dengan lebih kerap berbanding sebelumnya – baik di bandar, lereng gunung, mahupun estet yang luas. Istana estet yang kemudian direka menjadi rumah agam berkubu, dikenali sebagai yashiki. Antara contoh bagi menggambarkan bentuk istana sebegini ialah Ichijodani (pangkalan keluarga Asakura) dan istana berparit Tsutsujigasaki (milik keluarga Takeda). Istana-istana seperti Omi-Hachiman (berhampiran Tasik Biwa) yang pembinaannya mendorong kepada terbangunnya sebuah bandar baru di sekelilingnya pula disebut sebagai jokomachi. Binaan istana pada zaman ini masih belum mencapai bentuk istana batu bertingkat seperti pada zaman berikutnya, namun ia secara umum memiliki elemen pertahanan yang maju walau dibina menggunakan kayu. Istana pada Zaman Muromachi kebiasaannyadibangunkan di atas batu asas, dengan struktur keseluruhannya merangkumi tembok, menara, dan pintu gerbang yang masing-masing dilengkapi jendela-jendela kecil untuk kegunaan para pemanah. Pada struktur-struktur itu turut diikatkan batu-batuan tongkol bagi tujuan pertahanan – dijatuhkan ke atas pihak yang menyerang.

Kemunduran & Oda Nobunaga

Kemunduran Zaman Muromachi bermula apabila Keshogunan Ashikaga dijatuhkan oleh Oda Nobunaga (hidup 1354-1582 M). Oda Nobunaga secara bertahap memperluaskan wilayahnya sepanjang tahun 1550/60-an, dengan pusat kekuasaannya bertapak di Istana Nagoya. Beliau kemudian menakluki Heiankyo pada tahun 1568 M dan seterusnya mengusir shogun terakhir Ashikaga, iaitu Ashikaga Yoshiaki, pada tahun 1573 M. Yoshiaki yang menjadi boneka mainan Nobunaga secara teknikalnya masih menduduki jawatan shogun sehingga tahun 1588 M namun tanpa sebarang kuasa memandangkan segala hal-ehwal pentadbiran dan kerajaan didominasi oleh para daimyo. Nobunaga berkuasa sehingga tahun kematiannya, iaitu pada 1582 M dan usaha penyatuan Jepun diteruskan oleh para penggantinya, iaitu Toyotomi Hideyoshi (1537-1598 M) dan Tokugawa Ieyasu (1543-1616 M) pada zaman berikutnya yang dikenali sebagai Zaman Azuchi-Momoyama (1568/73-1600 M).

This content was made possible with generous support from the Great Britain Sasakawa Foundation.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Darihal Penulis

Mark Cartwright
Mark merupakan seorang penulis sejarah yang berpangkalan di Itali. Minat-minat khususnya merangkumi seni penghasilan tembikar, seni bina bangunan, mitologi dunia, dan merungkai faham-faham yang dikongsi oleh kesemua tamadun. Beliau mempunyai kelulusan peringkat MA dalam bidang Falsafah Politik dan bertugas sebagai Pengarah Penerbitan di WHE.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Cartwright, M. (2019, June 21). Zaman Muromachi [Muromachi Period]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-16183/zaman-muromachi/

Gaya Chicago

Cartwright, Mark. "Zaman Muromachi." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai June 21, 2019. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-16183/zaman-muromachi/.

Gaya MLA

Cartwright, Mark. "Zaman Muromachi." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 21 Jun 2019. Web. 20 Dec 2024.